JOHOR Darul Takzim (DT) menepati ramalan apabila mudah menundukkan
cabaran Selangor PKNS selepas merakamkan kemenangan 3-1 pada aksi Liga
Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Tiga gol skuad Harimau Selatan itu dijaringkan oleh Safee Sali, Ahmad
Ezrie Shafizie Sazali dan penyerang import sensasi, Daniel Guiza
manakala pemain pertahanan PKNS, Mohd. Faiz Mohd. Isa meledak gol sagu
hati pasukannya.
Johor DT tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi
tandukan Safee yang menerima hantaran lintang Guiza pada minit ke-18.
Skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu yang tampil dengan
persembahan bertenaga, hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-35
hasil gerakan solo Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia musim lalu,
Norshahrul Idlan Talaha, namun sepakannya terkeluar daripada sasaran.
Johor DT dilihat semakin garang apabila sering melakukan asakan ke
gawang lawan, namun penyudah yang kurang berkesan menafikan mereka untuk
menambah jaringan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat aksi separuh
masa pertama.
Bersambung pada babak kedua, usaha skuad kendalian Fandi Ahmad untuk
mengukuhkan kedudu- kan akhirnya berhasil apabila Ahmad Ezrie
menjaringkan gol kedua pada minit ke-61.
PKNS kembali bangkit mengatur serangan, namun setiap percubaan mereka mudah dihalang pertahanan Johor DT.
Ketika pasukan berstatus kelab itu terdesak untuk mengurangkan jurang
jaringan, Guiza memastikan Harimau Selatan meraih kemenangan bergaya
dengan meledak gol ketiga Johor DT pada minit ke-87.
PKNS yang tampil dengan semangat juang tinggi akhirnya berjaya
membolosi gawang Johor DT menerusi jaringan Mohd. Faiz pada masa
kecederaan, namun keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad mengakui yang kemenangan itu dilihat
bakal memberikan suntikan moral buat pemainnya untuk menampilkan aksi
lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.
"Saya berpuas hati dengan kemenangan ini yang akan menjadi pencetus
semangat kepada semua pemain untuk meraih lebih banyak kemenangan
selepas ini," katanya.
Menurutnya, barisan pemain Johor DT sudah mula memperli- hatkan keserasian serta keyakinan diri yang tinggi.
Sementara itu, jurulatih PKNS, Abdul Rahman berkata: "Perlawanan yang
cukup sengit tetapi pemain PKNS tidak dapat meningkat prestasi kepada
tahap yang lebih baik bagi mengatasi lawan."
Sementara itu, pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mengukuhkan kedudukan mereka
dalam liga selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Felda United.
Pendahulu liga, Pahang terus garang apabila mengecewakan Terengganu
3-0 pada aksi yang berlangsung Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Perak pula seri 1-1 dengan Selangor pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Lumut, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan