|
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson percaya perjalanan
karier pemain sayap lincah Tottenham Hotspur (Spurs), Gareth Bale masih
terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Ryan Giggs.
Ferguson berkata demikian menjelang pertemuan menentang Spurs pada aksi Liga Perdana England di White Hart Lane malam ini.
Bale, 23, yang berasal dari Wales, sama seperti Giggs, 39, telah
mempamerkan prestasi cemerlang dengan meledak sembilan gol musim ini
termasuk jaringan solo ketika membantu Spurs menewaskan United 3-2 di
Old Trafford, September lalu.
Bagaimanapun, Ferguson menyifatkan persembahan bintang veteran United
itu ketika sama usia dengan Bale lebih cemerlang dengan membantu The Red Devils menjulang tiga gelaran Liga Perdana England, Piala FA (dua) dan Piala Liga.
"Ia sekadar pandangan sahaja," ujar Ferguson.
"Pemain itu (Bale) adalah seorang pemain yang bagus tetapi tiada siapa dapat menandingi Giggs ketika usianya 23 tahun."
Dalam perkembangan lain, Ferguson enggan mengulas mengenai badi sepakan penalti yang sering dialami United.
Khamis lalu, Wayne Rooney gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika
menentang West Ham pada pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford.
Penjaring terbanyak liga, Robin van Persie dijangka kembali berada dalam kesebelasan utama United ketika menentang Spurs.
Ferguson juga dikatakan tidak mahu lagi memberi peluang kepada Rooney untuk mengambil sepakan penalti.
"Saya masih belum membuat sebarang keputusan mengenai hal itu," ujar Ferguson.
"Apa yang pasti, kami tidak mahu gagal dalam sepakan penalti. Ia
adalah satu peluang keemasan untuk meraih kemenangan dalam satu
perlawanan.
"Bagaimanapun, ia bukan satu perkara yang saya mahu bincangkan." - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan