|
|
MELBOURNE – Pemain Amerika Syarikat (AS) Serena Williams diletakkan
sebagai pemain pilihan utama untuk bergelar juara apabila saingan
kejohanan tenis Grand Slam Terbuka Australia bermula hari ini.
Malah pencabar terdekatnya, Victoria Azarenka sendiri mengakui,
Serena, 31, adalah pemain yang perlu ditewaskan mana-mana lawan yang
berhasrat untuk muncul juara.
Apatah lagi, Serena ketika ini memiliki motivasi untuk bermain lebih
baik kerana sedang memburu gelaran juara buat kali keenam di Melbourne
nanti.
Memulakan kempen ke-13 di kejohanan ini, Serena yang masih segar
daripada kejayaan merangkul kejuaraan di Brisbane minggu lalu, dijadual
bertemu pemain Romania, Edina Gallovits-Hall pada perlawanan
pembukaannya esok.
Namun berdasarkan prestasi semasa, tumpuan kepada Serena bukan
sekadar untuk mengungguli Terbuka Australia tetapi kemampuannya untuk
menyapu bersih kesemua empat kejohanan Grand Slam tahun ini.
“Ia satu matlamat yang terlalu besar untuk saya dicapai,” katanya
ketika bercakap tentang memenangi kejuaraan di Terbuka Australia, Roland
Garros, Wimbledon dan Terbuka AS dalam tahun yang sama seperti mana
yang pernah dilakukan Steffi Graf pada 1988.
“Saya tidak tahu sama ada saya mampu melakukannya. Mungkin orang lain
boleh tetapi bagi saya, tunggu sahaja kerana ia sangat sukar
diterjemahkan dengan kata-kata,” jelasnya.
Juara Olimpik, Terbuka AS dan Wimbledon pada tahun lalu kini berada
di separuh jalan untuk mengulangi semula kejayaan `Serena Slam’ yang
dilakar pada 2002-2003 lalu.
“Saya rasa saya berada di tempat dan masa yang betul sekarang. Buat
masa ini, saya bermain dengan baik. Saya harap dapat bermain dengan
lebih cemerlang dan memperbaiki kelemahan saya,” tambah Serena.
Juara 15 kali Grand Slam ini berada di belakang juara bertahan,
Azarenka dan Maria Sharapova dalam senarai ranking dunia namun nekad
mengubahnya sebaik saja musim perlawanan tahun ini bermula.
Sementara itu, Azarenka yang menarik diri dari aksi separuh akhir
Brisbane ketika menentang Serena gara-gara mengalami jangkitan pada ibu
jari, gembira apabila pemain AS itu menjadi pilihan.
“Perhatian beralih kepadanya dan ia membuatkan tekanan ke atas saya
berkurangan,” ujarnya yang mengakui Serena bakal menjadi halangan
terbesarnya untuk muncul juara. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan