Ahad, 6 Januari 2013

Boateng beri kata dua



REAKSI Boateng (kanan) selepas diejek oleh penyokong Pro Patria di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.


LONDON - Pemain tengah AC Milan, Kevin-Prince Boateng menegaskan dia akan meninggalkan padang jika sekali lagi menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman.

Boateng menjadi mangsa ejekan berbaur perkauman oleh penyokong-penyokong kelab bawahan Itali, Pro Patria ketika aksi persahabatan di Busto Arsizio, Milan Khamis lalu.

Pemain kelahiran Jerman yang beraksi bersama skuad kebangsaan Ghana itu meninggalkan padang sebelum rakan-rakan sepasukannya turut mengikut jejak langkah yang sama.

Tindakan pemain berusia 25 tahun itu mendapatkan sokongan penuh daripada pemilik Milan, Silvio Berlusconi.

"Saya tidak peduli sama ada perlawanan itu aksi persahabatan, Serie A atau Liga Juara-Juara, saya tetap akan meninggalkan padang sekiranya perkara itu kembali terjadi.

"Saya mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan antaranya pemain Manchester United, Rio Ferdinand serta Patrick Vieira.

"Saya amat sedih dan marah yang mana perbuatan itu seharusnya dihentikan dengan segera," ujar Boateng.

Sebelum bertindak meninggalkan padang, Boateng mendedahkan, dia telah mengadu perkara itu kepada pengadil perlawanan sebanyak tiga kali.

"Saya berkata kepada pengadil, sekiranya perkara itu terjadi sekali lagi, saya tidak akan teragak-agak meninggalkan padang.

"Kemudian, pengadil itu membalas dengan mengatakan tidak perlu risau namun kebimbangan itu masih ada dan saya mengambil keputusan untuk meninggalkan padang.

"Terdapat banyak ejekan negatif dan ia agak mengejutkan saya yang mana ia masih berlaku pada zaman ini," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan