|
|
LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mendedahkan keinginan bagi
mendapatkan bintang Napoli, Edinson Cavani menjelang aksi Liga Perdana
England bertemu Chelsea di Stamford Bridge, Ahad ini.
Wenger berharap perkembangan terbaharu itu mampu membantunya untuk mengalihkan tumpuan bagi memperkuatkan skuad The Gunners minggu depan.
Pengendali kelahiran Perancis itu tetap dengan pendiriannya untuk
tidak membeli pemain baharu sepanjang musim perpindahan, Januari ini.
Begitupun, beliau hanya akan mengalihkan tumpuan selepas masa depan
Theo Walcott berjaya diselesaikan dan mendakwa pemain sayap England itu
akan menandatangani kontrak baharu sebelum hujung minggu ini.
Sekiranya perkara itu berjaya dilakukan, beliau mempunyai masa 10
hari untuk memperkuatkan pasukan itu dan Cavani telah dikaitkan ke
Stadium Emirates.
Wenger mendedahkan kekagumannya terhadap penyerang itu tetapi
mengakui beliau berdepan kesukaran untuk menandatangani pemain itu.
"Cavani adalah seorang pemain yang saya suka," kata Wenger.
"Apa yang pasti, perpindahan itu memerlukan kos yang tinggi."
Cavani meledakkan 16 gol dalam kempen Serie A musim ini dan dia turut menjadi tumpuan pencabar Arsenal, Manchester City.
Sementara itu, penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha menjadi topik
hangat dalam saingan Liga Perdana England dan sehari selepas ketua
eksekutif Manchester United menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain
itu, Wenger turut melakukan perkara yang sama.
"Kami melihat kepada Zaha tetapi tidak ada tawaran dibuat," kata Wenger.
"Setiap kali kami menyebut nama pemain untuk dibeli, United dan AC Milan turut berminat. Hakikatnya, ia sangat sukar." - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan