|
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, kehadiran Askar
Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perlawanan Liga Super antara
Kelantan dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammed
IV Kota Bharu Selasa lalu merupakan prosedur biasa buat kerabat diraja.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad memberitahu, ia sejajar
dengan polisi JMF yang ditugaskan menjaga keselamatan Tengku Mahkota
Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.
Azzuddin berharap perkara itu tidak disensasikan oleh mana-mana pihak
selain menggesa penyokong-penyokong bola sepak tempatan tidak terkeliru
dengan kehadiran JMF itu.
“Sebenarnya, ia adalah prosedur biasa buat JMF untuk menjaga keselamatan Tunku Ismail selaku Tengku Mahkota Johor.
“Sebelum Tunku Ismail berangkat ke Kelantan, JMF terlebih dahulu
bergerak ke stadium bagi memastikan perjalanan baginda berjalan dengan
lancar.
“Namun disebabkan masalah tertentu, Tunku Ismail tidak dapat hadir pada perlawanan tersebut.
“Saya berharap kepada semua pihak agar tidak salah faham mengenai situasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, kehadiran JMF yang lengkap bersenjata telah mengundang
perasaan kurang senang dalam kalangan penyokong-penyokong Kelantan.
Difahamkan, kehadiran anggota tentera tersebut telah mempengaruhi
tindakan peminat-peminat The Red Warriors yang membuat kecoh sejurus
tamat perlawanan.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan sekadar seri 1-1 dengan Johor DT.
Dalam perkembangan sama, Azzuddin turut mengesahkan bahawa Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak menghantar aduan rasmi berhubung
perkara itu.
“Setakat ini FAM tidak menerima sebarang aduan rasmi daripada KAFA berhubung kehadiran JMF,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan