Sabtu, 22 Disember 2012

Amy, Inka kembali bertaut (Kosmo)

http://kakibola.forumado.net/t1227-amy-inka-kembali-bertaut#1771


AMY (kiri) dan Inka merancang untuk tampil dengan lagu duet baharu.


BARANGKALI kisah permulaan karier seni penyanyi popular Indonesia, Inka Christie yang berjaya menggapai cita-citanya menjadi teman duet legenda rock Malaysia, Amy Search sudah pernah diceritakan dua dekad yang lalu.
Namun, sekadar untuk mengimbas kembali nostalgia silam, Inka asalnya bermula sebagai peminat fanatik Amy dan kumpulan Search.
Ketika masih menuntut di sekolah menengah, Inka pernah menyuarakan keinginan untuk berduet dengan Amy yang disifatkan seorang penyanyi rock yang memiliki karisma dan keunggulan tersendiri.
Mendengar hasrat anaknya itu, si ibu mengingatkan anaknya, kalau minat kepada Amy sekalipun, pastikan sampai tidak menjadi gila.
Bukan sahaja ibunya, bahkan rakan-rakan di sekeliling Inka turut mentertawakannya sehingga melabelnya sebagai syok sendiri.
Masakan tidak, ketika itu dia masih lagi remaja yang belum didedahkan secara profesional dalam industri muzik tetapi sudah memiliki hajat yang luar biasa.
Tetapi, nasib dan tuah orang tiada siapa yang tahu. Begitu juga yang terjadi kepada Inka atau nama sebenarnya Rinni Chries Hartono.
Syarikat rakaman yang dinaunginya menguruskan satu perancangan yang tidak diketahuinya. Apa yang dimaklumkan kepada Inka, dia harus ke Kuala Lumpur untuk menjalani rakaman sebuah lagu.
Tanpa mengetahui apa lagu dan siapa teman duetnya, Inka berkunjung ke kota metropolitan itu sebagai memenuhi kontrak bersama syarikat rakaman.
"Yang mengejutkan saya apabila tiba di studio, saya diberitahu teman duet saya ialah Abang Amy. Saya seperti bermimpi apa benar angan-angan saya menjadi kenyataan?
"Mendengar nama Amy sahaja, saya terus tidak berfikir panjang dan melakukan rakaman lagu Cinta Kita dengan sebaik mungkin. Perancangan syarikat rakaman ketika itu bagaikan satu anugerah yang paling indah buat saya," kata Inka mengimbas kembali pengalaman digandingkan dengan Amy.
Biarpun begitu, tentu sekali tidak ramai yang mengetahui bahawa rakaman lagu itu diadakan secara berasingan antara Amy dan Inka. Bahkan, apa yang mungkin mengejutkan juga, Amy dan Inka hanya 'bersatu' dalam lagu.
Selepas 22 tahun usia lagu itu, Amy dan Inka juga tidak pernah digandingkan di pentas yang sama.
Cuma baru-baru ini, pasangan itu diundang oleh syarikat perladangan terkemuka di Indonesia, PT Minamas Gemilang untuk ditemukan semula dalam siri konsert Ekspresi Karya Gemilang di Jakarta, Pekanbaru dan Banjarmasin.
Selain Amy, Malaysia turut diwakili oleh dua artis ternama lain iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Shila Amzah.
Bagaikan drama Jejak Kasih, Amy dan Inka bertemu dalam suasana yang cukup harmoni dan mesra.
"Saya begitu teruja dan gembira sekali kerana selepas 22 tahun, akhirnya kami berkongsi pentas menyampaikan lagu Cinta Kita.
"Momen ini terlalu indah untuk saya kenang buat selama-lamanya. Bagi saya abang Amy masih hebat dan unggul sebagai penyanyi rock," kata Inka bercerita mengenai kekagumannya terhadap legenda negara itu.
Andai Inka berpendapat, pengalaman di Jakarta, Pekanbaru dan Banjarmasin sebagai momen terindah dalam kerjaya seninya, Amy pula menyifatkan pertemuan itu mencipta sejarah tersendiri kepada beliau.
"Siapa sangka selepas 22 tahun, kami ditemukan semula. Ajaib bukan? Inilah uniknya muzik. Sejarah ini akan saya kenang sampai bila-bila.
"Kembali berduet dengan Inka menyebabkan saya seperti kembali ke era kegemilangan Search dulu dan terasa seperti kembali muda," ujar Amy dalam nada berseloroh.
Pada kemunculan di ketiga-tiga lokasi konsert berkenaan, Amy dan Inka ternyata diterima dengan senang sekali oleh seluruh penonton.
Bahkan, ramai yang menjerit nama mereka berdua dan meminta pasangan itu menyampaikan lagu Cinta Kita.
"Saya bangga dengan peminat-peminat yang sampai saat ini masih lagi mengingati lagu Cinta Kita. Saya sangat terharu," sambung Inka lagi.
Berdasarkan sambutan luar biasa itu, Amy dan Inka sepakat merancang untuk menerbitkan lagu baharu pada masa depan sebagai mengubat kerinduan peminat-peminat di dua negara itu.
"Tentu sekali saya mahu kembali ke studio rakaman untuk menghasilkan lagu baharu bersama Inka," Amy menyuarakan keinginan masa depannya.
Biar sekadar lagu Cinta Kita yang menggandingkan mereka di konsert berkenaan, nyata ia sudah cukup memberi makna yang besar kepada peminat-peminat fanatik kedua-dua penyanyi itu.
Keunggulan Amy dan Isabella

GRUP Radja dari Indonesia berkesempatan berkongsi pentas dengan Amy Search (tengah).


Tinggalkan seketika kisah Inka dan Amy kerana ada satu lagi catatan yang cukup indah mahu dikongsi dengan pembaca akhbar ini mengenai penangan lagu Isabella di Indonesia.
Kalau ada yang beranggapan, Amy dan Search sudah tidak lagi popular, telahan anda sama sekali tidak benar.
Ketika muzik Indonesia membanjiri pasaran muzik Malaysia, ada satu perkara yang boleh menjadi kebanggaan setiap rakyat Malaysia mengenai kemasyhuran Amy dan Search di tanah Jawa itu.
Lagu Isabella sebetulnya masih mempunyai pengaruh yang sangat hebat di negara berkenaan.
Bahkan, apa yang mengejutkan juga, bukan hanya peminat seni yang pernah membesar dengan lagu itu sahaja yang meminatinya. Sebaliknya, anak-anak kecil dan remaja juga mampu menyanyikan baris-baris lirik lagu itu dengan lancar.
Melihat senario itu, Amy menyifatkan, masa depan muzik Malaysia sebetulnya masih lagi cerah di Indonesia seandainya formula yang digunakan menepati kehendak selera muzik di sana.
"Inilah uniknya sifat muzik. Lagu Isabella sudah saya popularkan hampir 20 tahun lalu. Ketika kemuncak lagu itu saya pernah berkunjung ke Indonesia untuk mempromosikannya.
"Kali ini, selepas lebih dua dekad saya kembali lagi dan lagu Isabella masih diminati. Yang peliknya, remaja belasan tahun juga meminati dan meminta saya menyanyikan lagu itu," ujar seniman legenda itu lagi.
Dari satu aspek, selain formula lagu yang berkualiti, seperkara yang dilihat menjadi faktor kenapa Amy disenangi ramai juga ialah kerana sifat rendah dirinya.
Pada konsert Eskpresi Karya Gemilang, penghibur Indonesia yang turut serta ialah kumpulan Ungu, Armada, Radja bahkan Rossa, mereka juga sangat mengagumi Amy.
Ikatan setiakawan antara golongan artis dua negara itu dilihat begitu akrab dan saling menghormati antara satu sama lain.
"Muzik memiliki nilai perpaduan dan kecintaan yang unik dan luar biasa. Kalau muzik boleh merapatkan golongan artis, tidak ada sebab kenapa muzik juga tidak boleh mengakrabkan bangsa Malaysia dan Indonesia," jelas Amy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan