TIDAK keterlaluan jika dikatakan betapa skuad Harimau Malaya menutup kalendar 2012 dengan noktah yang agak mengecewakan.
Ini kerana penyokong setia bola sepak tempatan masih sukar untuk
melupakan kegagalan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu
mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2012 sejurus tewas 1-3 secara
agregat kepada Thailand pada aksi separuh akhir.
Biarpun didesak melepaskan jawatannya, Rajagobal menegaskan bahawa
beliau masih mempunyai tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh
Persatuan Bola Sepak Ma laysia (FAM).
Jurulatih berusia 56 tahun itu kekal positif dengan tugasnya dan enggan mempedulikan ‘cakap-cakap luar’.
Sebaliknya, Rajagobal mahu terus fokus membimbing Harimau Malaya bagi
menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula bulan depan.
“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan. Selepas Piala Suzuki AFF
2012, misi saya adalah fokus kepada persiapan pasukan kebangsaan bagi
menghadapi kelayakan Piala Asia 2015... itu sahaja,” kata Rajagobal.
Namun, timbul persoalan dalam kalangan pengkritik sukan tanah air -
adakah Rajagobal mampu mengangkat imej skuad Harimau Malaya di pentas
Asia?
Ramai beranggapan bahawa Rajagobal tidak lagi berupaya untuk mengulangi magis yang pernah diciptanya pada 2009 dan 2010.
Meskipun Rajagobal dianggap sebagai jurulatih tempatan paling berjaya
apabila membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos
dan Piala Suzuki AFF 2010, para pengkritik mula mempersoal
kredibilitinya ketika ini.
Paling mencuri tumpuan apabila Rajagobal didakwa gemar ‘memilih bulu’ dalam menyenaraikan pemain dalam skuad kendaliannya.
Buktinya, pada Piala Suzuki AFF 2012, Rajagobal dilihat memilih para
pemain yang hampir sama ketika mengharungi kempen Piala Suzuki AFF 2010.
Polisi Rajagobal yang lebih mengutamakan pemain muda juga menimbulkan
tanda tanya - adakah pemain lebih senior langsung tidak relevan untuk
menyarung jersi Harimau Malaya sedangkan mereka beraksi cemerlang
bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia (Liga M).
Antara pemain tersebut - dua tonggak Kelantan, Indra Putra
Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Ashaari Shamsuddin (Terengganu) dan
Mohd. Badhri Radzi (Kelantan) yang gagal ‘mencuri’ perhatian Rajagobal
meskipun mereka mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan
masing-masing.
Bagi bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah, sudah tiba masanya
Rajagobal mengetepikan sentimen jasa pemain-pemain yang membantu Harimau
Malaya muncul juara Piala Suzuki AFF 2010.
“Pada pendapat saya, sudah tiba Rajagobal untuk memberikan perhatian
kepada prestasi semasa para pemain yang menonjol dalam Liga M.
“Kenapa tidak memanggil Badri yang mempamerkan aksi begitu
menakjubkan selepas berjaya membantu Kelantan menjuarai gelaran trebel
musim lalu?
“Tidak dapat dinafikan Rajagobal merupakan jurulatih tempatan paling
berjaya buat masa ini tetapi saya percaya jika beliau dapat memilih
pemain-pemain yang betul, tidak mustahil Malaysia akan layak ke pusingan
akhir Piala Asia 2015.
“Sebenarnya kita memiliki ramai pemain berbakat tetapi cara pemilihan
pemain yang tidak betul,” kata Reduan kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh turut berkongsi pandangan yang sama dengan Reduan.
Shukor menjelaskan, Rajagobal perlu lebih kreatif dalam merencana
taktikal permainan selepas menyaksikan tiada peningkatan prestasi
Harimau Malaya sejurus memenangi Piala Suzuki AFF 2010.
Menurut Shukor, tindakan Rajagobal yang kerap melakukan ‘eksperimen’
dalam usaha membentuk pasukan mantap telah mengundang perasaan kurang
senang beberapa pihak termasuk para penyokong fanatik Harimau Malaya.
Justeru, Shukor berharap Rajagobal dapat mencari jalan terbaik dalam
usaha memantapkan skuad Harimau Malaya menjelang kempen kelayakan Piala
Asia 2015.
“Apa yang saya nampak, skuad negara kita tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara.
“Sejujurnya, Harimau Malaya hanya betul-betul bermain bola sepak
ketika menewaskan Vietnam (2-0) dan Indonesia (3-0) pada aksi Piala
Suzuki AFF 2010,” jelas Shukor.
Shukor berkata, Rajagobal harus mencontohi corak permainan Laos yang
dilihat begitu tersusun ketika menghadapi kempen Piala Suzuki AFF 2012.
“Jika Laos begitu yakin memperagakan corak hantaran pendek, mengapa tidak Harimau Malaya?
“Laos hanya mempertaruhkan pemain-pemain muda dan tidak memiliki
pengalaman berbanding Malaysia tetapi keyakinan barisan pemain mereka
begitu terserlah.
“Kebanyakan pemain kita dilihat gugup dan inilah masalahnya. Apabila
tiada keyakinan diri, banyak kesilapan mudah kita akan buat.
“Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan Rajagobal secara
individu... cuma nasihat saya, beliau patut mencari jalan untuk
meningkatkan serta memperbaiki corak permainan,” katanya.
Biar apa pun pandangan dan kritikan yang dilemparkan, kini bergantung
kepada Rajagobal untuk kembali mengangkat kembali reputasi Harimau
Malaya di peta bola sepak antarabangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan