Hakikat itu ditimbulkan oleh bekas pemain bola sepak negara yang juga penganalisis bola sepak tempatan, Hasnizam Uzir berkata, hanya beberapa pemain di negara ini mampu mengisi peranan tersebut seperti Mohd. Norfarhan Muhammad dan Mohd. Nazmi Faiz.
Menurutnya, jika mahu melakukan sebarang rombakan menjelang kelayakan Piala Asia 2015, kedua-dua pemain ini perlu diberikan peluang kerana mereka mampu menjana kekuatan di bahagian tengah.
Pada pandangan saya, Norfarhan wajar dipanggil oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana dia mempunyai kelebihan tersendiri yang tidak ada kepada pemain lain.
Dia seorang pemain yang kreatif semasa melakukan gerakan dan ada visi apabila melakukan umpanan kepada rakan sepasukan, jadi dia ada kualiti selaku perancang yang jarang ada kepada pemain lain.
Saya rasa jika dia digandingkan di bahagian tengah bersama Shakir Shaari pasti persembahan Harimau Malaya lebih menarik untuk disaksikan.
Nazmi Faiz juga perlu dipanggil dalam skuad bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015 walaupun masih muda tetapi dia ada karisma tersendiri," katanya yang dihubungi, semalam.
Selain itu, Hasnizam mencadangkan Ashaari Samsudin yang merupakan sebahagian anggota skuad Piala Suzuki AFF 2012 juga perlu disenaraikan kembali kerana dia jelas lebih berkualiti berbanding seorang lagi pemain sayap kiri, S. Kunanlan.Ashaari bukan sahaja mempunyai skil menggelecek yang bagus namun hantaran bola silangnya dari sebelah kiri cukup menarik untuk disaksikan malahan sering sampai kepada rakan sepasukan yang menunggu di depan pintu gol.
Jika kita diperhatikan kepada Kunanlan, dia memang ada aset kepantasan apabila melakukan larian, namun bila diperhatikan pada setiap perlawanan, tidak banyak hantaran silang berkualiti dapat dilakukan ke dalam kotak penalti," katanya.
Tambah Hasnizam, jentera serangan negara sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah dan masih yakin dengan kemampuan Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
Mereka berdua masih dua penyerang terbaik yang kita ada buat masa ini cuma semasa Piala Suzuki AFF, kegagalan bahagian tengah menjadi punca mengapa kita tidak mampu beraksi dengan baik.
Safee bukan seorang penyerang yang mampu turun ke bawah selalu kerana tugasnya selaku penyudah lebih efisien jika dibiarkan selalu dalam kotak penalti sementara Norshahrul bertindak sebagai penyerang sokongan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, berpendapat beberapa orang lama seperti Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Badri Radzi dan Hairuddin Omar perlu dipanggil semula memperkuatkan Harimau Malaya.
Pemain-pemain ini mampu memberikan banyak pilihan kepada jurulatih sama ada di bahagian serangan atau tengah jika diketengahkan dalam pasukan .
Jika kita lihat pemain-pemain yang dipilih Rajagobal baru-baru ini, apabila berlaku kecederaan pemain utama seperti Shakir Shaari, barisan simpanan yang ada dilihat tidak begitu menyerlah.
Safiq Rahim juga didapati tidak begitu menyerlah dan kehadirannya dalam pasukan juga perlu dinilai kembali," katanya.
Skuad kendalian Rajagobal bakal membuka tirai kelayakan Piala Asia 2015 Kumpulan D dengan menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan sebelum beraksi di laman sendiri bertemu Yemen, 22 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan