Sabtu, 26 Januari 2013

Pengurusan FAM masih di takuk lama?


BANYAK keputusan dikatakan dibuat secara ad-hoc dalam setiap mesyuarat majlis exco FAM.-Gambar hiasan


BOLA sepak negara sejak kebelakangan ini sering diselubungi kontroversi melibatkan banyak perkara.
Jika dilihat pada sudut yang positif, kekalutan yang melanda memberi sedikit ruang publisiti untuk menarik semula perhatian peminat bola sepak bagi mengembalikan zaman kegemilangannya.

Namun, dalam dunia global yang semakin berubah, bola sepak juga memerlukan satu transformasi yang bukan sekadar dihebohkan dalam akhbar mahupun televisyen tetapi ia menuntut kesediaan dan komitmen serta jiwa besar agensi, badan atau individu yang terlibat dalam pembangunan bola sepak negara.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, kehebatan Liga Malaysia kembali menjadi tumpuan peminat terutama melibatkan pasukan kerdil yang kini menjadi gergasi baharu, pasukan yang dulunya begitu gah mengungguli saingan, kini sudah kehilangan taring, episod gantung menggantung, ‘curi’ pemain, keganasan penonton dan banyak lagi terus mewarnai dunia bola sepak tempatan yang semakin diminati untuk ditelusuri perkembangannya.

Apabila membicarakan mengenai bola sepak tempatan, nama Tan Sri Annuar Musa sudah tentu tidak boleh dihanyutkan begitu sahaja dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia, terutama apabila beliau sering dikaitkan sebagai individu yang sering mencetuskan kontroversi.

Sehinggakan jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dimenangi hanya sempat dirasai selama setahun lapan bulan sahaja sebelum digantung selama dua tahun setengah kononnya kerana mengkritik prestasi skuad bola sepak kebangsaan.

Beliau merupakan Timbalan Presiden FAM yang pertama digantung kerana kelantangannya mengkritik yang pada hemat sesetengah pihak tertentu sebagai tidak beretika dan beliau tidak berhak walaupun beliau mendakwa teguran tersebut adalah untuk kebaikan.

Pelbagai kontroversi diharungi beliau penuh dengan ketenangan sehingga berjaya membawa Kelantan merangkul gelaran trebel musim lalu sebelum episod kontroversi baharu muncul apabila beberapa pemain The Red Warriors didakwa 'dicuri' oleh pasukan lain.

Seperti biasa, Annuar keluar dengan pelbagai kenyataan yang mendakwa pemainnya dibawa keluar menggunakan 'pintu belakang' sehingga menimbulkan polemik baharu dalam dunia bola sepak tempatan sehingga menyebabkan FAM terheret sama dalam isu berkenaan.

Menurut Annuar, segala isu yang timbul ekoran daripada masalah pentafsiran undang-undang bola sepak yang digariskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang gagal ditafsirkan dengan baik oleh FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini.

“FAM sendiri tidak ada jabatan undang-undang, FAM sangat bergantung sepenuhnya kepada individu-individu tertentu sedangkan peraturan dan undang-undang sukan adalah subjek yang khusus, mesti diuruskan oleh seorang yang profesional, bukan berstatus profesional biasa tetapi profesional yang mempunyai pengalaman, dan kebetulan dalam negara kita juga, aspek undang-undang sukan ini tidak banyak pihak yang mendalaminya.
ANNUAR


“Sedangkan sukan itu sendiri ada undang-undang, ada mahkamah sendiri, tribunal sendiri, ada jawatankuasa rayuan dan implikasi, kerana ia merupakan industri yang bernilai berbilion ringgit, satu benda yang besar. Jadi, dalam badan induk negara (FAM), bila tidak ada satu jabatan menyelaraskan, maka kita dapati banyak berlaku kepincangan daripada segi pentafsiran, aplikasi, kepincangan macam mana nak selesaikan satu pertikaian sehingga menimbulkan banyak ketidakpuasan hati,” katanya.

Katanya, apa yang menjadikan masalah tersebut bertambah rumit apabila persatuan bola sepak negeri juga tidak mendalami peraturan yang ada kerana ada di antara mereka yang menguruskan sesebuah pasukan datang daripada latar belakang yang tidak berkaitan dengan sukan berkenaan seperti guru dan sebagainya yang secara tiba-tiba atau kebetulan menjadi presiden persatuan ataupun pengurus pasukan.

“Ahli sukan juga sama, mereka tidak memahami peraturan. Apabila dia sudah melanggar peraturan dan sebagainya, tiada siapa peduli atau keadaan itu tidak mendidik dia untuk mengikuti peraturan dan sebab itu bila kita kata profesionalisme dalam semua peringkat, pengurusan kena faham peraturan, pemain kena faham peraturan jadi sekurang-kurangnya bila semua orang faham peraturan maka, lebih sedikit pertikaian yang timbul, kuranglah perlanggaran.

“Sudahlah kita tidak ada rangka kerja mentadbir undang-undang secara sistematik, kemudian orang yang terlibat mentadbir tidak ada pengetahuan. Maka, kesemua perkara berkaitan peraturan dan undang-undang menjadi satu perkara yang paling tidak diberi keutamaan, ia cuma berjalan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Artikel 88 yang menyebabkan beliau digantung, Annuar berpendapat bahawa ia adalah suatu yang tidak relevan malah, pentafsirannya berbeza dengan 'roh' dan tujuan artikel tersebut dibuat apabila ia hanya memperuntukkan hanya dua individu, Presiden FAM dan Setiausaha Agung FAM sahaja yang boleh bersuara.

“Tidak munasabah dan saya tengok undang-undang itu pun tidak diaplikasikan seperti itu. Ada masa bercakap, tiada tindakan, ada masa kena tindakan maka saya cuba mahu faham apakah semangat di sebalik Artikel 88.

“Jadi, tidak kiralah bila jatuh sesuatu hukuman yang kebetulan kena pada saya sendiri, saya mahu tahu lebih lanjut sebab itu saya lawan. Selepas itu terus tidak boleh merayu, kena sekat, jadi nak pergi ke peringkat seterusnya tidak boleh. Sepatutnya proses dalam menentukan keadilan sebelum mahu menghukum mesti ada siasatan, mesti ikut prosedur, tidak boleh terburu-buru mahu menghukum.

“Harus ada penjelasan kenapa tindakan disiplin tidak boleh diambil, jadi orang berkenaan mesti jelaskan. Kemudian, jika jawapan tidak memuaskan hati, terus buat dakwaan secara rasmi. Dakwaan itu pula perlu cukup tempoh masa, kena ada peluang untuk bela diri dan bila jatuh hukuman mesti ada ruang untuk merayu,” jelasnya.

Katanya, walaupun Artikel 88 hanya tertakluk untuk bola sepak namun, ia perlu diaplikasikan berdasarkan undang-undang negara, dan jika ia bercanggah sepatutnya undang-undang negara diguna pakai.
“Adakah Artikel 88 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara dalam konteks kebebasan bersuara? Menyekat secara keseluruhan sehingga keseluruhan komuniti bola sepak hilang kebebasan bersuara untuk memberikan komen yang adil dan berasas.

“Sebab itu saya ambil pendekatan lain sedikit sebab undang-undang itu perlu diuji soal interpretasinya, bukan sebab kita nak lawan tapi saya memikirkan jangka panjang. Kalau satu-satu pertikaian itu kita tidak ikut prosesnya, kita tidak akan dapat penjelasannya,” katanya.
ISU perpindahan Norshahrul dikatakan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.


Pengurusan yang ketinggalan zaman
Mengulas mengenai senario bola sepak di Malaysia, Annuar percaya bahawa sistem pengurusan bola sepak di negara ini masih berada ditakuk lama dengan sistemnya sama seperti 10 atau 20 tahun kebelakang dan masih menggunakan amalan biasa walaupun bola sepak itu sendiri kini menjadi salah satu industri yang terkedepan.

“Pengurusan liga masih merupakan amalan biasa, anda uruskan satu pasukan 25 pemain ada jurulatih turun latihan di padang kemudian mengambil bahagian dalam pertandingan dan biasanya kos dan pembiayaan datang daripada sumber tertentu yang lazimnya kerajaan atau satu entiti,” katanya.
Menurutnya, keadaan tersebut tidak menggambarkan bola sepak di negara ini diuruskan dalam situasi profesional kerana terlalu banyak kelemahan yang ada pada amalan sistem yang diterapkan berbanding kaedah yang digunakan oleh kebanyakkan liga di Eropah malah beberapa liga di Asia seperti A-League di Australia, J-League di Jepun dan K-League di Korea Selatan termasuk transformasi yang kian berkembang bagi beberapa liga di Asia Barat.
“Keadaan sekarang ini sedikit sebanyak menuntut perubahan misalnya pemain-pemain mula bercakap tentang nilai gaji yang lebih tinggi dan itu memerlukan kapasiti kelab pula untuk sanggup mengadakan dana dan menguruskan dana yang lebih besar.
“Kalau dulu barangkali RM500,000 atau RM1 juta cukup untuk uruskan satu pasukan tapi sekarang sampai RM10 juta misalnya, sudah tentu pengurusan dana yang sebesar itu dari segi perbelanjaan dan hasil sudah tidak lagi sesuai dengan cara-cara yang lama atau keupayaan yang lama.
“Jadi, kalau tanya saya pada keseluruhannya pengurusan bola sepak dari atas sampai bawah berbanding dengan norma yang dipakai di negara yang maju bola sepaknya, kita sangat jauh berbeza,” ujarnya.
Annuar tanpa berselindung menggesa FAM sebagai badan induk dan tunggal bola sepak negara supaya berubah dan melakukan perubahan dalam usaha untuk mengangkat tahap profesionalisme di peringkat akar umbi.
Jelasnya, FAM adalah satu-satunya badan yang diamanahkan oleh FIFA dan bertanggungjawab mencorakkan bagaimana bola sepak di negara ini dikembangkan dan sudah tentu tugas tersebut cukup mencabar dan memerlukan pemantauan yang berterusan bagi menentukan hala tujunya.
Bagaimanapun, melihat kepada apa yang berlaku di negara ini, beliau nyata kesal apabila bola sepak di negara ini diuruskan tanpa sebarang perancangan dan ia hanya berjalan mengikut keadaan tanpa satu pengurusan yang sempurna untuk memacu transformasi dalam sukan berkenaan.
“Pengalaman saya sekejap secara aktif dalam FAM, saya dapati kita pergi mesyuarat dan berbincang tanpa ada apa-apa rujukan. Tidak ada rujukan dan rangka kerja, jadi, macam mana kita mahu menilai tahap-tahap tertentu sama ada kita di landasan yang betul atau tidak.
“Semua keputusan kita dibuat secara ad-hoc, sekali berlaku satu peristiwa, sekali kita perkenalkan satu program. Program itu pula ad-hoc, jadi, akhirnya perkembangan bola sepak itu tidak berlaku secara terancang. Saya selalu kata dalam dunia sekarang ini, champion must be created, no longer born (seorang juara itu mesti dibentuk bukan lagi lahir semulajadi),” jelasnya.

PRESTASI skuad kebangssan di persada antarabangsa menggambarkan betapa lemahnya bola sepak negara di peringkat akar umbi.


Kontroversi Mat Yo
Selepas lima tahun mengambil alih KAFA dan melakukan proses transformasi yang bukan kecil, beliau melihat kontroversi mengenai isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) berlaku sekali lagi kerana keliru dalam mentafsirkan kontrak dan undang-undang dengan jelas.

FAM, katanya adalah badan yang melakukan penafsiran tersebut dan bukan sahaja percanggahannya berlaku kerana pentafsiran, tetapi undang-undang yang digubal oleh badan tersebut juga mempunyai konflik.
“Bagi FIFA, seseorang pemain yang ada kontrak dengan mana-mana kelab, dalam tempoh kontrak itu masih berjalan maka dia mesti ada tuan punya secara asasnya. Dalam tempoh itu, tidak ada kelab boleh menghubungi secara langsung pemain berkenaan, telefon pun tidak boleh. Mahu panggil, jumpa, makan, runding semua tidak boleh, dalam FIFA itu sangat jelas.

“Kedua, kalau mana-mana kelab mahu mengambil pemain ini, wajib minta kebenaran daripada kelab asal, tidak boleh ada hubungan langsung kecuali hantar permintaan pada kelab dan kalau kelab kata tidak setuju berunding, maka tiada apa-apa urusan berlaku sehingga kontrak pemain terbabit tamat.

“Ini kunci yang diwujudkan untuk menjaga industri sebab kalau tidak dijaga, maka tidak timbul dalam industri ini sistem perpindahan pemain. Bila pemain boleh ‘dicuri daripada belakang’, tidak payahlah bayar yuran perpindahan dan pemain pula boleh keluar sebegitu mudah. Dalam FIFA, kalau kita ambil di luar peraturan, pemain dan kelab akan digantung selama empat bulan,” ujarnya.

Proses perpindahan Mat Yo yang kini menyertai Johor Darul Takzim (Johor DT) jelasnya, merupakan satu percanggahan dan melanggar undang-undang malah, lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa terdapat tangan-tangan halus di dalam FAM yang memainkan peranan membawa keluar Mat Yo dari Kelantan.
“Bila pemain ada masalah dengan kelab, orang lain jangan campur tangan. FAM tidak boleh campur sebab dia mahkamah, tetapi dalam kes Mat Yo saya tahu pegawai FAM terlibat supaya Mat Yo boleh pindah, benda itu sangat salah. Saya tahu ada orang terlibat secara langsung memberi jalan kepada Mat Yo untuk keluar.
“Dalam undang-undang, FAM adalah seperti hakim dan hakim tidak boleh beri nasihat terlebih dahulu kepada orang yang dia akan hukum.
“Sebab itu dalam kes ini, saya merasa sangat kecewa cara pengurusan tunggang-langgang, saya tahu dia dibayar, diberi duit poket terlebih dulu, ditawarkan gaji lebih awal. Selepas itu barulah dia 'gila-gila' mahu keluar, sebelum itu dia tidak mahu meninggalkan Kelantan.
“Kalau dia mahu keluar, tiga bulan sebelum, dia kenalah beritahu, jadi saya ada masa nak cari pemain lain, ini tidak, dia hantar surat 30 Oktober 2012 tapi mahu tamat kontrak 1 November 2012, tidak sampai 48 jam. Macam mana saya nak cari pemain lain.

“Kami kehilangan empat pemain, S. Chanturu, Nurul Azwan Roya, Mohamad Ghaddar dan Mat Yo. Empat pemain ini, kesemuanya ada kes berbeza yang berkaitan dengan undang-undang yang dalam perancangan kita, mereka tidak sepatutnya pergi pada tahun ini, mereka lari di luar perancangan kita,” jelasnya dengan nada yang kesal
.
Berdasarkan pengalaman kes melibatkan penyerang kebangsaan itu, Annuar memberitahu, seseorang pemain boleh menamatkan kontrak, tetapi perlu memberikan tempoh yang cukup, begitu juga kelab atau pasukan kerana ia melibatkan masa depan kedua-dua pihak kerana melibatkan beberapa perkara seperti duit, penajaan dan keupayaan pasukan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan