Kuantan: Jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui teruja apabila skuad kendaliannya akan membuka tirai saingan Liga Super, 8 Januari ini dengan menentang pasukan yang dipenuhi barisan bintang - Johor Darul Takzim.

Dollah berkata, perlawanan itu bukan saja menjadi medan baginya menilai prestasi sebenar pemain, tetapi lebih menarik semua mata pasti akan tertumpu kepada perlawanan berkenaan untuk melihat sejauh mana keupayaan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.
Sebagai tuan rumah, katanya, sudah pasti skuad bimbingannya mahu membuka saingan dengan langkah kanan dengan mencatat kemenangan sekali gus memungut tiga mata pertama bagi meletakkan pasukan di kedudukan terbaik.


Sokongan penyokong penting

"Saya akui perlawanan Pahang dan Johor Darul Takzim akan menjadi tumpuan nanti. Sudah pasti kesebelasan terbaik akan diturunkan untuk menyekat lawan dan mencipta kemenangan. Jadi, saya harap penyokong datang memberi sokongan,” katanya semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh berkata, sokongan lebih 15,000 peminat yang memenuhi stadium pada aksi Piala Malaysia musim ini diharap diteruskan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2013.

"Saya percaya barisan pemain yang lebih mantap serta diperkuatkan dua penyerang import akan memberi keyakinan buat Pahang musim depan. Namun, sokongan penyokong penting bagi menyemarakkan semangat pemain," katanya.