Jumaat, 25 Januari 2013

United dapat semangat baharu



VIDIC (kanan) melayan kerenah para peminat sebelum menjalani sesi latihan di Aspire Academy for Sports Excellence, Doha, Selasa lalu.


MANCHESTER - Pemain pertahanan Manchester United, Nemanja Vidic menegaskan bahawa skuad The Red Devils memperoleh keyakinan yang tinggi untuk menghadapi Fulham pada aksi pusingan keempat Piala FA di Old Trafford awal pagi esok.

Vidic berkata, latihan dalam keadaan cuaca panas di Qatar memberikan keyakinan tambahan kepada para pemain United menjelang aksi menentang Fulham itu.

United berlepas ke Timur Tengah, Ahad lalu selepas terikat 1-1 dengan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana England sekali gus menyebabkan jurang berkurangan kepada lima mata di depan pencabar utama, Manchester City.

Setelah kecewa dengan gol penyamaan Spurs menerusi Clint Dempsey, Vidic optimis cuaca panas di Qatar memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukannya untuk menghadapi separuh kedua musim ini.
"Ia sangat baik setelah kami tiba di sana. Cuacanya sangat baik manakala segala fasiliti berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.

"Berlatih dalam keadaan cuaca panas sangat baik dan sesuatu yang baharu buat kami berbanding cuaca di Manchester. 

"Kami pernah ke sana tiga tahun lepas dan kedua-dua kunjungan itu merupakan detik terindah dalam hidup kami," jelas Vidic.

Skuad bimbingan Alex Ferguson itu menewaskan West Ham pada aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford minggu lalu dan skuad The Red Devils menanti kehadiran skuad The Cottagers dalam misi mereka merangkul Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2004.

Dalam final 2004 lalu, United menewaskan Millwall untuk melakar kemenangan kali kelima pada kempen Piala FA sejak Ferguson mula mengambil alih kelab itu pada 1986.

Namun, selepas itu pengendali dari Scotland itu sering mengeluh kerana kegagalan pasukannya merampas kembali gelaran tersebut sejak sekian lama.

Sementara itu, pemain veteran United, Ryan Giggs, 39, turut melahirkan perasaan yang sama selepas 'berpanas' di Qatar dan akan berjuang habis-habisan dalam baki saingan musim ini. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan