Jumaat, 11 Januari 2013

Mandjou, Haris pilihan Hodak



MANDJOU bakal digandingkan dengan Haris Safwan pada aksi menentang T-Team di Kuala Terengganu hari ini.


JUARA trebel, Kelantan akan mempertaruhkan gandingan bekas penjaring terbanyak Liga Super musim 2005-2007, Keita Mandjou dan Mohd. Haris Safwan Mohd. Kamal bagi merobek benteng pertahanan T-Team pada saingan aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.

Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pemain tersebut memperagakan aksi cemerlang ketika menumbangkan PKNS pada perlawanan pembukaan liga Rabu lalu.
“Mohd. Haris beraksi cemerlang tempoh hari, begitu juga dengan Mandjou. Walaupun ramai yang mempertikaikan kredibiliti dia (Mandjou) tetapi saya harus bersikap jujur dan adil terhadapnya

“Anda lihat Marlon Alex James (pemain Angkatan Tentera Malaysia). Dia pemain yang hebat tetapi gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai banyak peluang ketika pasukannya tewas kepada Lions XII tempoh hari.

“Situasi ini mungkin dialami Mandjou, kita janganlah cepat menghukumnya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, dia yakin Mandjou akan menemui semula sentuhannya sekiranya diberikan sokongan padu oleh peminat.

Dalam pada itu, Hodak membayangkan berkemungkinan besar dia akan menyenaraikan bekas pemain T-Team musim lalu, Zairo Annuar Zalani dalam kesebelasan utamanya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut akan dibuat selepas sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Kuala Terengganu.

“Zairo Anuar mengetahui sedikit sebanyak kekuatan dan kelemahan pasukan lamanya. Saya perlukan khidmat dia dan saya fikir ini merupakan satu peluang baik untuknya membuktikan kehebatan jika diberi ruang beraksi nanti,” ujarnya.

Mengulas mengenai kekuatan T-Team yang pasti mahu mencatatkan kemenangan pertama setelah tewas tipis 0-1 kepada Perak, Hodak bagaimana pun tidak risau dengan kebangkitan kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu.

“Saya tidak mahu terlalu yakin, tetapi saya tetap optimis kami boleh memperolehi satu keputusan positif di Kuala Terengganu.

"Memang T-Team tidak dibarisi pemain yang hebat tetapi mereka merupakan sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras. Itu sesuatu yang baik dan kami sudah bersedia berdepan dengan mereka,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan