Rabu, 23 Januari 2013

Shukur tekad pikat hati Rajagobal



IMBAS KEMBALI... Aksi Shukur ketika membarisi skuad Olimpik negara menentang Jepun pada kempen kelayakan Sukan Olimpik 2012 di Tosu, Jepun, 21 September 2011.


PEMAIN tengah Selangor, Abdul Shukur Jusoh mahu membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih, Datuk K. Rajagobal selepas disenaraikan sebagai pelatih skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

Shukur berkata, dia kini sudah memasang azam untuk menampilkan aksi terbaik dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya, seterusnya mampu memikat Rajagobal untuk diturunkan ketika menentang Qatar pada aksi pertama kelayakan Piala Asia 2015 di Doha, 6 Februari depan.

Biarpun sedar persaingan dalam kalangan pemain cukup sengit, Shukur berkata, dia akan berjuang habis-habisan untuk merebut tempat dalam skuad utama Harimau Malaya.

“Pertama sekali, tersenarai dalam skuad Harimau Malaya bagaikan mimpi. Saya amat gembira kerana jurulatih (Rajagobal) memberikan perhatian kepada saya.

“Beraksi bersama skuad kebangsaan merupakan impian bagi setiap pemain, apatah lagi untuk beraksi dalam skuad utama Harimau Malaya, ia adalah cita-cita saya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Saya tahu persaingan untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama amat sukar tetapi saya sudah bersedia,” kata Shukur ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Shukur mengakui corak permainannya semakin bertambah baik selepas berada di bawah bimbingan jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim musim ini.

“Mungkin Rajagobal mengetahui apa kelebihan saya dan sejujurnya, saya berpendapat permainan saya meningkat sejak dibimbing Irfan.

“Pengalaman saya bersama Terengganu dan Selangor banyak memberikan saya kelebihan dan kini, saya mahu membuktikan di pentas yang lebih tinggi,” katanya yang beraksi kali pertama bersama Harimau Malaya ketika menentang Vietnam pada aksi persahabatan tahun lalu.

Selain Shukur, pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd. Fitri Omar juga antara dua muka baharu yang akan menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM bermula Sabtu ini.

Difahamkan, tindakan Rajagobal menyenaraikan Shukur dan Fitri itu dilihat sebagai langkah alternatif bagi mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Wan Zack Haikal Wan Nor yang mengalami kecederaan baru-baru ini.

Terdahulu, Rajagobal telah menyenaraikan 26 pelatih serta tujuh pemain yang berada dalam senarai simpanan atau KIV bagi mengikuti kem latihan pusat bagi menghadapi beberapa aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula bulan depan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan