Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL
Beberapa adegan lakonan Adrea dalam filem Kahwin 5, salah satu daripadanya babak di atas katil bersama Shy8.
SEMALAM filem Kahwin 5 terbitan Showbiz Productions mula menemui
peminat di sekitar 70 buah pawagam seluruh tanah air. Filem arahan Nizam
Zakaria itu dibintangi oleh Shy8 atau Usop Wilcha, Fizz Fairuz, Dian
P.Ramlee, Adrea Abdullah, Norish Karman, Marsha Milan, Anzalna Nasir dan
Soffi Jikan.
Antara watak yang menonjol dalam Kahwin 5 adalah Sahara lakonan Adrea
yang merupakan isteri kedua kepada Dr. K, yang dilakonkan oleh Shy8.
Menariknya, Sahara bukan sahaja garang tetapi pekat dengan dialek
Kelantan kerana wanita itu ditemui Dr. K sewaktu menjual tupperware di
negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Pembawa watak Sahara adalah Adrea dan dia tidak mempunyai masalah
untuk bertutur dialek Kelantan kerana dia memang berasal dari negeri
itu.
Menurut Adrea atau nama sebenarnya Nik Adrea Nik Abdullah, dia
memilih untuk berlakon Kahwin 5 kerana jalan ceritanya yang menarik,
lucu dan berkisarkan tentang realiti.
Bagaimanapun kata Adrea, dia amat malu ketika melakonkan adegan atas
katil dengan Usop Wilcha walaupun ini adalah filem ke lima lakonannya.
Sumpah Adrea malu! Segan sangat! Tapi nasib baik Adrea dapat
padamkan rasa malu ketika rakaman adegan itu, kalau tidak pasti tak
menjadi babak itu.
Apa pun Adrea bernasib baik sebab abang Usop profesional orangnya.
Dia tak menganggu fokus Adrea untuk menghidupkan karakter Sahara dan
menggambarkan keadaan mereka sebagai suami isteri ketika itu," katanya
mengulas adegan yang tampak menggoda itu.
Kata Adrea, dia bukanlah jenis yang berani untuk melakonkan adegan
daring namun bersetuju untuk filem Kahwin 5 kerana watak Sahara yang
pelbagai.
Realitinya Adrea memang takut untuk melakonkan adegan berani kerana
Adrea tidak mahu dianggap sebagai pelakon yang bukan-bukan pula.
Selalunya Adrea akan tapis dulu sebelum buat keputusan untuk memilih
watak yang ada unsur-unsur panas, tapi kalau boleh elak mesti elak.
Lagipun Adrea ini pelakon serius. Adrea tidak mahu mencari glamor
murahan dengan menerima watak yang tak mencabar dan tidak membantu Adrea
untuk membina nama sebagai pelakon. Untuk watak Sahara itu ada sebabnya
kenapa Adrea terima," jelasnya.
Tambah Adrea, dia bersetuju untuk berlakon Kahwin 5 bukan kerana ia
filem komedi semata-mata tapi kerana filem itu sarat dengan mesej.
Kahwin 5 bukan sekadar komedi tetapi memaparkan masalah yang logik
dan sering berlaku dalam kehidupan seharian. Banyak mesej positif yang
dapat diambil biarpun cara penyampaian dalam bentuk lawak.
Saya suka bekerja dengan Nizam kerana dia seorang pengarah yang
senang untuk diajak berbincang dan sering memberi kebebasan kepada
pelakon untuk melakonkan watak mengikut pendekatan masing-masing,"
katanya.
Menyentuh mengenai watak Sahara yang ada ketikanya garang macam
harimau itu katanya, tidak ada kena mengena dengan peribadi dan semua
itu hanyalah lakonan.
Lagipun watak Sahara yang digambarkan dalam Kahwin 5 adalah isteri kedua yang suka cakap kuat-kuat apabila marah pada Dr. K.
Adrea bukan jenis yang suka cari gaduh kerana saya seorang yang
tenang. Kalau Sahara marah, dia terus sembur tapi Adrea pula lebih
senang mendiamkan diri kalau sedang marah.
Sahara mencabar Adrea kerana perlu melakonkan watak itu melucukan walaupun dalam keadaan manja atau garang.
Kalau zaman sekolah dulu, mungkin watak Sahara itu ada pada diri
Adrea. Cepat panas baran kerana Adrea dulu tomboy, tapi bukan pengkid ya
kerana Adrea ada teman lelaki. Tapi cabaran Adrea ialah untuk membuat
watak itu melucukan walaupun dlm keadaan manja atau garang," ceritanya.
Sebelum ini Adrea pernah berlakon filem Sh3, Dua Alam, CE1, Abuya dan
Hantu Tok Mudim yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.
Selain itu dia juga muncul dalam filem Sifu dan Tongga serta Omni versus Ponti.
Setakat ini alhamdulillah, tawaran berlakon tidak henti-henti baik
filem atau drama. Antara drama yang orang ingat kemunculan Adrea adalah
Elly dan Epit serta 7 Gerhana," katanya yang idamkan watak seperti
Jennifer Garner dalam drama Alias.
Sudah ada teman
Baru-baru ini di laman sosial tersebar cerita kononnya Adrea berkawan
dengan pengkid dan apabila soalan itu diaju, dia hanya ketawa
mendengarnya.
Kelakarnya... Adrea ada teman lelaki lah. Alhamdulillah. Tapi
boyfriend Adrea selalu sibuk. Dia yang nak Adrea ada pembantu peribadi
(PA) sebenarnya untuk jaga Adrea.
Teman lelaki Adrea risau melihat Adrea yang kadang-kadang balik sendiri pada waktu malam dan memandu dalam keadaan penat.
Apabila ada pembantu peribadi, orang tak mengatal dengan Adrea
sangat, sebab ada body guard katanya," tangkis Adrea tentang dakwaan dia
berkasih dengan pengkid.
Tambah Adrea, yang dimaksudkan itu adalah PA dan sekali gus kawan
rapatnya yang sudah dikenali sejak lapan tahun lalu dan sudah dianggap
seperti adik sendiri.
Dari zaman sekolah Adrea ramai kawan. Macam-macam jenis ada. Adrea
tak kisah siapa mereka, jadi mereka ikhlas dan jujur sebagai kawan dan
tak mengambil kesempatan sudah.
Adrea bukan jenis yang suka menilai orang. Asal mereka baik dan sudi
berkawan itu sudah memadai. Kebanyakan kawan-kawan Adrea dikenali
keluarga," katanya.
Ibu tunggal
Berkenaan dengan status diri, sejujurnya Adrea memilih untuk lebih
terbuka. Malah, dia mengakui sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga
tetapi jodohnya tidak lama.
Hari ini, dia sedang mengayam cinta dengan seorang jejaka yang diharap mampu membawanya ke jinjang pelamin sekali lagi.
Memang saya pernah berkahwin, namun sayangnya jodoh tak lama.
Dugaan Allah Adrea terima dengan penuh reda dan tabah melaluinya.
Adrea juga bersyukur kerana ada seorang anak lelaki yang menjadi
kekuatan dan penyeri hidup Adrea.
Kini hati Adrea sudah dimiliki. Dia cuma orang biasa bukan dari
kalangan artis. Doalah dia yang terakhir untuk Adrea. Insya-Allah. Kita
mampu merancang hanya tuhan menentukan," ujarnya.