Jumaat, 18 Januari 2013

Tunku Ismail kecewa insiden di Kota Bharu


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa terhadap sikap Persatuan Bola Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwa sengaja menimbulkan kekecohan ekoran kehadiran Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim (Johor DT) menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lalu.

Jelas Tunku Ismail kepada Kosmo!: “JMF tidak berada di sana, kalau ada pun, mereka adalah penyokong yang memakai baju Johor dan mereka tidak bertugas ketika itu.”

Ujar baginda lagi, JMF seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini merupakan Kumpulan Gerak Khas 21 Komando dari Kem Gerak Khas Mersing, Johor yang perlu bersiap sedia sekiranya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar berhasrat mencemar duli ke stadium berkenaan dan ia tiada kena mengena dengan PBNJ.

“Ia adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) pada hari itu sekiranya menerima arahan kalau-kalau Ke Bawah Duli Tuanku mencemar duli untuk berangkat,” titah baginda pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.

Tunku Ismail turut mengesahkan, beliau tidak berada di stadium ketika perlawanan itu berlangsung.
“Saya tidak faham kenapa pihak di sana (Kelantan) cuba alihkan perhatian kepada kehadiran JMF dan akhirnya Johor menjadi mangsa. Kita yang terkena balingan botol kaca, batu dan banner kita diambil dan dikoyakkan oleh penyokong Kelantan, seorang kanak-kanak dan seorang penyokong wanita kita turut terkena balingan botol dan kayu. 

“Demi keselamatan juga, para pemain kita pula terpaksa turun ke tengah-tengah padang, lampu stadium ditutup dan dengan cara bersembunyi kita melalui pintu belakang untuk pergi ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan,” titah baginda.

Pada perkembangan berkaitan, Tunku Ismail turut mempersoalkan ketiadaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di stadium memandangkan telah beberapa kali insiden buruk tercetus dalam kalangan penyokong The Red Warriors sebelum ini.

“Saya tertanya-tanya kenapa KAFA tak benarkan FRU berada di stadium, saya dah bincangkan hal ini sebelum ini, hal ini sepatutnya tidak berlaku.

“Yang paling mengecewakan saya ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra turut terkena (balingan botol), ini sekali gus menunjukkan pihak Kelantan gagal mengawal penyokong mereka.”

Dalam pada itu, secara sinis, Tunku Ismail turut menyelar tindakan individu tertentu yang disifatkannya seperti ‘baling batu sembunyi tangan’ apabila bertindak melakukan provokasi melalui laman sosial Facebook bagi membangkitkan kemarahan ramai.

Titah baginda, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan kemuka aduan kepada FAM.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan