LONDON - Penyerang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo berikrar untuk kekal bersama kelab gergasi Sepanyol itu sehingga 2015.
Sebelum ini, kapten skuad kebangsaan Portugal itu dikaitkan bakal
kembali bersama bekas pasukannya, Manchester United selepas dikatakan
'sedih' ketika berada di Santiago Bernabeu.
Selain United, kelab gergasi Perancis, Paris St. Germain juga
berminat untuk mendapatkan khidmat pemain bernilai £80 juta (RM388 juta)
itu.
Namun, Ronaldo kembali tampil menepis dakwaan tersebut sambil
menjelaskan bahawa dia masih terikat kontrak selama dua tahun setengah
bersama Real.
"Kontrak saya bersama Real Madrid masih ada dan saya tidak akan ke mana-mana.
"Selepas tamat kontrak, saya tidak tahu apa yang akan berlaku kelak," kata Ronaldo.
Dalam pada itu, Ronaldo kini terdesak untuk membantu Real menjulang
kejuaraan Eropah buat kali ke-10 menjelang pertemuan menentang United
pada aksi kalah mati Liga Juara-Juara bulan depan.
Ketika United menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana England
di Old Trafford, Ahad lalu, kelibat jurulatih Real, Jose Mourinho turut
kelihatan.
"Setiap pemain (Real) kini mahu menjulang kejuaraan Eropah kali ke-10 dan kami semakin bersemangat untuk melaksanakan misi itu.
"Musim lalu, kami tidak begitu berjaya yang mana ia merupakan musim
mengecewakan bagi Real. Pada musim ini, kami tidak rela untuk tewas
meskipun mengakui kesukaran apabila menentang United.
"Ia bukan satu perlawanan mudah dan saya menganggap setiap pasukan mempunyai peluang, namun saya tetap yakin.
"Tiada pasukan dalam dunia ini tidak boleh dikalahkan dan apabila
kami berada pada kemuncak prestasi kami, Real adalah sebuah pasukan yang
cukup mantap," katanya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan