http://kakibola.forumado.net/t1252-perkahwinan-tidak-jejas-prestasi-saya#1796
TUMPAT - Penjaga gawang negara, Khairul Fahmi
Che Mat, 23, menegaskan perkahwinannya dengan pemilik butik dan model
Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, tidak akan menjejaskan prestasinya
sebagai seorang pemain bola sepak negara dan Kelantan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Apek berkata, perkahwinan tersebut
harus dipandang positif kerana ia akan membangkitkan lagi semangatnya
untuk beraksi di atas padang.
"Insya-Allah prestasi saya tidak akan terjejas, kita kena ambil
positif, lihat David Beckham sebelum ini biarpun sudah berkahwin tetapi
prestasinya tidak menurun malah semakin meningkat.
"Saya akan cuba kekalkan prestasi yang terbaik kerana ini adalah
karier saya dan saya amat bertuah kerana Leuniey amat memahami karier
saya sebagai seorang pemain bola sepak," katanya dalam sidang media
selepas majlis pernikahan beliau di Wakaf Bharu di sini semalam.
Apek dan Nur Eilunie atau Leuniey selamat diijabkabulkan pada pukul
10 pagi semalam di rumah keluarga Leuniey di Wakaf Bharu dekat sini.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul
Ghani Abdul Mutalib dengan disaksikan oleh ahli keluarga terdekat
termasuk ibu bapa kedua mempelai di rumah keluarga Leuniey di sini.
Pada majlis tersebut, Khairul Fahmi menyerahkan mas kahwin sebanyak
RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan Leuniey membalas dengan tujuh
dulang.
Apek yang mengenakan persalinan berwarna kuning muda sah menjadi
suami kepada Leuniey dengan sekali lafaz dan lebih 2,000 tetamu termasuk
peminat setia mereka hadir pada majlis pernikahan tersebut.
Khairul Fahmi ketika ditemui bersyukur majlis tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
"Alhamdulillah majlis pernikahan ini berlangsung dengan baik. Saya
memilih Leuniey kerana dia memahami karier saya yang terlalu sibuk.
Sebagai contoh, saya hanya pulang untuk membuat persediaan sehari
sebelum majlis ini berlangsung.
"Perasaan saya sebelum majlis akad nikah gementar, tetapi ia tidak
sama ketika beraksi di atas padang kerana hari ini semua memberi
sokongan kepada saya dan Leuniey," katanya.
Dia menyerahkan kepada Allah sekiranya dikurniakan cahaya mata dalam
masa terdekat ini dan berharap akan menimang sekurang-kurangnya empat
orang anak.
Dalam pada itu, Leuniey berharap suaminya akan menjadi 'kapten'
kepada keluarga mereka dengan baik meskipun pelbagai kontroversi
dikaitkan dengan mereka sebelum ini.
"Saya bersedia sepenuhnya, dalam masa bercinta pelbagai cerita keluar
dalam akhbar dan blog. Saya sentiasa berbincang dengan suami bila
cerita seperti ini keluar.
"Ini jodoh yang ditentukan dalam perjalanan hidup kami, saya
bersyukur kerana kami telah disatukan," katanya sambil menyifatkan
suaminya seorang yang romantik dan penuh dengan kejutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan