|
|
SYDNEY - Pemain Poland, Agnieszka Radwanska merangkul gelaran WTA
kedua berturut-turut selepas menewaskan Dominika Cibulkova dari Slovakia
6-0, 6-0 pada final kejohanan tenis Antarabangsa Sydney semalam.
Seminggu selepas melakar kemenangan di Auckland, Radwanska
membuktikan statusnya selaku pemain pilihan pertama di Sydney dengan
memenangi gelaran WTA ke-12 dalam karier.
Kemenangan itu turut membolehkannya melebarkan rekod kemenangan kepada sembilan perlawanan berturut-turut tahun ini.
Sudah pasti, kejayaan itu memberikan suntikan semangat kepada
Radwanska untuk berdepan pemain kelayakan tuan rumah, Bojana Bobusic
pada pusingan pembukaan Terbuka Australia, Isnin ini.
Bagaimanapun, Radwanska yang kelihatan gembira dengan kejayaan tersebut tetap menghormati lawannya itu.
Radwanska berkata, dia bersimpati dengan kekalahan Cibulkova yang
menewaskan tiga pemain terbaik dunia sepanjang laluan ke final.
"Ini adalah sukan tenis dan perkara seperti ini sering berlaku," katanya.
"Begitupun, saya berasa sedih kerana dia (Cibulkova) sudah pasti tidak boleh menerima keputusan ini.
"Dua minggu yang sungguh menakjubkan. Saya memenangi dua gelaran dan
masih belum tewas walaupun satu set. Sekiranya saya bermain seperti ini
di Melbourne, saya akan berasa sangat gembira."
Sementara itu, pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson menempah slot ke
final selepas menewaskan Julien Benneteau dari Perancis 3-6, 6-4, 7-6
(8) dalam kategori lelaki.
Anderson akan bertemu pemain Australia, Bernard Tomic yang mara ke
final selepas menewaskan pemain pilihan ketiga Andreas Seppi dari Itali
7-6 (12/10), 6-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Kejohanan ini sudah lama dianjurkan dan saya akui ada pemain Afrika Selatan yang hampir berjaya mara ke perlawanan akhir.
"Pemain yang saya maksudkan ialah Wayne Ferreira. Jadi, saya berharap
mampu mengatasi pencapaiannya pada kejohanan ini," kata Anderson. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan