Rabu, 26 Disember 2012

Asraruddin calon ketua pasukan Selangor


SHAH ALAM - Dua musim tanpa sebarang piala sudah cukup membuatkan para peminat setia Selangor berasa kecewa memandangkan Red Giants masih dilihat kuasa utama bola sepak dalam persaingan Liga Malaysia selain daripada Kelantan.

Ditambah kehilangan ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengambil keputusan berhijrah ke Johor Darul Takzim FC, ramai bimbang kekuatan Selangor semakin berkurangan.

Namun, Asraruddin Putra Omar, yang kini dilihat antara calon pilihan memakai lilitan ketua pasukan pada musim 2013 melaungkan keazaman untuk menamatkan kemarau kejuaraan Selangor selepas sekadar menduduki tempat ketiga dalam persaingan Liga Super dan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. 

Malahan dia memberikan amaran kepada pencabar-pencabar lain bahawa Selangor akan lebih perkasa berbanding musim lalu, ditambah kehadiran beberapa pemain berkualiti ke dalam pasukan.

"Jika pengurusan memberi penghormatan kepada saya untuk menjadi ketua pasukan, impian utama saya sudah pasti mahu menamatkan kemarau kejuaraan Selangor kerana telah dua musim kami tidak memenangi apa-apa.
"Saya harap ia mampu dicapai kerana dengan pemain baru yang dibawa masuk oleh pihak pengurusan, saya rasa cukup yakin Selangor mampu mencapai sesuatu pada musim ini dan kami nampak kuat berbanding musim lalu.

"Kombinasi semua pemain nampak mantap terutama di bahagian pertahanan dengan kehadiran pemain seperti Mohd. Raimi Mohd. Nor dan Mohd. Fairuz Abdul Aziz di bahagian bek kiri serta Mahalli Jasuli di bahagian kanan manakala saya cukup selesa bermain di bek tengah bersama Ramez Dayoub, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara Selangor dan Sabah di Stadium Shah Alam, semalam.

Peranan selaku ketua pasukan bukanlah satu tugasan asing kepada Asraruddin kerana dia pernah memikul tugas yang sama sewaktu Piala Juara-Juara Remaja Dunia (CYC) 2007.
Dalam perlawanan itu, Selangor tidak berdepan banyak masalah menewaskan Sabah 3-0 dengan Abdul Shukor Jusoh menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama sementara Bunyamin Umar menambah satu lagi gol melalui sepakan penalti di babak kedua.

Biarpun lebih dikenali bermain bek kiri dalam pasukan Harimau Malaya, Asraruddin mengakui dia sebenarnya lebih selesa beraksi di bahagian tengah.

"Mana-mana posisi tidak menjadi masalah tetapi saya lebih gembar bermain di posisi tengah berbanding di sebelah kiri.

"Jika saya bermain dengan Ramez sepanjang musim ini di posisi tengah, ia bukan satu masalah dan memang itu yang saya harapkan, " katanya.

Berehat panjang pada penghujung musim lalu sehingga tidak dapat membantu Red Giants pada persaingan Piala Malaysia kerana mendapat kecederaan lutut, Asraruddin mengakui yang dia semakin hampir meraih kecergasan sepenuhnya.

"Perlawanan ini (berdepan Sabah) adalah aksi pertama saya selama 90 minit setelah pulih daripada kecederaan dan saya rasa gembira dengan perkembangan ini

"Sebelum ini, saya hanya bermain selama 15 minit sewaktu perlawanan terakhir di Piala Gabenor Acheh menentang DPMM Brunei (penentuan tempat ketiga), " katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan