Rabu, 27 Februari 2013

Ramez digantung seumur hidup



RAMEZ (kanan) digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon.


SELANGOR dilanda musibah.
Mereka akan kehilangan tonggak pertahanan import, Ramez Dayoub, antara dua pemain yang digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) atas dakwaan mengatur keputusan perlawanan.
Ramez yang kini beraksi dengan skuad Gergasi Merah untuk musim kedua, didakwa melakukan kesalahan itu ketika bersama skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014, tahun lalu.

Ramez dan Mahmoud Ali turut dikenakan denda bernilai AS$15,000 (RM46,711) dan mereka dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Siasatan merangkap Setiausaha Agung Bola Sepak Asia Barat, Fadi Zureikat di ibu pejabat LFA di Beirut semalam.

Selepas menghabiskan masa 174 jam dengan menyoal siasat 65 saksi, 44 pemain, tiga pengadil dan 18 pegawai, LFA turut mengantung dua pemain, Hasi Sehmarani dan Hadi Jaafar selama tiga musim manakala 20 pemain yang didapati bersalah dikenakan pengantungan satu musim.

Pengumuman itu dibuat selepas persidangan Interpol mengenai skandal mengatur perlawanan di Kuala Lumpur minggu lalu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Peluang Chelsea makin sukar'


MATA (kiri) mengakui sukar buat Chelsea untuk berada dalam kelompok empat pasukan teratas liga musim ini.


LONDON - Pemain tengah Chelsea, Juan Mata mengakui, pasukannya kini tidak berupaya untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar England sambil menyifatkan peluang The Blues untuk menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana England semakin terjejas.

Skuad kendalian Rafael Benitez itu dilihat dalam situasi 'berbahaya' untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan selepas tewas 0-2 kepada Manchester City di Stadium Etihad, Isnin lalu.
Ia merupakan keputusan terburuk Chelsea ketika menentang pasukan-pasukan gergasi England pada musim ini.

Ditanya mengenai prestasi hambar The Blues ketika menentang pasukan-pasukan teratas liga, Mata berkata: "Jika benar itu adalah faktanya, maka kami harus memperbaiki segera corak persembahan kami.
"Perlawanan penting bagi kami ialah ketika menentang City, Manchester United, Arsenal, Tottenham Hotspur dan Liverpool kerana mereka merupakan pasukan terbaik dalam Liga Perdana England, dan kami harus menunjukkan kemampuan kami.

"Kami gagal untuk mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang City. Kami tidak menjaringkan gol dan gagal mendapatkan sebarang mata. Apabila kamu menentang pasukan hebat seperti City, kamu harus beraksi melebihi tahap keupayaan kamu."

Kini, Spurs merampas kedudukan ketiga liga daripada Chelsea yang mengutip 49 mata dengan kelebihan tiga mata manakala Arsenal ketinggalan dua mata di belakang The Blues yang berada di tangga keempat liga.
"Beraksi pada saingan Liga Juara-Juara pada musim depan adalah keutamaan kami.

"Sudah tentu kami mahu memenangi Piala FA dan Liga Europa yang mana kami masih bertanding dalam dua kejohanan ini. 

"Bagaimanapun sasaran utama Chelsea adalah menduduki tangga ketiga liga bagi membolehkan kami menempah tempat ke saingan Liga Juara-Juara pada musim depan," katanya. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Giggs idam kesebelasan utama


GIGGS berharap dapat diturunkan dalam kesebelasan utama United pada aksi menentang real minggu depan.


MANCHESTER - 'Kuda tua' Manchester United, Ryan Giggs mengintai peluang beraksi buat kali ke-1000 bersama pasukannya menjelang aksi kedua pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid di Old Trafford minggu depan.

Pemain sayap berusia 39 tahun itu beraksi cemerlang ketika melakukan penampilan yang ke-999 bersama United semasa membenam Queens Park Rangers 2-0 dalam aksi Liga Perdana England di Loftus Road, Sabtu lalu.

Lebih manis, dia berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu. Justeru, Giggs berazam mengulangi kecemerlangannya ketika berdepan The Galacticos kelak.

Giggs memberitahu, pengendali United, Alex Ferguson sudah mendapat ilham mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketika melayan kunjungan Real nanti.

Dia yang sekadar tampil sebagai pemain gantian ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Santiago Bernabeu dua minggu lalu, berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama United kali ini.

"Sudah tentu Ferguson sakit kepala memikirkan pasukan terbaik tetapi ia sesuatu yang bagus sebenarnya.
"Kami tidak mahu terlalu yakin ketika berdepan Real dan berharap mampu menempah slot ke suku akhir," kata Giggs.

Pada masa sama, Giggs mempertahankan polisi penggiliran pemain yang diamalkan Ferguson.
Menurutnya, polisi sedemikian mampu mengekalkan momentum cemerlang United.

"Kami berada pada prestasi terbaik dan ia memberikan lebih banyak pilihan buat Ferguson.
"Kelebihan memiliki pasukan yang besar sememangnya bagus buat kami seandainya berhasrat merangkul kejuaraan trebel musim ini," katanya.
- Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Aura positif Britney Spears



PENAMPILAN terbaharu Britney Spears yang penuh anggun, elegan dan positif ini dikatakan ada kaitan dengan cinta baharunya bersama David Lucado.


SEKSI tetapi tidak sehingga kelihatan lucah, malah kelihatan menawan dan bercita rasa tinggi dalam berfesyen.

Itu gambaran positif yang ditunjukkan oleh penyanyi Britney Spears yang sebelum ini sering terbabit dengan kontroversi negatif.

Segalanya terserlah menerusi kemunculannya pada acara karpet Elton John AIDS Foundation Oscar Party 2013 di West Hollywood, California pada malam Ahad lalu.

Bintang berusia 31 tahun ini muncul dengan gaun hitam yang penampilannya dilihat lebih sebagai fesyen yang bercita rasa tinggi.

"Britney memeriahkan acara karpet Elton John AIDS Foundation Oscar Party 2013 dengan kemunculannya menggayakan gaun hasil kreativiti Michael Cinco Couture berwarna hitam yang cukup seksi dengan mendedahkan sebahagian besar dadanya yang bidang itu," ujar sumber kepada Mail Online.

Tambahnya: "Namun, bukan itu yang menjadi tumpuan. Fokus umum sebenarnya adalah terhadap warna rambut Britney yang kini berwarna kecoklatan - hampir menyamai warna asal rambutnya. 

"Penampilan terbaharu Britney itu membuatkan dia kelihatan sangat elegan dan menawan dalam erti kata penuh positif."

Adakah perkembangan terbaharu Britney itu ada kaitan dengan cinta terbaharunya?
Selepas putus tunang dengan Jason Trawick yang berimej liar, Britney kini dikatakan sedang bercinta dengan pemuda yang berimej bersih, David Lucado.

Pada 14 Februari lalu, Britney dilihat meraikan Hari Velentine bersama seorang lelaki misteri dengan bermain golf di kelab Sherwood berhampiran kediamannya di Los Angeles, California. 

Media kemudian mendedahkan lelaki tersebut ialah David Lucado yang juga merupakan seorang peminat sukan golf.

"David Lucado sama sekali berlawanan dengan ciri-ciri yang ada pada bekas tunang Britney, Jason Trawick," ujar sumber kepada TMZ.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Selasa, 26 Februari 2013

Kembangkan bakat di Malaysia


PELAKON muda ini sanggup berjauhan dengan keluarganya di Singapura demi mengejar kerjaya sebagai pelakon di Malaysia.
 
SEMAKIN hari semakin ramai pelakon dari Singapura yang berhijrah ke Malaysia kerana mahu melebarkan bakat dan kerjaya mereka dalam dunia lakonan.

Bukannya di negara pulau itu tidak ada peluang berlakon teater, drama atau filem, tetapi Malaysia menjanjikan peluang yang lebih banyak.

Jika tidak, masakan pelakon seperti Atikah Suhaime sanggup berulang alik dari Singapura ke Kuala Lumpur bagi mengembangkan bakat dan minatnya sebagai pelakon.

Menurut pelakon berusia 22 tahun itu, sebelum mencuba nasib di Malaysia, dia terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon drama di negaranya sejak beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini saya memang sudah terbabit dalam bidang drama televisyen. Antara drama lakonan saya bertajuk Dikir Puteri dan Delicatessen yang telah disiarkan di Singapura.

“Tetapi saya belum puas berlakon dan mahu mencari peluang yang lebih banyak di Malaysia berbanding Singapura. Sejak dari dulu saya cuba mencari peluang berlakon di sini.

“Peluang itu datang apabila David Teo (pemilik MIG Production Sdn. Bhd.) menawarkan saya berlakon di bawah syarikat produksinya pada tahun lalu," katanya kepada Hits baru-baru ini.

Jelas Atikah, dia tidak menduga gambarnya yang tersiar di laman sosial Instagram baru-baru ini telah menarik perhatian David yang ketika itu sedang mencari pelakon baru.

“David kemudiannya suruh saya hantar resume kepadanya. Saya kemudiannya datang untuk menjalani satu sesi uji bakat dan kemudiannya lulus dalam sesi yang dijalankan itu.

“Saya kemudiannya diambil mengikat kontrak sebagai pelakon yang bernaung di bawah MIG Talent iaitu anak syarikat MIG untuk tempoh selama lima tahun.

“Sebagai permulaan saya diberi peluang melakonkan watak-watak pembantu dalam drama-drama dan filem-filem terbitan MIG sejak tahun lalu sampai sekarang," ujarnya.
Berjauhan dari keluarga

Setelah mengikat kontrak sebagai artis MIG Talent Sdn. Bhd., Atikah telah mengambil keputusan untuk menetap sementara di Petaling Jaya, Selangor sejak tahun lalu.

Dia sanggup berjauhan daripada ibu bapa dan adik beradiknya yang menetap di Tampines, Singapura bagi memudahkannya menjalani penggambaran drama dan filem terbitan MIG di sini.

“Saya bersyukur kerana MIG telah mengambil saya bernaung di bawah produksi mereka. Secara tidak langsung saya ada banyak peluang berlakon drama dan filem terbitan mereka.

“Malah, pihak MIG turut menyediakan sebuah rumah untuk saya dan para pelakon lain yang berada di bawah MIG di Taman Sri Manja, Petaling Jaya sepanjang menjadi artis mereka.

“Biasanya saya akan balik ke Singapura sebulan sekali. Saya akan ambil cuti seminggu untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga saya di Singapura," jelasnya.

Tidak sampai setahun menjadi pelakon, hasil kerja dan bakat Atikah mula kelihatan apabila semakin banyak drama lakonannya yang telah ditayangkan di kaca-kaca televisyen.

Antara drama dan telemovie lakonannya yang telah disiarkan itu berjudul Kampung Mangkuk Sengkuang (TV3) dan Rawan sebanyak lapan episod menerusi TV9 baru-baru ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu menambah, selepas setahun terbabit dalam dunia lakonan di negara ini, dia dapat merasakan banyak kelainan berbanding di negaranya.

“Di Singapura walaupun saya berlakon dalam drama Melayu, tetapi hampir 70 peratus dialog yang digunakan dalam bahasa Inggeris dan macam sebuah drama yang berbahasa rojak.

“Malaysia masih berpegang kepada kekuatan bahasa Melayu dalam drama-dramanya. Mungkin di Singapura bahasa Inggeris lebih popular berbanding bahasa Melayu," katanya.

Justeru, Atikah berharap pengorbanan meninggalkan keluarganya di negara republik itu berbaloi, apatah lagi apabila melihat ramai pelakon Singapura yang berjaya di sini.

Tambahnya lagi, kejayaan yang ditempa oleh pelakon dari Singapura seperti Aaron Aziz dan Adiputra secara tidak langsung memberi perangsang buat dirinya.

“Saya kagum dengan bakat dan kejayaan Aaron Aziz dan Adi Putra kerana mereka sebelum itu memang telah dikenali sebagai pelakon di Singapura dan sekarang ini di Malaysia.

“Baru-baru ini saya pernah berjumpa mereka dalam sebuah majlis dan kami sempat berbual sekejap. Tetapi mereka tidak tahu saya juga orang Singapura," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Wings janji kelainan


HAMPIR tiga dekad melayari ranjau sebagai sebuah kumpulan rock terkemuka, Wings boleh berbangga apabila mereka mampu berdiri megah sejauh ini. Tidak terhenti daripada terus menghiburkan jutaan peminat, kumpulan yang dianggotai oleh empat ahli ini ada misi besar yang harus dilunaskan.

Bertempat di Istana Budaya (IB) bermula 26, 27, 28 dan 30 April depan, Wings sekali lagi diberi penghormatan untuk menakluk panggung bertaraf dunia bagi sebuah komuniti rock.
Sebagai salah kumpulan yang pernah beraksi di situ, sudah pasti kunjungan kali kedua ini perlu diperkemas dalam segala sudut.

Tidak terkecuali, Wings tetap akan menggunakan khidmat Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) sepanjang konsert berkenaan. Sudah pasti khalayak seni tertunggu-tunggu formula baru konsert Wings Rockestra setelah dua tahun menyepikan diri.

Terpancar kegembiraan di wajah Awie, Joe, Black dan Eddie yang juga merupakan tulang belakang Wings selama ini. Kehadiran mereka ke pentas IB kali kedua cukup dirasai apatah lagi dapat bergandingan bersama OSK sekali lagi.

OSK yang akan dipimpin oleh Mustafa Fuzer turut dianggotai 43 ahli akan mendendangkan lebih 20 seleksi lagu-lagu popular Wings yang pelbagai. Sudah pasti dengan penambahan OSK ini akan memberikan dimensi lain kepada lagu-lagu pilihan mereka.

Selaku vokalis Wings, Awie tidak menafikan rasa teruja dengan persembahan kali ini memandangkan sambutan yang diberi oleh peminat dua tahun lalu di luar jangkaan dan kekal diingati.

"Kita tidak akan mengulangi apa yang telah kita persembahkan ketika beraksi di pentas yang sama dua tahun lalu. Kalau diikutkan pemilihan lagu pun sudah kita bincangkan dan sudah di peringkat terakhir.

"Apa yang saya pasti 80 peratus lagu kali ini lain dan tak sama dengan yang dulu. Kita mahu suntik kelainan memandangkan lagu-lagu yang Wings ada sangat banyak dan ada yang jarang kita persembahkan di mana-mana konsert.

"Kalau mereka yang memang minat Wings tentu sudah mengikuti perkembangan kami sejak dulu. Jadi rasanya tak ada masalah untuk mereka mengetahui lagu-lagu itu walaupun jarang keluar radio misalnya.
"Apa-apa pun saya harap tak ada peminat yang merungut dengan lagu-lagu tu nanti," jelas Awie.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1985, Wings adalah antara kumpulan rock yang harus dibanggakan. Mereka telah menghasilkan 17 album studio, 10 album kompilasi dan empat album rakaman secara langsung.

Tidak pernah menyangka mampu bertahan selama ini, Wings yakin atas usaha dan kerja keras mereka selama ini yang memanjangkan hayat mereka. Lantas, inilah masa untuk mereka terus menghiburkan para peminat dengan memberikan persembahan terbaik.

Akui Awie lagi, sejak dia menguar-uarkan konsert Wings Rockestra beberapa bulan lalu, dia sudah menerima maklum balas yang baik daripada peminat.

"Alhamdulillah ramai yang memang bersemangat nak tengok konsert kali ini. Bila saya tengok sambutan hangat yang mereka beri, itu menambahkan lagi rasa seronok nak beraksi di pentas ini.

"Memang kita sudah merancang pelbagai kejutan untuk diberikan pada empat malam itu. Tapi semua itu tidak boleh didedahkan termasuklah siapa artis undangan kali ini. Itu kena tunggu sikit masa lagi.

"Kita akan memperdengarkan lagu Menakluk Kosmos yang juga merupakan lagu baru kami," jelas Awie lagi.

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Wings Rockestra dianjurkan oleh Anggerik Event Sdn. Bhd berharga RM499, RM399, RM299, RM199, RM149, RM99 dan RM69 kini sudah mua dijual. Layari www.ticket2ubiz atau datang sendiri ke kaunter tiket Istana Budaya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Neelofa buang ego


BARU sahaja mencecah usia 24 tahun. Masih jauh perjalanan yang perlu ditempuhi dan sudah pasti angka tersebut melambangkan fasa remaja yang masih ditempuhi.
Namun banyak yang sudah ditempuhi oleh figura yang seorang ini dalam usianya yang masih hijau. Cukup untuk melambangkan kegigihannya.

Awal pembabitan Neelofa Mohd Noor sudah diterjah dengan pelbagai kontroversi. Dituduh bercakaran dengan pelbagai nama, ramai yang mula sangsi pada wanita yang seorang ini.

Tak usah menyelak kembali sejarah tersebut memandangkan segala-galanya sudah tinggal kenangan. Di sebalik sisi negatif seperti yang dilemparkan umum, ada banyak kebaikan yang mengiringi.
Dia sudah tidak lagi melatah saat terhimpit cerita buruk. Sikap positif yang ditunjukkan Neelofa sejak akhir-akhir ini juga cukup menyerlahkan lagi persona dirinya.

Pun begitu, walaupun banyak kontroversi berjaya ditolak ke tepi, itu masih belum membuatkan khalayak menyayanginya sepenuh hati.

Tidak pernah kisah dengan apa juga persepsi yang dilemparkan umum kepadanya, Neelofa yang cukup mesra disapa Lofa yakin dia hanya melakukan yang terbaik untuk dirinya.

"Siapa saya untuk memenuhkan semua impian orang atau nak buat orang gembira dengan apa yang saya lakukan. Saya juga orang biasa dan tak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
"Cuma dalam usia begini saya telah menghadapi segala-gala. Apa lagi yang orang tak kata pada saya? Kontroversi apa lagi yang tak pernah saya lalui?

"Bukan meminta perkara tersebut terjadi lagi tetapi apa yang boleh saya katakan kontroversi itu cukup untuk mematangkan saya dalam pelbagai sudut.

"Setiap kali saya berjaya atasi masalah, itu adalah detik paling manis sebenarnya. Apa yang penting saya juga tidak mahu dilabel dengan pelbagai kata-kata kurang manis," tegas Neelofa.

Ego menurunMELALUI hari-hari lalu dengan penuh rasa syukur, Neelofa tidak mahu terus dikaitkan bercakaran dengan sesiapa pun lagi. Dia mahu segala kekeruhan yang mengiringi kariernya sebelum ini dibuang jauh-jauh tanpa perlu diungkit lagi.

"Saya sebenarnya letih untuk dikaitkan bergaduh dengan orang itu, bercakar dengan orang ini. Cukup-cukuplah beberapa nama terkait dengan saya selama ini.

"Sebagai manusia biasa saya juga mahukan kedamaian. Saya tak mahu hidup saya dikatakan bermusuh dengan orang itu, orang ini sampai saya rasa rimas.

"Padahal kadangkala antara kami tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma bila cerita yang bertebar ditokok tambah, itu yang menambah 'perisa' menjadikan seolah-olah saya bersalah.

"Saya juga sudah masak dengan 'permainan' ini dan kalau boleh cukup-cukuplah sebab saya tak akan ambil pusing lagi," jelas pengacara MeleTOP ini.

Adakah ego Neelofa semakin menurun sejak akhir-akhir ini? Saat ditanya tentang isu tersebut, dia dengan tenang mengakui kebenarannya.

Sudah tiba masa untuknya lebih rasional dalam menghadapi apa sahaja halangan daripada terus terbelenggu dek emosi negatif.

"Mungkin ada benarnya ego saya semakin menurun sejak usia menginjak. Saya anggap perubahan ini adalah perubahan yang positif untuk diri sendiri. Kalau terus dengan ego, sampai bila pun isu lapuk tak akan selesai.
"Saya juga tidak mahu terus merosakkan diri dengan memikirkan masalah yang tak selesai. Daripada berterusan lebih baik saya segera menjernihkan keadaan.

"Setidak-tidaknya hidup saya lebih tenang dan boleh fokus kepada perkara yang lebih penting," jelasnya lagi.
Jodoh"Saya tidak penat tetapi sebenarnya rimas nak bercakap soal lelaki, jodoh dan isu-isu peribadi. Kalau boleh memang saya enggan ulas lagi memandangkan terlalu banyak kisah itu keluar sebelum ini," tegas Neelofa.

Bagi duta tilam King Koil ini, dia sebenarnya kasihan dengan Hans Isaac yang sering kali terpalit setiap kali ceritanya menghiasi kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar.

Tidak adil untuknya terus mengaitkan nama Hans memandangkan isu ini seharusnya tidak digembar-gemburkan untuk kebaikan bersama.

"Saya masih muda dan soal jodoh ini masih jauh untuk saya sebenarnya. Tapi orang selalu bertanya sampaikan saya rimas untuk beri apa-apa jawapan.

"Kalau saya kata macam ini, esok akan keluar macam-macam berita. Saya lebih rela isu ini ditolak ke tepi memandangkan banyak perkara lain yang boleh diketengahkan.

"Dia mungkin tidak ada masalah dengan isu macam ini tapi saya juga perlu jaga hati keluarga. Kalau asyik cerita cinta sahaja yang keluar, macam mana pula kata keluarga saya.

"Sebab itu saya mohon agar tidak terus dikaitkan dengan Hans buat masa ini. Biarlah kami tumpu tugas dan bisnes masing-masing sebelum cakap soal jodoh," pintanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Debaran El Clasico



MESSI menjadi taruhan Barcelona ketika berdepan Real pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.


MADRID - Lionel Messi mengakui yang Barcelona perlu bangkit menjelang pertemuan El Clasico dengan seteru utama, Real Madrid pada aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol di Nou Camp awal pagi esok.

Selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini, Barcelona mula menunjukkan tanda-tanda keletihan selepas tunduk 0-2 kepada AC Milan dalam kempen Liga Juara-Juara minggu lalu.
Skuad The Catalan itu nyaris dimalukan Sevilla dalam saingan Liga Sepanyol kelmarin apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menang tipis 2-1.

Justeru Messi menyifatkan, hanya kemenangan ke atas Real yang mampu menyuntik kembali semangat mereka.

"Kami perlu mempamerkan prestasi terbaik kami apabila turun menentang Real nanti. Kami harus berada pada tahap sebenar jika mahu mara ke final," kata Messi.

Messi menambah rekod jaringannya dengan menyumbang satu gol ketika Barca menang ke atas Sevilla dan ia merupakan gol ke-15 berturut-turut yang dilakarnya buat kelab Catalan itu.

"Kami harus kembali kepada tahap seperti sebelum ini dan tidak harus memikirkan tentang apa yang bakal menanti kami di Milan nanti.

"Kami juga harus melupakan aksi hambar ketika menentang Sevilla tempoh hari.
"Nasib kami dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara kini terletak di tangan kami sendiri. Kami tidak akan memberi tumpuan kepada pasukan lawan.

"Secara fizikalnya, pasukan ini masih dalam keadaan yang baik dan saya sudah biasa bermain dalam semua perlawanan," tambah penyerang Argentina itu.

Aksi separuh akhir pertama di Santiago Bernabeu dua minggu lalu menyaksikan Barcelona berjaya mengikat Real dengan keputusan seri 1-1. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

'Kami akan terus kejar United'



TEVEZ (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, James Milner pada aksi Liga Perdana England di Stadium Etihad kelmarin. City menewaskan Chelsea 2-0.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, beliau masih belum menyerah kalah dalam persaingan memburu trofi Liga Perdana England musim ini selepas kejayaan membenam Chelsea 2-0 di Stadium Etihad kelmarin.

Jaringan daripada Yaya Toure dan Carlos Tevez sudah cukup menghadiahkan tiga mata berharga buat City.
City kini terus mengejar pendahulu, Manchester United yang memiliki kelebihan 12 mata dan mereka masih enggan berputus asa ketika saingan liga berbaki 11 perlawanan.

"Saya rasa amat penting bagi kami sekarang untuk tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan liga," kata Mancini.

"Kami hanya perlu meneruskan usaha seperti hari ini (kelmarin) dan bermain dengan baik.
"Dalam bola sepak, ia hanya akan berakhir apabila ia benar-benar telah berakhir iaitu ketika wisel penamat aksi terakhir ditiupkan.

"Jika menjelang baki empat perlawanan terakhir United masih lagi mendahulu 12 mata, maka ia mungkin telah berakhir tetapi saya rasa tugas kami adalah untuk terus mengejar mereka."

Pada perlawanan kelmarin, Chelsea berpeluang mendahului apabila penjaga gol City, Joe Hart menjatuhkan Demba Ba pada minit ke-51.

Hart bagaimanapun berjaya menebus kesilapannya itu dengan menyelamatkan sepakan penalti Frank Lampard, sekali gus menghalang perancang The Blues itu menjaringkan gol ke-200 dalam kariernya.
"Setiap kali dia (Hart) melakukan kesilapan, saya akan terus menasihatinya. Saya rasa penalti itu berpunca daripada kesilapannya dan juga Kolo (Toure).

"Namun, selepas itu dia beraksi dengan baik dan menyelamatkan penalti tersebut. Ia amat penting.
"Permainan mungkin akan berubah jika Chelsea mendapat gol tetapi kami bermain dengan bagus dan turut berpeluang menambah beberapa lagi jaringan," kata Mancini. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Penantian berakhir



BARISAN pemain Swansea meraikan kejayaan muncul juara Piala Liga selepas membenam Bradford pada aksi final di Stadium Wembley kelmarin.


LONDON - Strategi jangka panjang menjadi kunci kejayaan Swansea City yang akhirnya meraih trofi utama selepas tujuh tahun menanti.

Piala Liga yang dimenangi Swansea selepas menewaskan Bradford City 5-0 di Stadium Wembley kelmarin juga disifatkan pengurusnya, Michael Laudrup berkat kesabaran dan sumbangan pengurus sebelum ini yang sama-sama membangunkannya.

Antara pengurus yang pernah membimbing kelab selatan Wales itu sebelum ini adalah Roberto Martinez, Paulo Sousa dan Brendan Rodgers.

"Falsafah membangunkan kelab ini sudah ada enam hingga tujuh tahun lalu dan ketibaan saya hanya menyambung apa yang telah dilakukan pengurus terdahulu.

"Kerana falsafah antara pengurus itu sama, maka mudah bagi saya membangunkannya. Pengurus sedemikian biasanya mencari jenis pemain yang sama.

"Jadi, bila datang pengurus baharu, tidak perlu kerap tukar pemain seperti kelab lain. Dari segi ekonomi, ia memang menjimatkan dan baik untuk kelab ini," katanya.

Bagi Bradford, mereka pula tidak perlu malu dengan kegagalan itu kerana reputasi sebagai kelab Divisyen Empat yang berjaya layak ke final Piala Liga sudah cukup membanggakan.

Untuk rekod, Bradford merupakan kelab Divisyen Empat yang pertama layak ke final sejak kali terakhir Rochdale melakukannya pada 1962.

Laudrup sendiri memuji kemampuan Bradford itu yang dianggapnya suatu pencapai- an yang berhak diingati sampai bila-bila.

"Lihat pasukan apa yang mereka kalahkan sebelum ini seperti Wigan, Arsenal, Aston Villa dan Watford. Ia menakjubkan dan akan menjadi sejarah buat Bradford," tegas Laudrup.

Gol-gol Swansea kelmarin disumbangkan Nathan Dyer dan Jonathan de Guzman yang masing-masing menyumbang dua gol manakala satu lagi gol disumbangkan Michu. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Fakri sah milik Kelantan

FAKRI sudah sah akan mewakili Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.


DESAS-desus mengenai kelibat seorang lagi pemain muda berbakat yang berkelana menimba ilmu di Portugal, Ahmad Fakri Saarani akan kembali mewarnai liga bola sepak tempatan, akhirnya menjadi kenyataan apabila dia kini sah menjadi milik gergasi Pantai Timur, Kelantan.

Selepas Nazmi Faiz Mansor, 19, yang beraksi untuk S.C. Beira-Mar, kini tiba giliran pemain kebangsaan berusia 24 tahun yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu itu.

Sebelum ini Fakri mengikat kontrak selama enam bulan bersama kelab Divisyen Tiga Portugal Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC).

Pengesahan berita tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosial Facebook beliau semalam, dan ia pastinya memberi- kan khabar gembira kepada para peminat The Red Warriors.

Menurut Annuar, pihaknya telah menyelesaikan segala urusan melibatkan kontrak pemain berkenaan, termasuk perbincangan dengan kelab dari Portugal tersebut yang berjaya dimuktamadkan kelmarin.
Ia bermakna, Kelantan berjaya membawa pemain berkenaan ke Kota Bharu.

“Semuanya telah selesai melalui wakil kedua-dua pihak di Portugal. Kehadiran Fakri akan memperkasakan lagi jentera serangan The Red Warriors yang kini turut memiliki Dimitrios Petrators dan Dickson Nwakaemi.
“Fakri dijangka pulang ke tanah air Mac ini, sebaik sahaja tamat liga di Portugal,” kata Annuar melalui laman sosial tersebut.

Beliau yang dihubungi kemudiannya memberitahu, Ahmad Fakri menandatangani kontrak bersama Kelantan selama setahun dengan pilihan lanjutan kontrak selama setahun lagi.

Sebuah akhbar semalam melaporkan, pengurus peribadi pemain tersebut, Faisal Zakariah membayangkan bahawa pemain di bawah jagaannya itu mungkin kembali beraksi dalam liga tempatan jika kelab yang diwakilinya gagal naik ke divisyen dua.

Kosmo! dalam laporan sebelum ini juga menyiarkan khabar angin tentang kemungkinan pemain muda berbakat itu akan pulang beraksi dalam liga tempatan dan memilih Kelantan sebagai pasukan baharu yang ingin diwakili bagi mengembangkan kariernya.

Annuar dalam pada itu turut menjelaskan, Ahmad Fakri menepati beberapa kriteria diperlukan oleh The Red Warriors, iaitu bermain untuk pasukan kebangsaan dan berada di posisi penyerang yang mana Kelantan kini memerlukan seorang penyerang berkesan untuk menyelesaikan masalah jentera hadapan mereka. 

Untuk rekod, Ahmad Fakri memulakan kerjaya selaku pemain bola sepak dengan menyertai skuad Piala Presiden Perak pada tahun 2006 sebelum menyertai pasukan senior selama dua musim (2007 hingga 2008).
Bintang Ahmad Fakri terus bersinar apabila dia kemudiannya dipanggil menyertai skuad
Harimau Muda A pada musim 2008 hingga 2009.
Selain itu, dia juga pernah beraksi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Muda, jelita, seksi, terbaik



CANTIK, muda, seksi dan berbakat. Itu kriteria paling sesuai ditujukan kepada pelakon yang mencipta nama menerusi filem-filem pecah panggung seperti The Hunger Games dan X-men: First Class, Jennifer Lawrence yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Academy ke-85 semalam.

Lebih menarik lagi, kejayaan pelakon kelahiran Kentucky, Amerika Syarikat yang baru berusia 22 tahun itu diraih selepas menewaskan pelakon yang lebih senior seperti Jessica Chastain (Zero Dark Thirty) Emmanuelle Riva (Amour) dan Naomi Watts (The Impossible).

Tidak ketinggalan, Jennifer turut mendapat saingan daripada seorang pelakon kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun iaitu Quvenzhane Wallis menerusi filem Beasts Of The Southern Wild.

Namun berlaku sedikit insiden memalukan ketika Jennifer sedang melangkah ke pentas majis anugerah sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang oleh aktor Jean Dujardin. Dia tiba-tiba terjatuh di tangga ekoran gaun yang dipakainya terlalu labuh dan berat.

Meskipun mengalami insiden yang cukup memalukan, Jennifer tetap berbangga apabila para tetamu memberikan penghormatan dengan standing ovation (berdiri dan memberikan tepukan gemuruh) kepadanya.
KETERUJAAN jelas terpancar pada wajah Jennifer Lawrence (kiri) dan Anne Hathaway dengan kemenangan masing-masing.


"Kamu semua berdiri kerana berasa sesuatu yang agak melucukan apabila saya terjatuh, tetapi saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan yang diberikan.

"Semua ini memang gila dan sudah tentu saya tidak percaya dengan kemenangan yang diraih ini," ungkapnya sambil mengucup trofi Oscar yang dimenanginya hasil lakonannya sebagai Tiffany dalam filem Silver Linings Playbook itu ketika berucap di atas pentas. 

Filem tersebut mengisahkan tentang kehidupan yang dilalui Tiffany Maxwell, seorang janda muda yang mengalami masalah ketagih seks setelah kematian suami.

Dalam filem itu juga, Jennifer turut bergandingan dengan aktor Bradley Cooper yang membawakan watak sebagai Patrizio Solitano, seorang bekas guru yang mengidap penyakit bipolar.

Meskipun Jennifer berhasil meraih kejayaan untuk kategori Aktres Terbaik, lain pula ceritanya buat Bradley yang gagal memenangi Aktor Terbaik setelah tumpas di tangan Daniel Day Lewis yang membawakan watak Abraham Lincoln dalam filem Lincoln

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, ternyata lakonan Jennifer sebagai Tiffany Maxwell dalam filem romantik komedi itu memberikan impak yang besar buat dirinya.

Buktinya, sebelum ini aktres itu turut berjaya memenangi kategori Aktres Terbaik (Komedi) pada acara Anugerah Golden Globe ke-70 yang berlangsung pada bulan lalu.

Bagaimanapun, ia bukan merupakan kali pertama aktres berkenaan pernah tercalon merebut trofi Oscar. Dua tahun lalu dia pernah tercalon dalam kategori yang sama menerusi filem Winter's Bone.

Bersaing dengan beberapa pelakon hebat seperti Natalie Portman, Annette Bening, Nicole Kidman dan Michelle William, akhirnya dia terpaksa akur apabila tewas di tangan Natalie yang menampilkan lakonan mantap dalam filem Black Swan.



Ternyata permulaan awal tahun 2013 pastinya memberikan kejayaan tersendiri buat pelakon yang memulakan kerjaya sebagai pelakon tujuh tahun lalu setelah menggondol dua anugerah utama dalam tempoh dua bulan.
Menang besar
Pada majlis Anugerah Academy ke-85 juga menyaksikan filem Lincoln mendapat pencalonan terbanyak iaitu 12 kategori dan diikuti dengan Life Of Pi dengan 11 kategori.
Meskipun mendapat pencalonan terbanyak, ternyata penguasaan filem berkenaan dalam memenangi trofi Oscar kali agak mengecewakan apabila ia sekadar membawa pulang dua trofi iaitu menerusi kategori Aktor Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.
Sebaliknya, filem Life Of Pi yang mengisahkan tentang seorang pemuda yang terdampar di lautan bersama seekor harimau telah menang besar apabila meraih empat trofi.
Life of Pi menang Anugerah Skor Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Pengarah Terbaik yang diraih oleh Ang Lee.
Selain itu, filem muzikal Les Miserables yang tercalon dalam lapan kategori pula berbangga apabila Anne Hathaway berjaya meraih trofi untuk kategori Aktres Pembantu Terbaik, meskipun pelakon utamanya iaitu Hugh Jackman gagal memenangi Anugerah Aktor Terbaik.

BEN AFFLECK (depan, tengah) sedang berucap penuh emosi bersempena kemenangan filem arahannya, Argo merangkul Anugerah Filem Terbaik.


Sebuah lagi filem iaitu Argo lakonan dan arahan Ben Affleck yang tercalon dalam tujuh kategori telah mencipta kejayaan tersendiri apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
"Ada sembilan buah filem yang tercalon untuk kategori Filem Terbaik, jadi saya anggap kesemua filem yang tercalon ini memang sangat hebat dan persaingan memang agak sengit," ulas Affleck tentang kemenangan Argo itu.

Selain Argo, antara filem lain yang turut tercalon seperti Amour, Beasts Of The Southern Wild, Django Unchained, Les Miserables, Life of Pi, Lincoln, Silver Linings Playbook dan Zero Dark Thirty.
Menariknya, Argo merupakan filem yang dipilih sebagai Filem Terbaik, namun Affleck selaku pengarahnya langsung tidak tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik. 

Situasi yang sama kali terakhir pernah berlaku menerusi filem Driving Miss Daisy pada majlis Academy Awards ke-62 pada tahun 1989.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Aizat bermisai bukan sebab kekasih hati



PELANTUN lagu hit, Hanya Kau Yang Mampu ini mempunyai sebab tersendiri kenapa dia kini bermisai.


SELEPAS penyanyi antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna memilih Aizat Amdan untuk menyanyikan lagu miliknya, Terukir Di Bintang di pentas Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27), rupa-rupanya dalam diam-diam Aizat menaruh hati untuk menyunting Yuna.
Kejayaan Aizat membawakan lagu tersebut sehingga dinobatkan sebagai juara AJL27 menjadi penguat semangat kepada penyanyi dan komposer muda itu menyatakan hasrat untuk menyunting dan melamar Yuna.
Aizat akhirnya berkesempatan menyatakan hasratnya itu kepada Yuna tetapi bekas kekasih kepada Qi Razali itu begitu sibuk dengan kerjaya nyanyiannya di Amerika Syarikat dan meminta Aizat menunggunya.
Apakah ikatan sebenar yang terjalin antara Yuna dan Aizat? Ikuti temu bual Kosmo! bersama Aizat.

Kosmo!: Apakah maksud anda ingin menyunting dan melamar Yuna?
AIZAT: Sebenarnya saya berhasrat untuk menyuntingnya untuk berkolaborasi bersama dalam sebuah album.
Adakah Yuna sudah menyatakan persetujuan untuk berkolaborasi bersama Aizat?
Susah hendak bekerjasama dengan Yuna sebab dia sangat sibuk. Namun, saya sudah beritahu dia mengenai hasrat saya ini. Dia bersetuju cuma belum ada masa yang sesuai. Saya kena tunggu dia pulang ke Malaysia dan kemudian baru boleh masuk studio.

Adakah anda kecewa kerana perlu menunggu Yuna?
Tidak mengapa. Sementara menunggu dia, saya boleh fokus kepada penghasilan album ketiga saya termasuk projek kumpulan Go Gerila serta menghasilkan album untuk penyanyi di bawah syarikat milik saya, Kasi Gegar Entertainment, Amir Jahari.

Berapa buah lagu yang bakal terkandung dalam album ketiga anda nanti dan bilakah ia akan dilancarkan?
Insya-Allah, album ketiga saya nanti mengandungi 12 lagu - enam lagu Inggeris dan enam lagu Melayu. Ia dijadualkan berada di pasaran menjelang bulan Mei ini.
Apakah kelainan album ketiga Aizat itu? 

Ia bakal menonjolkan sisi kematangan diri saya. Album itu juga akan menjadi produk pertama yang dihasilkan di studio milik saya sendiri. Selain itu, peminat juga dapat lihat kelainan dari segi muzik kerana saya juga akan bekerjasama dengan beberapa penyanyi terkenal tempatan termasuk penyanyi antarabangsa.
Siapakah penyanyi-penyanyi tempatan dan antarabangsa yang Aizat maksudkan itu?
Saya terpaksa rahsiakan dulu sebagai kejutan kepada peminat.

Album terakhir Aizat diterbitkan tiga tahun lepas. Kenapakah ambil masa yang lama untuk hasilkan album baharu?

Saya rasa inilah masanya untuk saya muncul dengan album baharu selepas tiga tahun. Sebabnya, studio syarikat saya juga sudah siap dan memudahkan untuk kerja-kerja rakaman dan saya juga baru selesai mengikuti pengajian dalam bidang Logic Pro Course selama empat bulan di Garnish School Of Sound (SOS), Hackney, London. 

Imej Aizat kini sudah berubah, sudah bermisai. Adakah ia disebabkan oleh seseorang? Teman wanita barangkali?

Hati saya belum milik sesiapa dan saya masih mencari (ketawa). Bukan kerana sudah ada kekasih menyebabkan imej saya berubah tetapi saya lakukan imej ini secara spontan.
Umur Aizat sudah 24 tahun, masih belum mempunyai sesiapakah yang istimewa di hati?
Saya bukan menolak atau tidak ada keinginan untuk bercinta, tetapi biarlah saya fokus pada kerjaya dulu.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

Rabu, 13 Februari 2013

Juventus enggan mendabik dada


GLASGOW - Jurulatih Juventus, Antonio Conte pastinya individu yang paling berpuas hati di tepi padang sebaik skuad kendaliannya melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Celtic dalam aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Stadium Parkhead awal pagi semalam.

Conte yang pernah digantung empat bulan kerana didapati bersalah atas tuduhan mengatur perlawanan sebelum ini sudah boleh tersenyum lebar selepas menyaksikan kemampuan anak-anak buahnya meraih bekalan selesa ke Stadium Juventus dalam aksi kedua kira-kira tiga minggu lagi.

Kejayaan menerajui takhta saingan liga domestik - Serie A ketika ini juga dilihat melengkapkan mimpi indah Conte bagi melupakan kedukaan silam.

Meskipun sedar aksi di Turin selepas ini bagaikan pelengkap jadual perlawanan semata-mata, Conte masih tetap menghormati kemampuan Celtic.

"Ia satu kemenangan yang cukup penting memandangkan Celtic dilihat cukup liat untuk ditewaskan di depan penyokong sendiri.

"Sejujurnya, saya tidak pernah mengharungi perlawanan yang cukup tertekan seperti itu sebelum ini," kata Conte.

Dalam perlawanan itu, Juventus memecah kebuntuan seawal minit ketiga menerusi jaringan Alessandro Matri sebelum Claudio Marchisio menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat pada minit ke-77.

Mirko Vucinic akhirnya melengkapkan mimpi ngeri tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga Juventus pada minit ke-83.

Conte memberitahu, anak-anak buahnya perlu kekal berwaspada biarpun memiliki kelebihan peraturan gol di tempat lawan.

"Barcelona pernah tewas di sini (Glasgow). Selain itu, Celtic juga pernah menyingkirkan Benfica (pada peringkat kumpulan musim lalu).

"Jadi tiada sebab mengapa kami perlu beraksi sambil lewa di Turin selepas ini." - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/

'Saya tak bunuh karier pemain'




JURULATIH Harimau Muda, Ong Kim Swee mendedahkan bahawa beliau tidak pernah ‘membunuh’ karier mana-mana pemain muda negara.

Sebaliknya, beliau sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pemain muda yang mempamerkan prestasi cemerlang untuk diserapkan dalam skuad kendaliannya itu.

Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluang pemain muda berbakat negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang kini kembali ke tanah air selepas menamatkan kontrak dengan kelab Portugal, S.C Beira-Mar.

“Saya tidak 'membunuh' karier mana-mana pemain. Nazmi tetap berpeluang untuk beraksi bersama Harimau Muda A, tetapi dia perlu membuktikan keupayaannya terlebih dahulu,” tegas Kim Swee.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Isnin, 11 Februari 2013

Gelaran dalam cengkaman


Alex Ferguson 
 
MANCHESTER, United Kingdom - Alex Ferguson mengakui gelaran Liga Perdana kini dalam cengkaman Manchester United selepas semakin selesa menduduki puncak dengan kelebihan 12 mata di depan Manchester City berikutan kemenangan 2-0 ke atas Everton, semalam

Selepas mendapat tahu City tewas kepada Southampton, Sabtu lalu, Ferguson menukar pelan asal dengan merehatkan pemain-pemain utama bagi saingan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu, Khamis ini.

Tindakan itu membuahkan hasil apabila United mencatat kemenangan di Old Trafford selepas yakin United akan merampas semula gelaran itu dengan baki perlawanan tinggal 12. 

''Saya pada awalnya mahu melakukan rombakan melibatkan tujuh pemain, tetapi selepas mendapat tahu City kalah, saya berpendapat perlawanan ini amat penting buat kami.

''Kemenangan ini meletakkan United selesa di puncak dan kita perlu mencatat kemenangan demi kemenangan selepas ini,'' katanya.

Ferguson turut memuji pemain tengah veteran, Ryan Giggs, 39, yang meneruskan persembahan cemerlang menjaringkan gol pertama sebelum Robin van Persie melengkapkan gol kedua.
Giggs menyuntik semangat pemain-pemain United dengan jaringan pembukaan seawal minit ke-13, gol pertama daripadanya pada musim ini.

''Dia (Giggs) seorang manusia luar biasa. Dalam usianya 39 tahun dia berjaya mempamerkan permainan yang bagus dan tenaganya hebat sekali,'' kata Ferguson.

Paling menarik, perlawanan semalam turut disaksikan pengurus Real Madrid, Jose Mourinho yang pasukannya akan menanti kunjungan United dalam saingan 16 akhir Liga Juara-Juara.

''Saya sempat berbual dengannya (Mourinho) dan pasukannya mencatat kemenangan bagus 4-1 kelmarin. Perlawanan Liga Juara-Juara Khamis ini menjanjikan saingan menarik,'' ujarnya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Aksi Psy memukau pengunjung



CUACA panas tidak menghalang Psy memberikan persembahan terbaik kepada peminat dan penonton yang datang berhimpun di padang Kolej Han Chiang, George Town.


GEORGE TOWN – Persembahan bertenaga bintang ternama Korea Selatan, Psy menggegarkan sambutan majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina anjuran Barisan Nasional (BN) negeri yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya di padang Kolej Han Chiang di sini semalam.

Kira-kira 80,000 pengunjung memenuhi kawasan kolej tersebut termasuk di hadapan pentas utama sejak pukul 7 pagi lagi.

Pengunjung termasuk kanak-kanak kecil melaung-laungkan nama Psy sebaik beliau muncul di pentas kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

Psy yang mengenakan kot tanpa lengan dengan seluar serba putih memberitahu, dia teruja tiba di Malaysia dan mengucapkan selamat Tahun Baru Cina. Penyanyi itu berterima kasih kepada BN Pulau Pinang kerana menjemputnya membuat persembahan.

Sebaik muzik dimainkan, orang ramai menjerit-jerit nama Psy sebelum dia muncul diiringi 12 penari mempersembahkan lagu popularnya, Oppa Gangnam Style.

Psy atau nama sebenarnya Park Jae Sang mencipta nama apabila klip video Oppa Gangnam Style ditonton sebanyak 1.3 bilion kali dalam YouTube.

Sambil beraksi dengan muka bersahaja, Psy turut mengajak ribuan pengunjung menari tarian kuda bersamanya.

Selepas menamatkan persembahan, dia turun dari pentas tetapi sorakan para peminat memanggil-manggil namanya mendorong Psy kembali semula untuk nyanyian kali kedua lagu Oppa Gangnam Style.
Cuaca panas juga menyebabkan bintang berusia 35 tahun itu terpaksa menanggalkan cermin mata hitamnya untuk mengesat peluh beberapa kali ketika menyanyi.

PERSEMBAHAN Psy menerusi lagu Oppa Gangnam Style menghiburkan ribuan pengunjung pada majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina di George Town semalam.


Dia sempat berceloteh dengan berkata: “Saya faham cuaca panas di sini menyebabkan anda (penonton) juga nampak letih.”

Psy bersama rombongannya tiba dengan jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kira-kira pukul 6 pagi semalam selepas mengadakan persembahan di Rio de Janeiro, Brazil.

Difahamkan, beliau menginap di sebuah hotel mewah di bandar raya ini selama dua hari dan dibawa melawat ke beberapa lokasi menarik sebelum pulang ke Korea Selatan.

Ini merupakan persembahan pertama Psy di Asia Tenggara yang didatangkan khas oleh sebuah syarikat pengurusan acara dari Kuala Lumpur, Mega Ultimate Sdn. Bhd. bagi memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina.

Turut mengadakan persembahan ialah juara Asian Wave 2012 di Shanghai, China, Shila Amzah yang menghiburkan pengunjung dengan lagu Patah Seribu, Set Fire to the Rain dan dua lagu Mandarin, Zheng Fu dan Forever Love.

Kemunculannya turut mendapat tepukan gemuruh pengunjung yang menyanyi bersama-samanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Neelofa, Tasha berdamai


NEELOFA teruja bersama ahli kelab peminatnya, Neelofa Team yang hadir memberikan sokongan moral pada majlis hari jadinya yang ke-24 ini.


SEPANJANG dua tahun bergelar anak seni, Noor Neelofa Mohd. Noor boleh dikatakan antara artis yang cukup bertuah apabila kerjaya seninya berkembang dalam tempoh yang agak singkat.

Kini, pada usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun, Neelofa pastinya boleh berbangga dengan pencapaian yang dimilikinya, terutama dari segi karier serta populariti yang diraihnya sekarang.

Selain bergelar pelakon yang semakin dikenali ramai menerusi beberapa buah filem dan drama lakonannya, kariernya dalam bidang seni turut berkembang dengan bergelar pengacara rancangan Nona dan Meletop, dua buah program yang sememangnya mendapat sambutan baik daripada penonton.

Pintu rezekinya semakin terbuka luas apabila menjadi pilihan pelbagai jenama produk popular yang telah memilihnya menjadi duta atau jurucakap.

Ketika ditanya sama ada dia puas dengan kejayaan yang diraihnya itu, Neelofa dengan rendah diri menyatakan bahawa dia sebenarnya masih belum berhasil menjadi seorang anak seni yang berjaya.

"Saya tidak menganggap diri saya sudah berjaya sekarang ini kerana perjalanan seni saya masih lagi panjang. Cuma saya memang menyasarkan untuk mencapai kejayaan dalam usia yang muda.

"Jadi, saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi dan tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang saya nikmati sekarang ini.

"Namun begitu, saya gembira kerana mendapat sokongan daripada orang yang berada di sekeliling serta peminat," ujarnya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-24 dirinya yang berlangsung di Sunway Giza, Kota Damansara pada minggu lalu.

Menurut Neelofa, selain mahu terus mengembangkan bakatnya dalam dunia seni sebagai pelakon dan pengacara, dia juga menyatakan mahu menjadi seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.

Ujarnya, buat masa ini dia sedang memberi fokus kepada perniagaan produk kesihatan BellaVita yang mula diusahakannya pada tahun lalu dan kini semakin berkembang baik.

Bagi memastikan perniagaannya itu membuahkan hasil yang lumayan dan memberangsangkan, Neelofa memberitahu dia terpaksa membuat pelaburan yang banyak.

"Saya telah melaburkan puluhan ribu ringgit semata-mata membeli sedikit slot dalam rancangan Wanita Hari Ini pada setiap hari Rabu untuk mempromosikan produk BellaVita ini.

"Boleh dikatakan sudah banyak wang yang dibelanjakan sehingga membuat pinjaman bank bagi memastikan produk yang saya usahakan ini berjaya di pasaran sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan datang," ujarnya.

Menurutnya, selain produk kesihatan BellaVita dia juga sudah merancang untuk menghasilkan lagi beberapa produk lain bagi meluaskan lagi perniagaan yang diusahakannya sekarang ini.
Perkahwinan

Pada usianya yang sudah mencecah 24 tahun, sudah tentu ramai yang beranggapan ia merupakan usia yang cukup sesuai buat seorang wanita untuk melangkah ke alam rumah tangga.

Bagaimanapun, Neelofa yang pernah digosipkan dengan penerbit dan pelakon Hans Isaac sebelum ini menganggap dirinya masih lagi muda untuk menuju ke gerbang perkahwinan.

"Buat masa ini saya tidak terfikir untuk berumah tangga kerana sasaran saya sekarang ini mahu mengecap kejayaan dalam bidang yang saya ceburi terlebih dahulu. Lagipun, kini saya sedang berusaha gigih agar segala usaha yang dilakukan berjaya.

"Apabila tiba masanya saya berkahwin nanti, kalau boleh saya mahu menjadi seorang isteri yang tidak terlalu berharap kepada suami dan menggunakan duit sendiri untuk membeli apa sahaja yang diingini," tegasnya.
Menurutnya, memandangkan jadualnya yang cukup padat sebagai seorang pelakon, pengacara dan ahli perniagaan, dia akan memikirkan tentang perkahwinan kira-kira tiga atau empat tahun akan datang.

Konflik 

Sebelum ini sudah ramai yang mengetahui mengenai sedikit konflik yang berlaku Neelofa dengan seorang lagi pelakon iaitu Tasha Shilla gara-gara komen yang dibuatnya terhadap pelakon tersebut mengenai kemenangan dalam Anugerah Bintang Popular pada tahun lalu.

Namun begitu, Neelofa mendedahkan dia dan Tasha pernah terserempak baru-baru ini dan mereka telah bertegur sapa dengan mesra, seolah-olah seperti tiada masalah yang pernah berlaku sebelum ini.
"Selepas konflik yang berlaku itu agak lama juga kami tidak berjumpa, namun ketika terserempak kami sempat berbual bersama-sama dalam tempoh yang agak lama.

"Apa yang ingin saya katakan, secara jujurnya saya begitu hormati dengan sikap yang ditunjukkan oleh Tasha dan merasakan dia sebagai seorang pelakon yang sangat profesional," ujarnya yang menganggap hubungan mereka berdua kini kembali jernih.

Menurut Neelofa, dia juga berkesempatan meminta maaf kepada pelakon berkenaan atas apa yang telah berlaku dan gembira Tasha menerimanya dengan hati terbuka serta sudah melupakan semua yang telah berlaku antara mereka berdua.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu timbul lagi sebarang masalah dengan rakan-rakan pelakon lain. Mulai tahun ini saya berharap supaya perjalanan karier seni saya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kisah kontroversi lagi," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Ainan teruja diminati lelaki lembut



BIARPUN sering dilanda kontroversi, Ainan menjadi semakin kuat dalam mengharungi perjalanan dunia seninya.


PENYANYI kelahiran YouTube, Ainan Tasneem tidak menduga, baru setahun menjadi artis dia sudah mempunyai ramai peminat bukan sahaja dalam kalangan remaja tetapi juga dewasa.

Malah, peminat penyanyi lagu Aku Suka Dia itu juga terdiri daripada lelaki lembut. Buktinya, baru-baru ini, bertempat di Restoran Rebung, Bangsar, satu pelancaran kelab peminat Ainan Tasneem telah diadakan.
Seramai 40 orang peminat hadir. Pandangan Kosmo! lantas memfokus ke arah satu meja bulat yang diduduki oleh 10 lelaki lembut.

Ikuti temu bual bersama pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu mengenai perasaannya diminati oleh lelaki lembut, selain mengupas lebih lanjut mengenai single terbaharu dan ketiganya (selepas dua single iaitu Aku Suka Dia dan 150 juta) yang digarap oleh dirinya sendiri berdasarkan pengalaman lalunya.
Kosmo!: Apakah perasaan anda bila melihat kehadiran peminat pada majlis hari ini?

AINAN: Secara jujurnya saya tidak sangka mempunyai peminat yang ramai. Pada mulanya, saya ingat 10 orang sahaja yang hadir. Sebabnya, saya baru setahun berada dalam industri nyanyian.
Apakah perasaan anda bila peminat anda juga terdiri daripada lelaki lembut?

Saya teruja kerana diminati oleh peminat yang terdiri daripada pelbagai umur dan jantina.
Bagaimanakah penerimaan peminat terhadap Ainan dan lagu-lagu anda?

Saya sedar ada orang yang menyukai lagu Aku Suka Dia dan ada juga orang yang tidak menyukainya. Jadi, saya berharap dapat menghasilkan lagu yang lebih bagus pada masa-masa akan datang.
Apakah maksud anda, lagu Aku Suka Dia tidak bagus?

Lagu tersebut lebih kepada pendengar remaja. Selepas ini, saya akan hasilkan lagu yang lebih matang untuk meraih penerimaan lebih meluas dalam kalangan kesemua peminat muzik.

Selepas single pertama, Aku Suka Dia dan single kedua, 150 juta muncul, jadi apakah single ketiga anda?
Single ketiga saya yang akan muncul berjudul, Luka. Lagu ini sangat istimewa buat saya kerana ia menceritakan mengenai kontroversi yang membelenggu saya selama setahun dalam industri nyanyian.
Kontroversi apakah yang dimaksudkan anda itu?

Lagu itu ditulis berdasarkan pengalaman sedih saya yang difitnah mencuri lagu orang (single, 150 juta). Bukan itu sahaja, lagu itu juga ditulis selepas saya difitnah keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi.
Siapa sebenarnya yang memfitnah anda keluar dating dengan teman lelaki sehingga pagi?

Walaupun ada yang menyukai saya tetapi ramai juga yang tidak menyukai saya di UniMAP. Saya tidak pernah dating dengan teman lelaki sehingga pagi. Kolej kami juga tutup pukul 12 tengah malam, jadi mana mungkin saya boleh dating dengan dia sampai pagi.

Apakah perasaan anda apabila berdepan dengan kontroversi-kontroversi seperti itu?
Kontroversi-kontroversi itu tidak melemahkan saya sebaliknya menjadikan saya lebih kuat.
Apakah perkembangan terbaharu anda?

Lapan lagu ciptaan saya sudah dirakamkan. Syarikat rakaman saya iaitu MVM Production bercadang untuk terbitkan album sulung saya, berkemungkinan pada pertengahan bulan ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Akim kembali dengan Menunggu


AKIM tidak menolak andai ditakdirkan bertemu jodoh dengan Stacy.


SELEPAS popular dengan lagu Bengang, Inikah Cinta, Janji dan Mesti Ada Cinta duet bersama Fiq, penyanyi Afiq Hakim Ahmad atau Akim kembali dengan lagu ciptaannya sendiri berjudul Menunggu.
Selain melancarkan lagu single, Akim turut melancarkan klip video lagu tersebut di Red Box, The Gardens baru-baru ini. 

Menurut Akim, klip video itu cukup bermakna buat dirinya apabila telah diarahkan oleh pengarah berbakat besar, Ghaz Abu Bakar.

“Saya tidak pernah bekerja dengan Ghaz tetapi saya tahu produk yang dihasilkannya cukup berkualiti dan kreatif. Memang agak teruja apabila mendapat tahu saya akan bekerja dengannya.

“Alhamdulillah, melihat hasil penuh klip video Menunggu, saya amat berpuas hati,” kata Akim.

Ditanya, bagaimana pengalaman bekerja dengan Ghaz di samping pelakon Bront Palarae dan seorang model baharu pilihan Ghaz, Akim menjelaskan, dia mempunyai masa yang seronok sepanjang proses penggambaran dilakukan.

“Penggambaran mengambil masa sebanyak tiga hari, proses suntingan dan sehingga klip video disiapkan mengambil masa sehingga sebulan.

“Tiada tekanan dan saya cukup seronok bekerja dengan Ghaz. Jalan cerita klip video semuanya idea daripada Ghaz seperti menutup akaun Facebook dan segala laman sosial selepas putus cinta.
“Walaupun, kekasihnya telah berkahwin, dia tetap menunggunya. Itu jalan cerita daripada Ghaz,” ujar Akim.
Ditebak mungkinkah, lagu Menunggu ini ditujukan khas buat penyanyi Stacy, Akim membalas, lagu itu dedikasi buat Rasulullah SAW.

“Lagu Menunggu bukan menggambarkan saya sedang tunggu Stacy. Saya cipta sepenuhnya lagu ini sebagai gambaran saya menunggu Rasulullah di akhirat kelak. 

“Saya akui mesej yang saya sampaikan pun agak berat. Namun, saya dedikasikan lagu ini demi Rasul tercinta. Saya mohon bantuan Baginda di Padang Mahsyar nanti.

“Selain daripada itu, saya tidak kisah andai orang yang mendengar lagu ini memberi gambaran berbeza seperti berkenaan cinta dan perkara lain kerana judul Menunggu itu sangat umum. Saya dapat ilham buat lagu ini selepas saya mendapat petunjuk dari Allah,” jelasnya.

Akim sebelum ini yang kerap digosip bercinta dengan penyanyi Stacy bakal muncul dengan lagu single terbaharu yang berjudul Kembali, duet bersama Stacy pada penghujung bulan ini selepas lagu Menunggu.
Jodoh
Kerjasamanya bersama Stacy bakal menghangatkan kembali gosip yang semakin hilang ditelan waktu. Bagaimanapun anak kelahiran Johor Bahru ini, mengakui sudah penat dan bosan cerita gosipnya bersama Stacy.

“Penat dan bosan jugalah untuk saya menjawab soalan yang sama. Memang kami rapat sebagai rakan dan untuk mengulas lebih lanjut belum tiba masanya kerana fokus saya hanya kerjaya buat masa ini,” katanya.
Menguatkan lagi gosip cintanya itu, selepas lagu Menunggu, Akim bakal muncul dengan lagu single Kembali duet bersama Stacy.

Disoal mengapa memilih Stacy, sambil tersenyum, Akim mengatakan Stacy merupakan tiga penyanyi wanita terbaik yang pernah ditemuinya dari segi vokal dan penghayatan lagu.
“Saya pilih dia kerana kami serasi dan mudah untuk menyanyikan lagu duet bersama. Bagi saya Stacy seorang penyanyi yang hebat.

“Kualiti vokal serta penghayatannya dalam lagu cukup bagus. Jadi, tidak ada sebab lain saya berduet dengannya ditambah lagi dia merupakan rakan saya,” kata Akim.
Disoal sejauh manakah hubungannya dengan Stacy dan tidak terfikirkah untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat?

Jawab Akim: “Kami rakan yang rapat dan saya juga cukup selesa berkawan dengannya. Buat masa ini kami berdua fokus terhadap kerjaya sahaja, tidak ada agenda lain.

“Jika ditakdirkan jodoh bersama, itu takdir Allah, saya sebagai hambanya reda dengan ketentuan yang diberikan. Rasanya untuk menamatkan zaman bujang belum lagi kerana saya baru 22 tahun.

“Masih muda untuk berkahwin. Jika saya ingin berkahwin mungkin 25 tahun ke atas sebelum usia 30 tahun. Doakan yang terbaik buat saya.”

Lagu Menunggu dan Kembali dimuatkan dalam album pertama Akim berjudul Akim Ahmad yang dilancarkan pada Jun tahun lalu bersama lapan buah lagu yang lain.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Juventus gerun sumpahan Celtic



PEMAIN-PEMAIN Celtic mengadakan persiapan terakhir semalam sebelum menerima kunjungan Juventus awal pagi esok. Celtic pernah mengejutkan Barcelona di tempat sendiri sebelum ini.


LONDON - Juventus bakal berdepan tugas sukar apabila turun menentang kelab Scotland, Celtic pada aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Celtic Park awal pagi esok.
Sebagai rekod, aksi pusingan kalah mati itu merupakan perlawanan kelima buat Celtic dan yang pertama sejak 2001.

Celtic yang merupakan satu-satunya kelab Scotland beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini melakar kejutan apabila menewaskan kelab gergasi Sepanyol, Barcelona pada aksi peringkat kumpulan November tahun lalu di Glasgow.

Antara faktor kemenangan itu adalah sokongan padu yang diberikan oleh para penyokong fanatik Celtic.
Justeru, Juventus bukan sahaja perlu menundukkan Celtic tetapi perlu menyerap tekanan yang bakal dihadapi apabila berdepan kira-kira 60,000 penyokong kelab Scotland itu awal pagi esok.

Disebabkan itu, bekas pemain Juventus yang kini bergelar pengarah kelab tersebut, Pavel Nedved sedar apa yang bakal menanti mereka pada perlawanan itu nanti.

"Saya sedar dengan suasana perlawanan yang bagaimana bakal menanti kami (Juventus) nanti di Glasgow kerana saya pernah berada di sana dan merasai sendiri suasana itu.

"Kami akan berdepan tugas sukar menentang Celtic nanti," kata Nedved.

Sementara itu, pengurus Celtic, Neil Lennon telah melakukan 10 pertukaran pemain pada aksi pemanas badan sebelum pertemuan dengan Juventus ini ketika menewaskan Inverness Caledonian Thistle 3-1 Sabtu lalu.

Lennon berkata, kehadiran penyokong ke stadium bakal memainkan peranan yang tersendiri.
"Saya sangat optimis dengan peluang untuk menang perlawanan itu dan para penyokong akan memainkan peranan penting.

"Ia merupakan perlawanan timbal balik. Sudah pasti kami (Celtic) memiliki kelebihan sebelum berkunjung ke Itali bagi menghadapi aksi kedua," kata Lennon. - Reuters

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my