Khamis, 24 Januari 2013

Swansea hampakan Chelsea



HAZARD (kanan) dilayangkan kad merah selepas bertindak agresif dengan menendang seorang budak pengutip bola awal pagi semalam.


SWANSEA - Pengurus Swansea City, Michael Laudrup tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas skuad kendaliannya mara ke final Piala Liga awal pagi semalam.

Meskipun aksi di Stadium Liberty itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, Swansea mengesahkan slot ke final selepas menang dengan agregat 2-0 hasil kemenangan pada pertemuan pertama di Stamford Bridge, 9 Januari lalu.

Bagaimanapun, Laudrup bimbang kontroversi yang dicetus oleh pemain Chelsea, Eden Hazard pada perlawanan tersebut akan meragut kegembiraan mereka layak ke final yang akan berlangsung di Stadium Wembley pada 24 Februari depan.

Hazard dari Belgium dibuang padang selepas menendang seorang budak pengutip bola.
"Saya akui perkara itu (tindakan Hazard) akan menjadi topik utama.

"Saya pernah menjadi pemain, saya faham kekecewaan yang dirasai dan dia mahu budak pengutip bola itu memberikan bola kepadanya," kata Laudrup.

Swansea bakal membuat penampilan pertama pada final terbesar dan mereka akan berdepan kelab Divisyen Empat, Bradford yang menamatkan cabaran Aston Villa kelmarin.

"Layak ke perlawanan akhir buat pertama kalinya adalah sesuatu yang sangat menakjubkan. Tambahan pula, kami menewaskan juara Eropah.

"Mereka mendapat banyak peluang pada perlawanan pertama dan hari ini (semalam). Mereka sedar bahawa mereka terpaksa menjaringkan dua gol namun kami bermain seperti biasa dan berjaya menghampakan mereka," kata Laudrup.

Laudrup berkata, Chelsea mula hilang keyakinan selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-80.
- AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan