Sabtu, 22 Disember 2012

Mancini idam satu trofi (Kosmo)




MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini (gambar) memberi jaminan bahawa skuad The Citizens bakal memenangi satu kejuaraan musim ini.
Keyakinan Mancini itu hadir selepas beliau mengakui memiliki karakter 'sentiasa menang' dalam semua pertandingan.
Mancini berjaya memenangi sekurang-kurang satu trofi sepanjang tujuh daripada lapan musim sejak menjadi jurulatih sepenuh masa.
Kejayaan tersebut termasuk ketika membawa bekas kelab, Lazio ke pentas Liga Juara- Juara seperti mana sasaran yang diletakkan pihak pengurusan kelab Itali itu.
Mancini menikmati musim cemerlang ketika membimbing City apabila berjaya menamatkan penantian 35 tahun City yang gagal menjulang sebarang trofi selepas muncul juara Piala FA 2011.
Selain itu, bekas jurulatih Inter Milan tersebut juga berjaya menamatkan penantian 44 tahun City apabila berjaya memenangi kejuaraan Liga Perdana England pada musim lalu.
Kini, City masih bersaing dalam dua pertandingan iaitu kempen Liga Perdana England dan Piala FA selepas ditunjuk jalan keluar pada Piala Liga apabila tewas kepada Aston Villa selain menduduki tangga tercorot pada peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara.
Juara bertahan liga domestik itu ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Manchester United dan bakal menentang Watford pada aksi Piala FA, Januari depan.
"Mungkin kami tidak berjaya memenangi trofi liga pada setiap musim tetapi jika City boleh menjuarai Piala FA, saya fikir ia sudah memadai.
"Sangat penting untuk kami memenangi trofi pada setiap musim.
"Bagi kami, apa yang lebih mustahak City telah belajar untuk memenangi trofi sejak dua tahun lalu dan seperti yang anda saksikan, kami berjaya mendapatkan salah satu kejuaraan pada setiap musim," ujar Mancini. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan