Sabtu, 22 Disember 2012

Arena basikal negara penuh ceria (KOSMO)


KAYUHAN bertenaga Azizulhasni (tengah) dalam acara pecut pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London.


BEBERAPA hari sahaja lagi, tahun 2012 akan melabuhkan tirainya.Bagi arena sukan berbasikal negara, 2012 meninggalkan banyak kenangan. Namun, tahun 2012 menjadi bukti bahawa saiz memainkan peranan untuk bergelar juara dunia hanyalah satu mitos semata-mata.
Hakikat itu dibuktikan oleh pelumba trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London, Ogos lalu.
Hakikatnya, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu sudah beberapa kali membuktikan betapa saiz bukan satu alasan untuk mengecap kejayaan.
Di London, Azizulhasni tampil dengan beban menggunung kerana menggalas amanat hampir 28 juta rakyat Malaysia yang mahukan dia muncul pelumba basikal pertama mengucup medal Sukan Olimpik.
Sekalipun gagal menepati sasaran yang ditetapkan, Azizulhasni melakar sejarah unik apabila muncul pelumba Asia terbaik menerusi acara keirin pada temasya Olimpik 2012.
Kejayaan meraih tempat kelapan menerusi acara keirin tetap dianggap sangat membanggakan sekalipun dia gagal melangkah ke pusingan akhir.
Sesungguhnya, Azizulhasni dan Sukan Olimpik 2012 telah merobohkan satu kekangan psikologi yang selama ini mungkin menghantui ramai pelumba Malaysia.
Ramai yang beranggapan mungkin sukar untuk mendominasi dunia kerana rata-rata pelumba negara bersaiz kecil.
Jika mahu dibandingkan dengan jaguh dunia seperti Chris Hoy, barisan pelumba negara mungkin terpaksa mengaku kalah lebih awal sebelum bertarung lagi.
Kini, apabila kalendar persaingan mula melangkah ke tahun 2013, hampir semua pelumba trek negara tidak lagi berdepan kekangan psikologi untuk menyaingi pelumba tersohor dari Jepun, Korea Selatan, China, Kazakhstan atau Iran.
Senario malu atau takut untuk bersaing, kononnya bertubuh kecil yang selama ini jadi suatu mitos, dibakar sepenuhnya oleh Azizulhasni.
Sepanjang tahun depan, beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, India dan Sukan SEA di Myanmar dianggap medan terbaik bagi menguji kemampuan barisan pelumba negara.
ACC 2013 dan Sukan SEA 2013 dilihat amat bermakna kerana menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Justeru, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab menjelaskan betapa pihaknya sudah merancang beberapa pendekatan drastik sepanjang 2013 demi memastikan kesinambungan keperkasaan dalam dunia trek akan diteruskan sekalipun tanpa kelibat Azizulhasni.
"Kita mahu mencari dan melahirkan lebih ramai Mohd. Azizulhasni Awang. Kita tak mahu beban itu hanya ditanggung sepenuhnya oleh Azizulhasni seorang.
"Kita perlu mencari pelumba yang sama hebat seperti dia. Lihat sahaja seperti Great Britain. Mereka ada Jason Kenny dan Chris Hoy. Mereka juga ada Bradley Wiggins dan Chris Froome.
"Pada masa yang sama, kita juga mahu mengenal pasti jurulatih yang hebat seperti John Beasley. Kami tidak mahu terlalu membebankan John.
"Kita sepatutnya biarkan dia beri sepenuh perhatian kepada Azizulhasni dan pada masa sama, tugas untuk mencari dan melahirkan lebih ramai bakat bertaraf dunia perlu digalas oleh jurulatih yang lain.
"Namun, saya percaya perkara ini bukannya semudah kita berkata-kata. Ia perlukan satu perancangan yang mantap dan pengorbanan serius demi melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia seperti Azizulhasni, (Mohd.) Rizal (Tisin) dan Josiah Ng," kata Abu Samah.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed turut berkongsi sentimen yang sama.
Beliau mengharapkan satu keajaiban yang ketara menerusi skuad lebuh raya Malaysia untuk menjelmakan siri kejayaan besar sebagaimana dicetuskan oleh pelumba trek.
"Saya perhatikan selama ini kita hanya mengharapkan Anuar Manan atau (Mohd.) Harrif Salleh. Apa akan jadi seandai- nya kedua-dua pelumba tersebut kurang menyengat pada sesuatu kejohanan.
"Jadi, kita harus mula mencari pelapis untuk menggantikan Anuar atau Harrif. Sebagaimana yang kita tahu, sukan mempunyai satu jangka usia bertarung yang tidak menentu. Apa akan jadi kalau mereka tercedera. Sudah tentu kita tak boleh mengharapkan mereka berdua sahaja.
"Jadi, saya mahu PKBM mencari jalan bagaimana cara untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang hebat seperti Anuar atau Harrif.
"PKBM harus menampilkan lebih ramai pelumba berbakat di pentas yang lebih berkualiti seperti Sukan Olimpik atau Sukan Asia. Apa yang dicapai oleh Azizulhasni memanglah sangat membanggakan kita semua.
"Saya juga mahu senario yang sama dicipta oleh pelumba lebuh raya Malaysia. Mereka harus mula membuktikan kejayaan pada peringkat yang lebih besar," katanya.
Abu Samah pula menambah, PKBM kini sudah mula mengorak langkah dengan sanggup berbelanja besar demi melahirkan jurulatih dan pelumba bertaraf khususnya yang berkualiti tinggi dalam kategori pendakian.
"Ada dua kategori perlumbaan dalam acara lepas beramai-ramai elit lelaki. Siri perlumbaan jelajah seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), Tour de Taiwan, Tour of Korea dan Tour of Thailand.
"Perlumbaan sehari (one day race) pula seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Semua perlumbaan itu memberi makna kemenangan yang besar.
"Ramai pelumba sanggup bekerja keras untuk menang pada Jelajah Perancis. Ada juga pelumba yang sanggup berkorban apa saja demi mengucup medal Sukan Olimpik.
"Ini dibuktikan oleh Wiggins pada Jelajah Perancis 2012 dan Sukan Olimpik 2012. Seseorang pelumba itu harus kuat dalam pendakian dan hebat di laluan landai.
"Inilah masalah pelumba lebuh raya Malaysia selama ini. Mereka agak kuat di laluan landai tetapi sangat lemah di kawasan pendakian.
"Jadi, kita melantik jurulatih baharu iaitu Aminuddin Sulaiman. Sasaran kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pelumba yang kuat di pendakian. Saya rasa Aminuddin ada cara tersendiri untuk mencapai sasaran yang diberikan kepada beliau," jelas Abu Samah.
Kancah 2012 turut menyaksikan kelab benua tunggal di Malaysia iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) mendominasi kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dalam siri Jelajah Asia.
"Kami adalah antara orang pertama yang memberi keizinan kepada mereka (TSG) menarik pelumba kelahiran Terengganu seperti Harrif, Anuar, Mohd. Zamri (Salleh), Mohd. Saufi (Senan) dan Mohd. Shahrul (Mat Amin) untuk menganggotai TSG.
"Walaupun pada masa itu mereka adalah tonggak pasukan lebuh raya Malaysia, namun kami membenarkan mereka berhijrah ke TSG.
"Yang penting, bendera Malaysia tetap berkibar dan lagu Negaraku berkumandang seandainya mereka menang pada sesuatu perlumbaan.
"Setakat ini, saya merasakan penubuhan TSG itu menepati sasaran yang ditetapkan. Mereka kini muncul antara kelab benua terbaik di benua Asia," kata Mohid dengan nada ceria.
Sedar atau tidak, skuad lebuh raya wanita turut menunjukkan peningkatan, sekali gus mampu untuk menyaingi kehebatan pelumba Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Hakikat ini cuba dibuktikan oleh jurulatih skuad wanita, Mohd. Shari Mohd. Noor.
Beliau percaya anak-anak buahnya seperti Muslihah Salim, Masziyaton Mohd. Radzi dan Nurul Suhada Zainal mampu melakukan sesuatu pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar nanti.
"Sepanjang 2012 kami telah menyertai banyak pertandingan di Thailand, Vietnam dan Indonesia. Secara perlahan kita telah mula mampu menyaingi pelumba Thailand, Vietnam dan Indonesia.
"Beberapa tahun lalu, pelumba wanita kita agak jauh ketinggalan di belakang. Saya mengharapkan mereka mampu menang medal pada Sukan SEA 2013 nanti," katanya.
Keyakinan yang sama juga dilaungkan oleh Aminuddin yang muncul sebagai satu-satunya jurulatih mengucup kejayaan berganda pada Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina dan edisi 2007 di Korat, Thailand menerusi Suhardi Hassan.
Aminuddin percaya skuad lebuh raya mampu untuk meraih pingat emas Sukan SEA 2013 seandainya Malaysia menggabungkan pelumba kebangsaan dan pasukan berstatus kelab, Terengganu Cy- cling Team (TSG).
"TSG masih mempunyai pelumba yang hebat seperti Harrif, Zamri, Mohd. Saufi dan Mohd. Shahrul.
"Dalam kem pasukan kebangsaan pula kita ada Muhammad Rauf (Nur Misbah) dan Mohd. Fauzan (Ahmad Lufti). Kita boleh gandingkan mereka untuk mencapai sasaran meraih pingat emas acara lepas beramai-ramai lelaki," katanya.
Hakikatnya, sinar mentari kejayaan pasti bergemerlapan sepanjang 2013 seandainya semua pihak berganding bahu untuk mencari titik persepakatan dalam memperjuangkan nama baik pasukan trek, lebuh raya, basikal bukit mahupun BMX negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan