Khamis, 24 Januari 2013

Arsenal mengamuk


LONDON - Olivier Giroud membantu Arsenal mendiamkan pengkritik selepas penyerang Perancis itu menyumbat dua gol ketika menang 5-1 ke atas West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Skuad Arsene Wenger dikritik penyokong selepas tewas kepada Manchester City dan Chelsea.

Pada perlawanan semalam, The Gunners kelihatan akan terus mencatat keputusan buruk selepas Jack Collison meletakkan West Ham mendahului pada minit ke-18 di Stadium Emirates.
Bagaimanapun, Arsenal bangkit menyamakan kedudukan menerusi Lukas Podolski.

Giroud memulakan kebangkitan menerusi jaringan pada awal babak kedua diikuti gol Santi Cazorla dan Theo Walcott sebelum Giroud melengkapkan gol kelima Arsenal.

Arsenal kekal pada tangga keenam tetapi kemenangan pertama mereka dalam empat perlawanan membolehkan Gunners merapatkan jurang empat mata dengan pasukan tangga keempat, Tottenham Hotspurs.

Wenger percaya kemenangan besar semalam membuktikan Arsenal memiliki kekuatan mental untuk menangani tekanan dalam pertarungan merebut empat tangga teratas Liga Perdana.
"Kami memperoleh respon yang bagus. Saya menonton semula perlawanan menentang Chelsea (Ahad lalu) dan merasakan kami cukup bagus pada masa itu dan ia diteruskan hari ini.

"Pada babak pertama kami menguasai permainan namun West Ham lebih berbahaya ketika sepakan bola mati, akibatnya, kami dihukum. Pada babak kedua, kami bermain pantas, gerakan menakjubkan dan mencipta banyak peluang gol.

"Saya tidak rasa pemain tidak sedar betapa pentingnya perlawanan ini. Saya lebih risau mereka tidak dapat beraksi dengan tenang apabila tiba perlawanan besar," kata Wenger. - Agensi

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan