|
SIAPA yang tidak kenal dengan gadis berkulit putih gebu kelahiran
Ranau, Sabah, Siti Adira Suhaimi atau lebih dikenali dengan panggilan
Adira yang lahir daripada program realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).
Memiliki suara yang mantap menjadi salah satu faktor untuk gadis
berusia 22 ini terus diminati ramai dengan lagu-lagunya yang sering
mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air.
Walaupun masih setahun jagung usianya dalam industri hiburan tanah
air, namun Adira sudah berjaya mengukir nama dalam anugerah-anugerah
hiburan tempatan seperti Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Terkenal dengan lagu Ku Ada Kamu dan Ilusi, Adira memasang cita-cita untuk menghasilkan lagunya sendiri suatu masa nanti.
"Saya memang teringin sangat untuk mencipta lagu saya sendiri sebab
itu adalah cita-cita saya sejak dari dulu lagi dan ia adalah sesuatu
yang amat membanggakan jika saya sudah mampu untuk menghasilkan lagu
saya sendiri.
"Sesetengah orang cakap kalau menyanyi mesti boleh buat lagu sendiri,
tetapi bagi saya ia terpulang kepada kemahira dan kemampuan
masing-masing, bukan senang untuk mencipta lagu sebenarnya.
"Pada saya perjalanan daripada penyanyi untuk bergelar komposer
adalah sangat jauh dan banyak lagi yang perlu saya belajar untuk ke arah
itu sebab saya pun masih baru lagi dalam industri," jelasnya.
Berduet dengan artis pujaan adalah sesuatu yang diimpikan bagi setiap
insan yang bergelar penyanyi tidak terkecuali Adira mahu bekerjasama
dengan idolanya.
"Siapa yang tidak mahu bekerjasama dengan penyanyi yang lebih senior
daripada kita lebih-lebih lagi artis pujaan sejak dari dulu.
"Sekarang ini saya sudah berduet dengan Awie, pada masa akan datang
kalau ada rezeki saya nak juga bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza
atau Jaclyn Victor (Jac)," katanya yang menyanyikan lagu, Ratuku duet bersama Awie untuk lagu tema drama, Sehangat Asmara.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Adira mempunyai senarai yang panjang dalam merencanakan karier dan kisah hidupnya.
Walau bagaimanapun, dia tidak mahu mendedahkan kepada umum mengenai
perancangannya kerana takut akan dikutuk orang ramai sekiranya tidak
berjaya nanti.
"Sebenarnya memang sangat banyak benda yang saya mahu lakukan tetapi
tak nak hebohkan kepada semua orang sebab tak mahu orang cakap saya ni
terlalu gelojoh nak capai semua benda.
"Biarlah saya simpan untuk diri sendiri sahaja dan kalau ada perkara
menarik yang saya boleh dikongsikan, saya akan kongsi dengan semua
orang," ujarnya yang tercalon untuk ABP 2012 dalam kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular bersama Hafiz.
Teman lelaki
Bercerita mengenai persiapan sempena ABP 2012, Adira mengakui sangat sibuk dengan kerja dan belum mempunyai waktu yang sesuai untuk berkempen meraih undi daripada peminat.
Mempunyai kelab penyokong yang memahami kesibukan kerjanya, kata
Adira kumpulan peminatnya itu telah pun memulakan siri kempen yang
diperlukan untuk memastikan dirinya membawa pulang anugerah.
"Sekarang ini saya sangat sibuk tetapi saya ada kelab peminat yang memahami dan mereka sudah pun memulakan siri kempen ABP kali ini. Saya sangat berterima kasih dengan para peminat kerana menyokong setiap kali saya tercalon dalam ABP.
"Walaupun tidak pernah membawa pulang apa-apa trofi, dapat tercalon
dalam lima yang teratas daripada berpuluh-puluh orang sudah mencukupi
dan bersyukur dengan usaha serta sokongan mereka selama ini.
"Bagi acara karpet merah, saya sudah bersedia daripada awal-awal kerana bimbang tidak sempat dan pada ABP kali ini saya akan menggayakan pakaian rekaan Hatta Dolmat," ujarnya dengan penuh bersemangat.
Baru tiga tahun dalam industri sudah bermacam kontroversi yang
tercalit di wajah penyanyi ini. Gosip percintaannya dengan penyanyi Alif
Aziz yang bermula sejak tahun lalu masih belum reda lagi.
Penat diajukan soalan yang sama, Adira tidak mahu kisah tersebut
dipanjangkan dan menganggap ia adalah sesuatu yang lumrah bagi artis
bila digandingkan dengan artis yang lain akan timbul pelbagai andaian
daripada banyak pihak.
"Sudah banyak kali saya menjelaskan perkara ini kepada semua yang saya tidak ada apa-apa hubungan istimewa dengan dia.
"Saya mengaku kami hanya rakan baik tapi untuk ke arah bercinta
memang tiada. Saya hanya berhubung dengan dia atas urusan kerja sahaja,
tidak lebih daripada itu.
"Buat masa ini saya memang tiada teman lelaki dan tidak akan cari
kerana saya ingin fokus kepada kareer saya tetapi kalau sudah takdir
saya bertemu dengan orang yang sesuai akan terima dengan seadanya,"
jelasnya.
Bermasam muka
Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman, Adira menjelaskan dia tidak
suka memilih dan tiada ciri-ciri khusus lelaki idamannya cukup sekadar
sedap mata memandang.
Selain itu Adira juga turut dikritik ketika melakukan persembahan bersama Hafiz untuk lagu Ombak Rindu pada AJL 27
baru-baru ini ekoran dirinya bermasam muka terutamanya ketika dia
digendong oleh aktor tampan, Aaron Aziz yang membuat penampilan khas,
selain dikatakan membuat persembahan ala kadar.
Menyanggah dakwaan tersebut, Adira menjelaskan dia sentiasa
bersemangat untuk menjayakan persembahan tersebut dan dia berbuat
demikian adalah kerana kehendak lagu tersebut.
"Ramai orang cakap kenapa tidak senyum pada masa itu. Sebenarnya ia
adalah kehendak lagu tersebut yang memerlukan saya untuk tidak senyum.
Saya rasa perkara kecil seperti ini tidak perlu dibesar-besarkan. Apa
yang saya lakukan adalah semata-mata kerana kehendak lagu tersebut.
"Itu adalah cara penghayatan saya dan membawakan lagu itu dengan
penuh semangat. Lagu itu menceritakan tentang kesedihan, mana mungkin
kita senyum apabila nyanyi lagu sedih, tidak sesuailah," jelasnya.
Tegas Adira, segala kontroversi lalu yang melanda dirinya biarlah ia
pergi begitu sahaja supaya dapat menjadi pengajaran baginya untuk lebih
berhati-hati dengan setiap tingkah lakunya pada masa akan datang.
"Bagi saya perkara yang dah lepas biarlah berlalu tak perlu diungkit
lagi dan menjadi pengajaran kepada saya di masa akan datang. Orang akan
terus bercakap tapi lama-kelamaan bila dah penat mereka akan berhenti
juga.
"Tahun 2013 ni saya akan cuba kalau boleh elakkan diri daripada
kontroversi tapi kalau benda dah jadi saya nak buat macam mana,"
tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan