Selasa, 15 Januari 2013

United tanpa barisan bintang



VAN PERSIE (tengah) antara bintang United yang direhatkan pada pertemuan menentang West Ham bagi aksi Piala FA di Old Trafford awal pagi esok.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson dijangka merehatkan barisan pemain utamanya pada pertemuan menentang West Ham United dalam aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA di Old Trafford awal pagi esok.
Selepas selesa berada di puncak Liga Perdana England dengan kelebihan tujuh mata mengatasi pencabar terdekat mereka, Manchester City, United berazam untuk melepasi aksi tersebut sebelum berkunjung ke Madrid menentang Real Madrid pada saingan kalah mati Liga Juara-Juara.
"Saya akan meneruskan sistem penggiliran dalam skuad saya meskipun kami agak 'sibuk' pada Disember lalu tetapi saya perlu merancang terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
"Selepas aksi ulangan Piala FA menentang West Ham, kami akan bertemu dengan Tottenham Hotspur. Kami berharap dapat mara ke pusingan keempat Piala FA dengan menentang Fulham atau Blackpool nanti.
"Dalam tempoh tersebut, saya harus memanfaatkan peluang yang ada sebelum memasuki jadual baharu dengan menentang Southampton dan Fulham pada aksi Liga Perdana England," ujar Ferguson.
Penyerang berbisa, Robin van Perise yang telah meledak 17 gol sepanjang 22 perlawanan liga, bakal direhatkan bagi memberi laluan kepada Wayne Rooney yang kembali bersama skuad selepas pulih daripada kecederaan lutut.

Rooney dijangka bakal bergandingan dengan bintang Mexico, Javier Hernandez yang tidak beraksi bersama United ketika menewaskan Liverpool 2-1 di Old Trafford, Ahad lalu.

Sementara itu, pengurus West Ham, Sam Allardyce menyedari ancaman yang bakal dihadapi skuad kendaliannya berazam untuk memberikan saingan sengit kepada The Red Devils.

"Umum mengetahui bahawa United adalah pasukan cukup berpengalaman dalam Piala FA. Sudah tentu ia merupakan satu perlawanan menarik menentang mereka di Old Trafford.

"Saya berharap kami dapat mencipta satu kejayaan di sana sebelum berkunjung ke Queens Park Rangers (QPR) pada aksi Liga Perdana England dengan misi mencari tiga mata penuh," katanya. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan