|
PEMAIN gantian, Muhammad Ramzul Zahini Adenan muncul wira apabila
menjaringkan gol kemenangan 3-2 Selangor ke atas Pahang 3-2 pada aksi
Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.
Bekas pemain Kelantan itu tidak mempersia-siakan peluang yang
terhidang hasil hantaran menarik dari Shukor Jusoh untuk menjaringkan
gol ketiga Selangor pada minit ke-80.
Sebelum ini penyerang veteran, Mohd. Amri Yahyah menjaringkan dua gol buat skuad Gergasi Merah.
Amri meletakkan Selangor di depan seawal minit kedua apabila bijak
memanfaatkan hantaran rendah Solihin Kanasian sebelum pemain berusia 32
tahun itu menyumbat gol kedua selepas menolak mudah hantaran S. Veenod,
sekali gus menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Nasril Nordin pada minit
ke-20.
Tersentak dengan dua gol tersebut, skuad Tok Gajah kembali bangkit
dengan melancarkan serangan ke kubu pertahanan Selangor dan hasilnya,
penyerang sensasi Pahang, Mohd. Fauzi Roslan berjaya merapatkan jurang
apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-24.
Kesungguhan Pahang untuk menjaringkan gol penyamaan berbaloi apabila
bekas pemain Selangor, Mohd. Razman Roslan mudah menyempurnakan sepakan
penalti tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat untuk mengikat
kedudukan 2-2.
Bersambung di separuh masa kedua perlawanan, Pahang kembali menguasai
perlawanan apabila melancarkan serangan bertali arus ke benteng
pertahanan Gergasi Merah.
Begitupun, Ramzul memastikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim
meraih tiga mata berharga apabila menjaringkan gol kemenangan, sekali
gus membantu Selangor menghuni tangga kedua setelah mengutip sembilan
mata.
Meskipun tewas kepada Selangor, skuad kendalian Dollah Salleh kekal
di puncak liga setelah berkongsi mata dengan Selangor dan Lions XII
dengan kelebihan perbezaan jaringan.
"Saya tetap berpuas hati dengan persembahan skuad saya malam ini.
Hanya kelalaian barisan pemain saya menyebabkan pasukan kami gagal
meraih sekurang-kurang satu mata," ujar Dollah kepada pemberita selepas
tamat perlawanan.
Dalam perkembangan yang sama, Irfan tetap meluahkan rasa kagum kepada
Pahang yang menggunakan 100 peratus tenaga tempatan selain menganggap
skuad kendaliannya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini dan sejujurnya, saya amat
menghormati Pahang dengan sikap juang mereka serta menurunkan barisan
pemain tempatan," kata Irfan.
Sementara itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, Terengganu mencatat kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 1-2 kepada Lions XII.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan gagal
memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada
Perak hasil jaringan Mohd. Failee Mohamad Ghazli pada minit ke-96.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan