Isnin, 21 Januari 2013

Fergie salahkan penjaga garisan



REAKSI Ferguson (tengah) ketika United menentang Spurs di White Hart Lane awal pagi semalam yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 1-1.


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menyalahkan penjaga garisan selepas menyaksikan anak-anak buahnya sekadar seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur (Spurs) dalam aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Dalam aksi di White Hart Lane itu, Clint Dempsey muncul wira Spurs apabila berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Ferguson mendakwa, penjaga garisan, Simon Beck sepatutnya menyedari kekasaran yang dilakukan tonggak pertahanan Spurs, Steven Caulker terhadap pemain gantian United, Wayne Rooney pada minit ke-63.

Sebelum ini, Beck pernah menerima kecaman Ferguson apabila mengesahkan jaringan kemenangan kontroversi penyerang Chelsea, Didier Drogba di Old Trafford pada April 2010.
"Saya tidak faham mengapa penjaga garisan (Beck) gagal mengesan kekasaran terhadap Rooney, ia sememangnya penalti.

"Beberapa tahun lalu, dia (Beck) juga gagal mengesan Drogba yang berada dalam posisi ofsaid. Saya pasti mengingatinya berdasarkan insiden sebegini," jelas Ferguson.
Pengendali Spurs, Andre Villas-Boas pula tidak mahu kontroversi tersebut membayangi persembahan cemerlang anak-anak buahnya dalam perlawanan itu.

"Sudah tentu ia akan menjadi pertikaian mana-mana pihak tetapi saya harap ia tidak dijadikan isu.
"Kami berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan manakala United hanya memiliki empat peluang keemasan. Bagi saya, itu yang perlu diberikan keutamaan," tegasnya.

Biarpun beraksi di laman lawan, United mendahului menerusi tandukan cantik Robin van Persie yang melepasi jangkauan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris pada minit ke-25.

Ketika tiga mata berharga dilihat seolah-olah berada dalam genggaman United, Dempsey muncul wira apabila tenang memperdayakan penjaga gol lawan, David De Gea pada minit ke-93.
Dengan keputusan itu, United kini hanya memiliki kelebihan lima mata di depan pencabar terdekatnya, Manchester City yang terdahulu melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas Fulham. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan