Isnin, 24 Disember 2012

8-0 gagal ubati duka Lampard

-Kosmo


FRANK Lampard (no. 8) dikerumuni rakan-rakan sepasukannya sebaik menjaringkan gol untuk Chelsea ketika pasukan itu membelasah Aston Villa 8-0 kelmarin.


LONDON - Frank Lampard mengakui yang masa depannya bersama Chelsea masih tidak menentu meskipun pemain tengah itu meletakkan dirinya sebagai penjaring ketika menewaskan Aston Villa 8-0 di Stamford Bridge kelmarin.

Lebih menarik, Lampard turut melakarkan sejarah peribadi selepas menjaringkan gol ke-130 pada penampilannya yang ke-500 liga domestik, sekali gus mengatasi rekod yang dilakukan pemain legenda Chelsea, Bobby Tambling.

Kontrak pemain berusia 34 tahun itu akan berakhir pada penghujung musim ini dan sehingga kini, dia masih belum menerima sebarang tawaran perjanjian baharu daripada kelab tersebut.

"Saya tidak mahu memikirkannya lagi kerana saya masih terikat dengan kontrak. Saya suka beraksi di sini, jadi saya akan terus bermain dan berharap kecergasan saya akan kekal dengan baik.

"Saya menikmati perlawanan ini dan harapan saya pun sama juga untuk menikmati karier bola sepak saya. Saya percaya banyak lagi perkara yang boleh dilakukan.

"Posisi kelab sekarang milik mereka, saya tidak mahu terlalu melibatkan diri. Saya di sini untuk bermain bola sepak dan mahu membuktikan kepada semua pihak yang saya boleh melakukannya (beraksi dengan baik)," ujar Lampard.

Ditanya mengenai rekod yang dilakukan, Lampard berkata: "Ia sangat bermakna. Permulaan yang hebat, saya sangat bernasib baik kerana dapat beraksi dengan kelab yang hebat dan memiliki pengurus-pengurus serta rakan-rakan sepasukan seperti sekarang.

"Jumlah jaringan yang dilakukan juga memberi makna yang besar kerana saya dapat mengatasi rekod pemain seperti Bobby Tambling. Dia seorang legenda dan pemain yang hebat."
Antara pemain yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut ialah Fernando Torres, David Luiz, Branislav Ivanovic, Oscar, Ramires (dua) dan Eden Hazard.

"Seluruh pasukan melakukan serangan dan kami tidak hanya mengharapkan seorang atau dua orang pemain sahaja," kata pengurus Chelsea, Rafael Benitez.

"Ini merupakan berita yang baik dan saya berharap pasukan akan dapat melakukan perkara yang sama pada Rabu ini di Norwich.

Benitez turut mengakui yang pasukan kendaliannya itu kini sudah bersedia untuk merampas gelaran musim ini selepas berjaya memperbaiki kedudukan untuk berada di tangga ketiga.

"Perkara utama sekarang, memenangi setiap perlawanan. Kami mampu melakukannya. Selepas perkembangan yang dipamerkan, saya pasti kami semakin menghampirinya (gelaran musim ini)," kata Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan