KELANTAN sudah tidak rela lagi untuk meraih keputusan seri kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.
Hari ini, The Red Warriors itu akan turun menentang Negeri Sembilan
di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan misi untuk meraih
kemenangan.
Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak sedar bahawa perlawanan malam ini
cukup penting buat para pemainnya membuktikan keupayaan selain mengelak
daripada terus tercicir mata dengan pasukan yang berada di tangga
teratas liga.
Menurutnya, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat
perlawanan lalu bukan suatu yang positif untuk pasukannya mempertahankan
gelaran trebel ketika saingan Liga Super dilihat semakin mencabar
dengan peningkatan beberapa pasukan baharu.
“Kita perlu tampil berhabis-habisan malam esok (malam ini) untuk
mendapatkan tiga mata. Saya fikir, peluang beraksi di laman sendiri
merupakan satu kelebihan kepada kami dan saya harap kami mampu
menghasilkan keputusan yang positif nanti.
“Saya tidak fikir pasukan ini mempunyai masalah yang besar, cuma kami
gagal memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan barisan hadapan
kami kelihatan seperti agak tumpul.
“Saya berharap perlawanan malam esok (malam ini) adalah penutup
kepada aksi hambar yang kami pamerkan sebelum ini,” katanya semalam.
Tambahnya, walaupun situasi terkini menyaksikan Negeri Sembilan
berada di tangga tercorot liga, namun beliau tidak mahu para pemainnya
mengambil mudah perlawanan tersebut kerana lawan mereka itu sentiasa
menjadi pesaing paling hebat setiap kali mereka bertemu.
Katanya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, namun beliau
tidak nampak sebarang sebab kenapa pemainnya melepaskan mata berharga
pada setiap perlawanan, sedangkan prestasi mereka kini berada pada tahap
terbaik.
“Kita harus sempurnakan setiap peluang dengan baik. Bola sepak tidak
memerlukan anda bermain dengan cantik atau sebagus mana pemain tengah
dan pertahanan anda beraksi tetapi bola sepak adalah sebanyak mana anda
mampu menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.
“Pada perlawanan sebelum ini, barisan pertahanan bermain dengan baik
dan di jentera tengah, Piya (Badri Radzi) dan Shakir (Shaari) juga cukup
cemerlang, namun pada akhirnya kita tetap mempunyai masalah untuk
menjaringkan gol,” ujarnya.
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami dua penggempurnya,
Norfarhan Muhammad dan Keita Mandjou, Hodak berkata: “Norfarhan sudah
mula menjalani latihan ringan tetapi saya tidak fikir dia sedia untuk
diturunkan malam esok (malam ini).
“ Jika ada pun, mungkin saya akan guna khidmatnya dalam 30 minit terakhir manakala Mandjou juga semakin pulih.
“Haris (Safwan Kamal) dan Indra Putra (Mahayuddin) sudah tentu berada
dalam perancangan saya termasuk seorang lagi pemain muda, Khairul Izuan
Rosli yang semakin menunjukkan peningkatan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan