Khamis, 24 Januari 2013

Johor tidak gentar



AZMI yakin anak-anak buahnya mampu mengatasi Pahang malam ini.


KEMAMPUAN Pahang selaku pendahulu Liga Super sama sekali tidak menghadirkan rasa gentar buat pasukan Johor apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada aksi pembuka tirai Piala FA malam ini.
Meskipun skuad Tok Gajah berjaya menumpaskan nama-nama besar dan hanya tewas sekali sahaja kepada Selangor dalam saingan liga setakat ini, namun pengendali Johor, Azmi Mohamed tetap optimis anak-anak buahnya mampu mencipta kejutan.
Menurut Azmi, Pahang bukanlah pasukan asing buat Johor selepas kejayaan mereka menundukkan skuad bimbingan Dollah Salleh itu pada pertemuan pra musim Jemputan Empat Penjuru Piala Tunku Mahkota Johor hujung tahun lepas.
"Namun, kami tetap tidak boleh mengambil ringan perlawanan esok (malam ini) memandangkan Pahang kini bukan seperti pasukan Pahang yang kami tewaskan sebelum ini.
"Saya sendiri ada membuat analisis perlawanan Pahang sepanjang saingan Liga Super dan jelas pasukan itu sudah memperbaiki rentak permainan mereka," katanya.
Menurut Azmi, meskipun Johor hanya beraksi dalam saingan Liga Premier berbanding Pahang yang beraksi dalam Liga Super, namun itu semua tidak boleh diambil kira apabila beraksi dalam saingan Piala FA.
Katanya, apa yang penting, semua pemain harus fokus kerana bagi saingan kalah mati, mana-mana pasukan juga mampu untuk membuat kejutan.
"Saya yakin, kesemua pemain akan menunjukkan semangat juang yang tinggi bagi menewaskan Pahang sekali gus mara ke pusingan seterusnya.
"Saya harap, bermain di tempat sendiri akan turut memberi kelebihan buat pasukan Johor," katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan