|
|
KRITIKAN terhadap prestasi hambar penyerang import Pahang, Nikol
Klechkaroski dari Macedonia akhirnya mendapat reaksi pengurus pasukan,
Datuk Che Nasir Salleh.
Menurut Che Nasir, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)
berkemungkinan akan membuat penilaian semula terhadap pemain import
mereka termasuk Mohamed Borji dari Maghribi.
Beliau dengan nada serius memberitahu, kedua-dua pemain tersebut
sehingga kini masih belum mencapai mutu permainan yang diharapkan oleh
pasukan.
"Walaupun Borji pernah menjaringkan gol semasa menentang Felda United
di Petaling Jaya (11 Januari), tetapi prestasi kedua-dua pemain import
setakat ini masih belum mencapai tahap yang kita inginkan.
"Bagaimanapun, kita masih di peringkat awal liga dan terlalu awal
untuk membuat sebarang penilaian atau kesimpulan berhubung perkara itu,"
jelas beliau semasa dihubungi Kosmo! di Kuantan baru-baru ini.
Semasa pertemuan Pahang dengan Negeri Sembilan pada Selasa lalu,
Klechkaroski yang dimasukkan pada minit ke-87 turut mempamer aksi
mendukacitakan apabila dilihat terpinga-pinga untuk membuat hantaran
bola kepada rakan-rakan sepasukan.
Tindakan penyerang import tersebut menyebabkan usaha Pahang untuk
memanfaatkan peluang bagi menambah bilangan gol pada minit-minit akhir
terbantut.
Che Nasir menambah, kedua-dua pemain tersebut diberi masa dan peluang
untuk menyesuaikan diri dengan pasukan serta berusaha meningkatkan
prestasi masing-masing disebabkan perjalanan liga yang masih panjang.
Tambah beliau, perjalanan kempen Tok Gajah dalam Liga Super juga
masih jauh dan sebarang keputusan melibatkan kedua-dua pemain import
tersebut wajar dibuat dengan teliti.
"Kita lebih suka kalau mereka dapat meningkatkan prestasi dan
menunjukkan belang sebenar kepada pasukan, itulah sebenarnya pilihan
yang kita mahu.
"Tetapi kalau mereka masih tidak dapat mencapai tahap yang
diharapkan, kita terpaksa melalui proses-proses tertentu demi menjaga
prestasi keseluruhan pasukan," tegas beliau.
Ketika ditanya mengenai perbezaan prestasi antara pemain import
dengan tonggak tempatan pula, Che Nasir mengakui terdapat jurang yang
agak ketara.
"Sepatutnya, pemain import menunjukkan prestasi yang lebih menyerlah,
tetapi ia tidak terjadi. Atas sebab itulah kita sedikit kecewa dengan
pemain import yang ada."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan