Afrika Selatan akhiri kemarau
JOHANNESBURG - Tuan rumah, Afrika Selatan menamatkan kemarau
kemenangan apabila menewaskan Angola 2-0 pada aksi kedua Kumpulan A
kempen Piala Negara-Negara Afrika 2013 awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Durban itu, skuad Bafana Bafana melakar
kemenangan pertama dalam tempoh sembilan tahun pada kejohanan ini hasil
jaringan Siyabonga Sangweni pada minit ke-30 dan Micheal Majoro (ke-62).
Skuad kendalian Gordon Igesund itu menampilkan aksi yang lebih
bertenaga berbanding ketika seri tanpa jaringan dengan Cape Verde pada
aksi pembuka tirai, Sabtu lalu.
Igesund membuat rombakan besar-besaran termasuk mengetepikan lima
pemain yang beraksi pada perlawanan menentang Cape Verde, sekali gus
berjaya membawa pulang tiga mata berharga.
"Saya membuat merombak kerana kami perlu memenangi perlawanan ini.
"Saya gembira apabila percaturan saya untuk menggunakan formasi 4-1-5 berbaloi.
"Saya hanya mempertaruhkan empat pemain pertahanan, seorang menguasai
jentera tengah dan selebihnya menampilkan corak permainan menyerang.
"Pemain-pemain saya juga semakin yakin dengan kemampuan diri sendiri.
"Perasaan gemuruh ketika berdepan Cape Verde tempoh hari sudah hilang sama sekali," kata Igesund.
Dalam perlawanan terakhir nanti, Afrika Selatan akan menentang bekas
juara, Maghribi sementara Angola mengharapkan keajaiban untuk
mengejutkan Cape Verde bagi menghidupkan peluang ke suku akhir.
Ketika ini, Afrika Selatan mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan A selepas mengumpul empat mata. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan