Jumaat, 25 Januari 2013

Hazard minta maaf


Eden Hazard diiringi pegawai perlawanan keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana menendang budak pemungut bola pada separuh akhir kedua Piala Liga menentang Swansea City di Cardiff, semalam. - AFP 
 
SWANSEA - Pemain Chelsea, Eden Hazard memohon maaf kerana menyepak budak pemungut bola yang menghalangnya daripada mendapatkan bola ketika separuh akhir kedua Piala Liga di Swansea, semalam.
Hazard, yang dibuang padang akibat kejadian itu, terus menemui mangsa, Charlie Morgan di bilik persalinan Chelsea dan meminta maaf kepadanya.

Charlie, 17, kemudian diketahui identitinya sebagai anak kepada pengarah Swansea, Martin Morgan.
Swansea, yang menang 2-0 di Stamford Bridge pada perlawanan pertama, mempertahankan keputusan agregat itu selepas seri tanpa jaringan di Stadium Liberty dan ke final bertemu Bradford City.
Kejayaan bersejarah Swansea dibayangi insiden luar biasa membabitkan bintang Belgium itu dan Morgan pada penghujung permainan.

Hazard menjelaskan dia tidak berniat untuk menendang budak pemungut bola itu.
"Budak itu menyembunyi bola dengan seluruh badannya dan saya cuba menendang bola itu, bukan budak itu.
"Saya minta maaf. Budak itu datang ke bilik persalinan dan kami sempat berborak disusuli ucapan minta maaf antara satu sama lain, jadi perkara ini sudah berakhir. Maaf sekali lagi," kata Hazard kepada Chelsea TV.

Kad merah yang dilayangkan Chris Foy akan menyebabkan pemain berusia 22 tahun itu digantung tiga perlawanan, malah berkemungkinan hukuman dilanjutkan.
"Mereka memohon maaf antara satu sama lain," kata pengurus sementara Chelsea, Rafa Benitez kepada pemberita.

"Masing-masing tahu kesilapan sendiri. Dia (budak pengutip bola) cuba membazirkan masa. Hazard pula mahukan bola itu dengan cepat jadi dia melakukan sepakan itu. Mereka berdua buat silap.

"Kami akan uruskan perkara ini secara tertutup. Dia berasa kecewa dan sekadar ingin mendapatkan bola itu, tapi kami akan menganalisisnya dan nilai apa yang sebenarnya terjadi." - REUTERS

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan