|
|
JUARA trebel musim lalu, Kelantan memulakan misi mempertahankan
kejuaraan dengan langkah yang agak sumbang apabila tewas dua kali dan
hanya menang sekali dalam tiga perlawanan sejak memulakan kempen
menerusi perlawanan Piala Sumbangsih 5 Januari lalu.
Bergaya membuka tirai Liga Super musim 2013 dengan mengatasi PKNS di
laman sendiri Rabu lalu, The Red Warriors terpaksa menanggung kekalahan
pertama apabila diaibkan oleh T-Team pada pertemuan petang kelmarin di
Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak tidak mempamerkan
riak kebimbangan malah, percaya aksi anak-anak buahnya akan berada pada
tahap sebenar sedikit masa lagi selain menyifatkan aksi terumbang-ambing
yang dipamerkan ketika ini hanya bersifat sementara.
Menurutnya, beliau mengakui bahawa aksi menentang T-Team adalah di
bawah keupayaan sebenar selain keadaan padang dan cuaca juga dilihat
mempengaruhi persembahan kebanyakan pemainnya sehingga terpaksa akur
dengan tahap 'kesegaran' anak-anak didik Peter James Butler.
“Aksi kita kurang baik kerana beraksi di atas padang yang tidak
begitu baik. Itu memberi tekanan terutama pemain seperti Keita
(Mandjou), Obinna (Nwaneri) Daudsu (Jamaluddin) dan Norfarhan (Mohamad)
yang kurang selesa beraksi di atas padang sebegitu menyebabkan
pergerakan mereka agak berat dan tersekat.
“Sebelum ini, kita juga beraksi di atas padang yang basah dan becak
ketika menentang PKNS di Kota Bharu, menyebabkan pemain juga mempamerkan
aksi perlahan dan keletihan. Kita memerlukan sedikit masa untuk
memulihkan keadaan itu dan saya tidak fikir ia merunsingkan,” katanya
ketika ditemui semalam.
Tambahnya, perlawanan tersebut seimbang malah, Kelantan mempunyai
beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun, digagalkan dengan
penyudah yang tumpul berbeza dengan T-Team yang tidak mempunyai banyak
ruang tetapi, berjaya memanfaatkan satu peluang yang mereka peroleh.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu, faktor keletihan kerana
mengharungi jadual perlawanan yang padat juga menyebabkan anak-anak
buahnya gagal mempamerkan aksi yang berkualiti selepas beraksi dalam
tiga perlawanan untuk tempoh lapan hari.
“Ia merupakan perlawanan yang cukup sengit dan secara jelas anda
terpaksa beraksi dalam tempoh setiap tiga hari dan sudah tentunya anda
tidak akan melihat kualiti dalam bola sepak. Pada separuh masa pertama,
cuacanya sangat panas, namun, ia sedikit selesa pada separuh masa kedua.
“Mungkin semua orang menjangkakan kita akan menang pada perlawanan
tersebut, saya juga merasakan demikian tetapi kadangkala bola sepak
boleh jadi begini dan boleh jadi begitu. Adakala anda boleh menang
tetapi tempoh hari nasib kita tidak begitu baik,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan