|
KONTROVERSI demi kontroversi. Daripada awal pembabitannya dalam
industri seni tempatan sejak dua tahun lalu, gadis jelita berusia 23
tahun ini seperti tidak pernah lekang daripada kontroversi yang sentiasa
melanda dirinya. Noor Neelofa Mohd. Noor atau nama komersialnya,
Neelofa sendiri mengakui akan perkara tersebut ketika ditemuramah.
Namun kerana minat terhadap dunia seni, segalanya dianggap cabaran
dan lumrah kehidupan menjadi seorang selebriti yang mengharuskan sesiapa
juga melalui perkara yang hampir serupa.
"Memang tidak dinafikan sejak awal terlibat dalam industri seni
hiburan tanah air, kontroversi tentang saya kelihatan seperti tidak
putus-putus. Ada sahaja cerita yang akan keluar tentang diri saya dan
kebanyakannya cerita daripada pihak ketiga.
"Bagaimanapun, kontroversi yang selalu melanda diri saya ini bukannya
daripada diri sendiri, namun ia tentang ramai orang yang bercerita
tentang itu dan ini. Saya perlu katakan, perkara ini bukan diminta
tetapi ia hadir secara tidak disangka," jelas Neelofa yang mesra disapa
Lofa ini.
Bagaimanapun, di sebalik kontroversi yang berlegar laju dalam ruang
industri hiburan tanah air tentang Lofa, dia percaya selagi wujud isu
yang ingin diceritakan tentang dirinya, bermakna dia masih lagi berada
di depan mata dan belum dilupakan. Jadi, tutur wanita berwajah cantik
dan bertubuh genit ini, mahu atau tidak dia perlu terima segalanya.
Geram
Bercerita tentang tekanan yang dihadapinya, ujar Lofa, mungkin pada
mulanya, dia tertekan dengan apa yang diceritakan oleh masyarakat
sekeliling tentang dirinya. Namun, lama-kelamaan, dia mula membuat
kesimpulan sendiri.
"Kini apabila ada terbaca tentang diri sendiri dalam akhbar dan
sebagainya, memang geram pada mulanya. Namun setelah itu saya fikir jika
mereka suka saya, memuja saya ataupun membenci saya, ia adalah hak
mereka.
|
|
"Ini kerana jika Allah sudah tetapkan rezeki saya, ia tetap ada dan
sama sahaja. Melainkan saya sendiri yang buat perangai, itu memang
seperti mencari nahas sendiri. Namun, mungkin dari segi karier tidak
begitu memberi kesan. Bagaimanapun dari segi persepsi orang terhadap
saya, memang mereka akan punya tanggapan serong terhadap diri," jelas
Lofa panjang lebar tentang tempias kontroversi terhadap karier dan diri.
Ketika ditanya adakah dia risau peminat akan bosan kerana sering
dilanda kontroversi, jawab Lofa, walau apa pun kontroversi yang melanda,
jika seseorang artis itu punya produk yang bagus yang mampu menaikkan
mereka, maka mereka tetap akan berjaya.
"Jadi bagi saya, lagi banyak saya terkena tempias kontroversi seperti
ini, lagi kuat saya perlu bekerja untuk keluar dari kepompong isu
tersebut. Saya perlu rajin untuk tonjolkan bakat yang saya ada selain
dari terlibat dengan kontroversi sahaja.
"Jika mengikut andaian yang mudah, memang lumrah manusia pasti akan
terasa jika melihat sesiapa yang mereka kenali berada di atas atau
mencapai kejayaan. Bagi saya, jika seseorang itu berjaya mahupun gagal
dalam apa bidang sekalipun, orang tetap akan kritik kita. Mereka tetap
akan lihat keburukan dari kebaikan kita," tutur Lofa memberi pendapat
tentang kemungkinan ada yang ingin menjatuhkan namanya.
Rezeki
Mungkin sepanjang tahun pertama pembabitkan dalam dunia seni, peminat
Neelofa sendiri dapat melihat wanita kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini
banyak tampil di kaca televisyen dan layar perak. Namun, masuk tahun
kedua, Lofa kini dilihat banyak tampil dalam program hiburan dan menjadi
pengacara.
"Semasa mula-mula terlibat dengan pertandingan Dewi Remaja (pada
tahun 2010), saya sememangnya tiada niat untuk ke bidang lakonan. Memang
Lofa minat dengan bidang pengacaraan dan menyimpan hasrat untuk terjun
ke bidang tersebut.
|
|
"Jadi, selepas (menjuarai) Dewi Remaja tersebut, saya terus dapat
tawaran lakonan terlebih dahulu. Jadi tidak salah rasanya Lofa mencuba
untuk berlakon. Namun kerana saya juga masih lagi hijau (baharu),
pengalaman pun baru masuk dua tahun, maka saya tidak mahu mengehadkan
diri saya dan ingin cuba pelbagai bidang," ujarnya.
Tambah Lofa, walaupun sibuk dengan bidang pengacaraan, namun tawaran
lakonan masih akan diterimanya. Bagaimanapun kata Lofa, dia tidak mahu
terlalu banyak ambil tawaran drama, ini kerana dia mahu beri fokus
terhadap filem dan telemovie.
"Buat masa ini, saya masih ada banyak masa terluang sebelum bisnes
berkembang. Saya rasa ini masanya saya mencuba untuk bekerjasama dengan
ramai pengarah dan membawa karakter yang berlainan dalam lakonan.
"Mungkin dalam masa dua tahun, jika bisnes saya telah berkembang,
saya perlu berikan tumpuan kepada bisnes pula, jadi inilah masanya untuk
saya cuba. Saya juga tidak mahu memilih sangat, jika ada rezeki ke arah
lakonan, akan saya pertimbangkan dan ikut sahaja apa yang diberi,"
jelas Lofa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan