|
|
NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan
Kamal (gambar) mendedahkan, skuad kebangsaan bakal beraksi dalam tiga
aksi perlawanan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi kempen
kelayakan Piala Asia 2015 pada Februari depan.
Tiga pasukan tersebut ialah Iraq, Uzbekistan dan India yang telah pun mengesahkan persetujuan mengadakan aksi persahabatan itu.
Jelasnya, perlawanan persahabatan tersebut adalah untuk memantapkan
persediaan skuad negara bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015.
"Seperti yang dimaklum, pasukan kebangsaan akan memulakan aksi persahabatan itu menentang Qatar di Doha pada 6 Februari depan.
"Sebelum itu, skuad negara akan menentang Iraq di UAE pada 1 Februari
dan aksi menentang Uzbekistan serta India bakal diadakan bulan
September," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM,
Kelana Jaya semalam.
Dalam perkembangan sama, Subahan turut mengesahkan FAM telah memohon
kepada pasukan-pasukan lain untuk mengadakan aksi persahabatan dalam
usaha memperbanyakkan aksi pemanas badan buat skuad negara.
"Selain itu, kita (dijangka) akan bertemu dengan Oman dan jika
semuanya berjalan lancar, aksi menentang Oman bakal berlangsung pada 17
Mac depan.
"Kita juga telah menulis surat serta memohon untuk mengadakan
perlawanan persahabatan dengan pasukan lain termasuk Thailand (7 Jun),
Jordan (11 Jun) di laman sendiri, China (18 Jun), Taiwan (14 Ogos) serta
Korea Selatan (10 Oktober) dan setakat ini kami masih menunggu jawapan.
"Kami harap mereka akan dapat memberikan persetujuan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan kami," katanya.
Pada perkembangan lain, Subahan turut menggesa agar
penyokong-penyokong setia Harimau Malaya memberikan sokongan padu kepada
skuad kendalian Datuk K. Rajagobal dalam usaha melayakkan diri secara
automatik ke pentas Piala Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan