-Kosmo
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi respons positif selepas diundi bertemu Real Madrid pada pusingan kedua Liga Juara Juara kelmarin.
Pengendali kelahiran Scotland itu berkata, selain dapat menyaksikan Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford, beliau turut teruja untuk bertembung semula dengan jurulatih Real, Jose Mourinho.
Ronaldo pernah bermain untuk United sebelum dijual kepada Real pada 2009 manakala Mourinho pernah menjadi musuh Ferguson ketika membimbing Chelsea dan Porto.
"Itulah undian terbesar pada pusingan kedua nanti. Sudah tentu ia akan menjadi peluang terbaik kepada penyokong United untuk melihat semula aksi Ronaldo.
"Saya juga dapat bertemu Mourinho. Boleh ajak dia minum bersama," kata Ferguson seperti mengimbau kenangan ketika bersaing hebat dengan pengendali dari Portugal itu.
Kedua-dua pasukan dijadual bertemu pada Februari tahun depan dan Real lebih awal menjadi tuan rumah di Stadium Bernabeu sebelum beraksi di Old Trafford pada Mac dalam perlawanan yang diadakan secara timbal balik.
Selain Ferguson, Rio Ferdinand turut memberi respons mengenai undian itu.
"Bagus dapat bertemu Real. Perlawanan yang pasti hebat. Cristiano (Ronaldo), jumpa anda nanti," katanya.
Selain itu, undian yang turut dianggap menarik membabitkan Arsenal bertemu Bayern Munich dan Celtic menentang Juventus. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan