Isnin, 14 Januari 2013

Real Madrid tambah parah



JOSE Callejon (kanan) gagal menggantikan tempat Ronaldo yang digantung sebagai penjaring utama Real Madrid walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Osasuna.


MADRID – Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho terus berada dalam keadaan tertekan selepas skuad kendaliannya sekadar seri tanpa jaringan dengan Osasuna dalam saingan Liga Sepanyol awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Reyno de Navarra itu, Real turun tanpa kelibat bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo yang digantung satu perlawanan.

Lebih malang, skuad The Galaticos terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas perancang antarabangsa Brazil, Kaka dilayangkan kad merah.

Keputusan seri itu menyaksikan Real yang menghuni tangga ketiga carta liga dengan 37 mata ketinggalan empat mata di belakang penghuni tangga kedua, Atletico Madrid.

Anak-anak buah Mourinho juga dijangka ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona andai skuad The Catalan berjaya mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Malaga yang dijadual berlangsung awal pagi tadi.

“Saya memuji sikap yang ditunjukkan olah para pemain pada perlawanan hari ini (awal pagi semalam). Raul Albiol dan Fabio Coentrao yang diturunkan telah beraksi dengan baik dan begitu juga pemain-pemain lain.
“Bukan mudah untuk mencipta peluang menjaringkan gol di sini (Stadium Reyno de Navarra). Kami (Real) telah melakukan yang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi kami gagal mencipta banyak peluang,” kata Mourinho.

Sementara itu, lain-lain perlawanan menyaksikan Real Valladolid mengutip tiga mata penuh selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Mallorca manakala Espanyol menewaskan Celta Vigo 1-0.

Valencia pula mendapat tonik terbaik menjelang pertemuan dengan Real awal pagi Rabu ini apabila mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Sevilla. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan