Sabtu, 22 Disember 2012

Massa milik Ferrari (kOSMO)


FERRARI dijangka akan menawarkan kontrak baharu kepada Massa pada tahun 2013.


LONDON - Presiden Ferrari, Luca Di Montezemolo menegaskan, pasukan itu membuat keputusan yang tepat untuk memperbaharui kontrak Felipe Massa bagi musim 2013.
Meskipun ada sesetengah pengkritik memaksa Ferrari mencari pemandu remaja berbakat, Di Montezemolo mengakui yang para peminat tidak perlu ragu-ragu dengan keputusan pasukan untuk memilih Massa.
"Saya fikir idea untuk menandatangani semula kontrak tersebut merupakan satu keputusan yang betul. Jika kami mengubahnya, pasukan perlu mencari pemandu lain yang mampu mengisi kekosongan itu.
"Kami juga tidak mahu mengubah keseimbangan dan keserasian dalam pasukan sekarang kerana pada pusingan kedua perlumbaan musim lalu, Massa beberapa kali mempamerkan kepantasan yang lebih baik berbanding rakan sepasukannya, Fernando Alonso.
"Mata yang dipungut Massa ketika itu turut memberikan kelebihan kepada pasukan untuk bersaing dengan pendahulu bagi kategori pengeluar (Red Bull Racing)" kata Di Montezemolo.
Meskipun kegagalan Alonso untuk merangkul gelaran bagi kategori pemandu mengecewakan Di Montezemolo, beliau mengakui pencapaian yang diraih pada musim itu sangat menakjubkan.
"Kami perlu akui bahawa jentera kami tidak cukup pantas untuk memenangi kejohanan dunia tetapi pasukan masih mampu mempamerkan keupayaan yang hebat, sekali gus membenarkan kami meraih tempat kedua bagi kategori pengeluar dan pemandu.
"Saya harap pada tahun depan, kami akan katakan 'ini musim terbaik kami' kerana kami mahu memberikan jentera yang kompetitif kepada Alonso dan Massa bermula daripada perlumbaan pembukaan," tambahnya. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan