Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menegaskan kejayaan Singapura dan kegagalan skuad Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF 2012 baru-baru ini bukan berpunca daripada keputusan membenarkan Lions XII beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula musim ini.
“Sebenarnya, perjanjian pertukaran empat musim ini (2012-2015) ini memberi faedah bersama buat Lions XII yang beraksi di Liga-M serta skuad Harimau Muda A yang beraksi di Liga-S (Liga Singapura).
“Dari segi pertandingan, saya tak anggap perkara ini wajar dijadikan alasan atau punca kekalahan skuad negara. Malah, ia bukan faktor kejayaan Singapura kerana kejayaan mereka turut dibantu dan diperkuatkan beberapa pemain naturalisasi yang bukan dari pasukan Lions XII seperti Aleksandar Duric, Mustafic Fahrudin, Daniel Bennett dan Qiu Li.
“Lagipun, mereka sebelum ini pun memang hebat di Piala Suzuki AFF kerana ini kejuaraan kali keempat mereka berbanding kita baru menang sekali,” kata Hamidin ketika dihubungi, semalam.
Lions XII kekal tonggak senior
Singapura membariskan 12 pemain Lions XII untuk membarisi skuad 22 pemain bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2012, sekali gus memberi kelebihan dari segi persefahaman kerana majoriti pemain beraksi bersama selama semusim di Liga-M yang menyaksikan Lions XII muncul naib juara Liga Super 2012.
Namun, kelebihan sama nyata tidak dimanfaatkan jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang hanya menyenaraikan lima pemain dari skuad Harimau Muda A yang beraksi bersama di Liga-S serta hanya tiga pemain dari skuad juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, Kelantan sekali gus terkandas di separuh akhir apabila tewas kepada Thailand.
“Saya harap penyertaan Lions XII ini tidak dijadikan isu besar kerana kehadiran mereka memberikan saingan lebih hebat kepada pasukan tempatan lain. Untuk musim 2013 pun, mereka mengekalkan barisan lebih kurang sama dengan hanya beberapa pemain senior dikekalkan,” jelas Hamidin.
Untuk musim 2013, Lions XII mengekalkan tonggak senior seperti Shahril Ishak, Baihakki Khaizan, Isa Halim dan Irwan Shah, namun dikhabarkan Shaiful Esah, Khairul Amri dan Shahdan Sulaiman bakal berhijrah ke kelab juara Liga-S, Tampines Rovers.
-Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan