Sabtu, 26 Januari 2013

Ghana bernasib baik



PEMAIN Ghana meraikan kejayaan mereka selepas menewaskan Mali 1-0 semalam sekali gus mengungguli saingan Kumpulan A.


PORT ELIZABETH, Afrika Selatan - Juara empat kali, Ghana menewaskan Mali 1-0 untuk mengungguli kedudukan teratas dalam Kumpulan B pada kempen Piala Negara-Negara Afrika semalam.

Kemenangan tipis di Stadium Nelson Mandela Bay sudah memadai buat skuad mengumpul empat mata, satu mata di depan Mali manakala Republik Congo (dua mata) dan Niger (satu mata).

Pada perlawanan tersebut, Ghana lebih banyak menguasai permainan tetapi Mali berjaya melancarkan serangan bertali arus yang diketuai penyerang West Ham United, Modibo Maiga.

Mubarak Wakaso meletakkan Ghana di depan hasil satu sepakan penalti pada minit ke-38 selepas Emmanuel Agyeman Badu dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan kiri berpengalaman, Adama Tamboura.
Bagaimanapun, Wakaso bakal terlepas aksi terakhir kumpulan menentang Niger awal pagi Selasa ini selepas dia dilayangkan kad kuning kedua ketika meraikan kejayaan menjaringkan gol itu.

"Corak permainan kami lebih berdisiplin berbanding ketika seri 2-2 dengan Congo, Ahad lalu tetapi saya yakin kami mampu memberikan aksi yang lebih baik pada perlawanan ini," kata jurulatih Ghana, Kwesi Appiah.

Kapten Ghana, Asamoah Gyan pula memberitahu: "Ia satu perlawanan yang sukar kerana kami terdesak untuk melakar kemenangan.

"Biarpun berjaya mengutip empat mata, kami perlu menewaskan Niger pada aksi terakhir kumpulan bagi menjamin slot ke suku akhir," katanya.

Sementara itu, jurulatih Mali, Patrice Carteron mengakui kecewa dengan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah pada perlawanan itu.

"Penjaga gol Ghana (Fatau Dauda) sepatutnya dibuang padang apabila menangkap bola di luar kotak penalti tetapi pengadil hanya melayangkan kad kuning.

"Saya akui Ghana beraksi lebih baik terutamanya pada babak pertama.
"Begitupun, kami perlu melupakan kekalahan ini kerana kami masih ada satu perlawanan untuk dihadapi," katanya.

Untuk rekod, Ghana menewaskan Mali 2-0 pada kempen tahun lalu.
Bagaimanapun, Mali berjaya membalas dendam apabila menewaskan Ghana 2-0 pada penentuan tempat ketiga. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan