|
|
PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek mahu
menjadikan musim 2013 sebagai tahun terbaik dengan membantu Kelantan
mempertahankan kejuaraan trebel yang diraih musim lalu.
Apek berkata, selain membantu The Red Warriors meraih kejuaraan dalam
kempen domestik, dia juga berazam untuk merebut semula tempat sebagai
penjaga gol No. 1 Harimau Malaya.
“Ia bukanlah satu tugas yang mudah. Saya akan berusaha
bersungguh-sungguh dengan memberikan aksi terbaik setiap perlawanan yang
diharungi bagi memastikan kedua-dua azam sempena tahun baru ini dapat
dicapai.
“Saya juga bertekad untuk membantu pasukan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015,” katanya.
Apek berkata demikian kepada pemberita pada majlis kenduri perkahwinannya di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu semalam.
Dalam majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 1,000 tetamu itu, Apek
dan pasangannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, atau Leuniey tampil
anggun mengenakan persalinan warna biru firus sedondon.
Majlis kenduri Apek turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan
(KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, Annuar berkata, penyerang import baharu, Dimi Pertratos mempunyai kontrak rasmi dengan KAFA.
“Saya yakin tidak akan timbul soal curi atau pemain lari seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.
“Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab
akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan
di media.
“Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting, dia
(Pertratos) mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November
ini,” kata Annuar.
Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai berita
pemain kelahiran Australia itu yang dilapor dilamar oleh sebuah pasukan
di England baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan