Selasa, 8 Januari 2013

Red Giants mula langkah kanan

Pemain Selangor, Ramez Jamal (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan Mohd Nazrin Mohd Nawi (jersi no 23) di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin Pemain Selangor, Ramez Jamal (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan Mohd Nazrin Mohd Nawi (jersi no 23) di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Hasriyasyah Sabudin
 
Shah Alam: Juara 2009 dan 2010, Selangor mengotakan janji untuk memulakan kempen Liga Super musim ini dengan mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Lebih manis, gol kemenangan Selangor itu dijaringkan sendiri oleh bekas pemain Negeri Sembilan, S Kunanlan pada penampilan sulungnya bersama skuad Red Giants.  

Babak pertama menyaksikan penyerang import Negeri Sembilan, Emanuel De Porras memperoleh tiga peluang terbaik, namun rembatannya dari luar kotak penalti pada minit keenam dan tandukan minit ke-44 diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali tatkala peluang depan gol pada minit ke-23 dipersiakan pemain dari Argentina itu.


Sebaliknya penyerang import Selangor, Francis Forkey Doe kelihatan kurang tajam apabila hanya satu percubaan tepat, itu pun mudah didakap kemas penjaga gol Negeri Sembilan, Hamsani Ahmad pada minit ketujuh.

Bersambung babak kedua, jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves mengeluarkan kaptennya, Rashid Mamud dengan memasukkan Norismaidham Ismail pada minit ke-52 untuk mengukuhkan bahagian tengah.

Manakala jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula memasukkan bekas penyerang Kelantan, Ramzul Zahini Adenan menggantikan S Veenod pada minit ke-55 bagi menajamkan jentera serangannya.

Hasilnya gol pertama Selangor diperolehi pada minit ke-68 apabila Kunanlan pantas menguis masuk bola hantaran Amri Yahyah dari sebelah kanan untuk pemain sayap kebangsaan itu membocori gawang bekas pasukannya.
Biarpun Selangor mendapat beberapa lagi peluang untuk menambah gol menerusi percubaan Amri dan Forkey Doe, kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Suhaizi Shukri.
 
-Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan