Jumaat, 18 Januari 2013

Benteng Chelsea rapuh



PUNCHEON (kanan) memperdaya dua pemain Chelsea sebelum meledakkan gol penyamaan Southampton ketika seri 2-2 dengan Chelsea di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus sementara Chelsea, Rafael Benitez menyalahkan benteng pertahanan selepas seri 2-2 dengan kelab bermasalah, Southampton pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Pada perlawanan di Stamford Bridge itu, Chelsea mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Demba Ba dan Eden Hazard masing-masing pada minit ke-25 dan 45.

Bagaimanapun, Southampton bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 2-2 hasil jaringan Rickie Lambert pada minit ke-58 dan Jason Puncheon (75).

Keputusan seri itu menyebabkan Chelsea ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Manchester United, sekali gus menyukarkan impian mereka untuk memenangi trofi liga domestik musim ini.

Dalam masa yang sama, pengendali kelahiran Sepanyol itu mengakui bahawa beliau masih belum pasti untuk menurunkan kapten, John Terry pada aksi menentang Arsenal di laman sendiri, Ahad ini.

Benitez berkata, skuad The Blues perlu bangkit segera sekiranya mahu mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Arsenal itu.

"Kami tidak gembira dengan keputusan seri di laman sendiri.

"Kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan atau satu unit yang mantap.

"Ada sesuatu yang perlu diperbaiki. Ia melibatkan pengalaman.

"Saya tidak marah tetapi saya berasa kecewa.

"Kami mengetahui masalah yang sedang dihadapi berbanding pasukan lain yang lebih tersusun. Kami perlu kekalkan corak permainan menyerang, memegang bola dan bukan seperti mana yang kami lakukan hari ini (awal pagi semalam)," kata bekas pengurus Liverpool itu.

Benitez yang sering diejek para penyokong Chelsea sejak menggantikan Roberto di Matteo pada November lalu mengakui, sikap segelintir peminat itu sudah mula menjejaskan prestasi anak-anak buahnya di Stamford Bridge.

Kehadiran Terry mungkin dapat membantu Chelsea memperbaiki prestasi di barisan pertahanan tetapi dia dijangka duduk di bangku simpanan selepas kecederaan lutut yang dialami masih belum pulih sepenuhnya.

"Dia (Terry) tidak sesuai untuk beraksi selama 90 minit. Dia hanya boleh diturunkan untuk beberapa minit sahaja. Kami akan menilai prestasinya pada sesi latihan. 

"Tidak sesuai untuk menggantikan pemain dengan pemain yang tidak cergas sepenuhnya, lebih-lebih lagi ketika beraksi dalam perlawanan yang sukar.

"Saya cuba untuk tidak mengambil risiko. Saya akan lakukan yang terbaik dan membuat pemilihan terbaik untuk pasukan," ujar Benitez. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan