SKUAD Harimau Muda bakal diuji sebuah kelab daripada Liga Singapura (Liga S) sebelum ‘terbang’ ke Australia pada 23 Januari ini.
Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee memberitahu, aksi persahabatan
yang dijangka diadakan pada 18 atau 19 Januari itu dilihat sebagai medan
terbaik bagi menilai barisan pemain yang bakal dibawa ‘berguru’ ke
Australia nanti.
“Buat masa ini, saya dalam perancangan mengadakan satu perlawanan
persahabatan bersama satu pasukan daripada Liga S sebelum berlepas ke
Australia.
“Namun, saya masih belum dapat mendedahkan pasukan mana yang bakal
menguji kami kerana ia masih di peringkat berbincangan,” katanya kepada
Kosmo! baru-baru ini.
Mengulas lanjut Kim Swee berkata, anak-anak buahnya juga bakal
berdepan satu perlawanan persahabatan menentang Harimau Muda B di Wisma
FAM, 10 Januari ini.
“Meskipun ia sekadar perlawanan persahabatan, saya berharap pemain
Harimau Muda dapat memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.
“Kemenangan aksi persahabatan bukan dijadikan ukuran, sebaliknya
persefahaman yang dibentuk sesama pemain lebih menjadi keutamaan saya
sebagai persiapan awal mempertahankan emas temasya Sukan SEA di Myanmar,
Disember nanti,” katanya.
Ketika ini, tiga pemain Harimau Muda iaitu A. Thamil Arasu, Fandi
Othman dan Syahrul Azwari Ibrahim dijangka ‘tercicir’ ke Australia
kerana masih dibelenggu kecederaan.
Begitupun kata Kim Swee, Syahrul kembali menjalani latihan ringan
baru-baru ini selepas diketepikan selama dua bulan akibat kecederaan
lutut sebelum ini.
Selepas berlepas ke Australia, skuad Harimau Muda juga dijadualkan
‘berguru’ di Slovakia ataupun di benua Eropah pada pertengahan Mac depan
dan hanya dijangka kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri nanti.
Selain itu, pemain muda negara juga dijangka menyertai dua kejohanan
jemputan iaitu Pestabola Merdeka (Ogos) dan Newspaper Cup di Vietnam
pada Oktober depan sebelum menggalas misi mempertahankan pingat emas
yang dimenangi mereka di Jakarta, Indonesia dua tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan