KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri
Annuar Musa menegaskan penyerang import mereka, Dimi Pertratos adalah
sah milik pasukan Kelantan.
Annuar berkata, Dimi Pertratos adalah pemain yang sudah mempunyai
kontrak rasmi dengan KAFA, jadi tidak timbul persoalan yang mengatakan
bintang Australia itu di lamar oleh sebuah pasukan di England.
Namun sekiranya perkara tersebut benar, pihaknya tidak keberatan untuk berunding mengenainya.
"Saya yakin soal perundingan melibatkan kelab-kelab luar negara
terutamanya di Eropah tidak akan timbul soal curi atau pemain lari
seperti mana yang dialami oleh Kelantan ketika ini.
"Jikalau ada, kita akan aturkan dengan baik. Biasanya kedua-dua kelab
akan berhubung dengan cara baik dan bukannya sekadar membuat kenyataan
di media. Kita akan lihat perkembangannya dan apa yang penting dia
mempunyai kontrak rasmi dengan Kelantan sehingga November ini," katanya.
Annuar menghadiri majlis perkahwinan penjaga gol utama The Red Warriors Khairul Fahmi Che Mat atau Apek di Kampung Cherang, di sini semalam.
Utusan Malaysia 4 Januari lalu melaporkan seperti dipetik portal bola
sepak espnstar.my bahawa penyerang muda skuad Bawah 21 Socceroos itu
kini sedang diintai oleh sebuah kelab di England.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan