Sabtu, 26 Januari 2013

Yana mangsa pukul Fizo


FIZO dan Yana melalui pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang penggambaran drama arahan Rashid Sibir, Surat Dari Langit Biru.


ADA makna yang tersirat daripada judul drama 15 episod yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 iaitu Surat Dari Langit Biru. 

Ia menyingkap kisah pengorbanan dan kasih sayang antara dua beradik, Zarul dan Salmi.
Plot yang berkisar tentang peredaran zaman kanak-kanak sehingga dewasa sepasang adik-beradik lakonan mantap Johan As'ari dan Yana Samsudin itu memaparkan isu ikatan persaudaraan dalam kelompok keluarga sederhana dari kawasan kampung.

Zarul yang dilakonkan oleh Johan terpaksa mengorbankan masa depannya untuk memberikan peluang kepada kakaknya, Salmi (Yana) berjaya sehingga bergelar doktor.

Takdir menentukan Salmi terpaksa berkahwin dengan Heykal (Fizo Omar) akibat keluarganya terhutang budi walaupun meniti perjalanan hidup yang merana akibat dendam. 

Zarul pula ditohmah pelbagai fitnah hingga dibuang oleh keluarga sendiri dan akhirnya mengasingkan diri untuk mencari tempat mengadu nasib.

Ujar pengarah Rashid Sibir, drama yang mendapat sentuhan skrip daripada Basri Musa itu sebenarnya sebuah drama cinta antara dua beradik.

"Drama ini memaparkan banyak babak sedih dan karakter yang sentiasa menangis. Penceritaan pula mengambil teknik imbas kembali plot masa terdahulu.

"Menariknya drama ini, kebanyakan pelakon baharu seperti Johan, Yana, Fizo dan Tania Hudson mendapat sokongan bagus daripada pelakon veteran antaranya, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi," ujarnya yang ditemui ketika penggambaran drama tersebut di Desa Park City, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Rashid turut menyuntik elemen baharu dengan memberikan cabaran kepada pelakon-pelakon baharu menggalas karakter berbeza yang biasa dilakonkan selama ini.

Maksud Surat Dari Langit Biru, tambah Rashid sebenarnya berkisar mengenai surat-surat yang ditulis oleh watak Zarul di kawasan tepi laut yang tidak pernah dihantar kepada penerimanya sehingga terjadi satu peristiwa yang tidak diduga.

Surat Dari Langit Biru menjalani penggambaran selama dua bulan di sekitar Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan beberapa tempat di Johor antaranya Desaru dan Kota Iskandar.
"Drama ini bukan hiburan semata-mata kerana ia turut mendidik penonton dan menyampaikan mesej-mesej serta nilai kekeluargaan.
"Cerita masyarakat kampung harus ada sebab itu akar umbi kita dan sudah semestinya masih relevan dengan masyarakat," katanya.

Kering air mata
Sementara itu, kata Yana, cabaran melakonkan watak Salmi berbeza berbanding drama lakonannya sebelum ini.

"Saya perlu sentiasa menangis dan setiap babak perlu bersedih malah, saya juga sering menjadi mangsa pukul suami saya lakonan Fizo Omar. 

Penggambaran biasanya mengambil masa yang panjang dan saya penat menangis sebenarnya sampai air mata pun sudah tidak keluar, tapi kata pengarah asalkan emosi itu sampai kepada penonton sudah memadai," ujar Yana teruja.

Surat Dari Langit Biru merupakan pengalaman kedua Yana berlakon di bawah arahan Rashid Sibir selepas telefilem Mak Pengantin Tak Popular dua tahun lalu. 

Terkini, Yana bakal sibuk dengan rangka promosi empat buah filem lakonannya tahun ini iaitu Wawa Semput, Dua Kalimah, Cerita Kita dan Adnan Sempit 3.

Bagi Fizo Omar pula, drama itu merupakan kemunculannya semula mendokong watak antagonis selepas empat tahun.

"Menerusi drama Bio-Nik saya melakonkan watak jahat dan kini kepercayaan diberikan sekali lagi kepada saya. Saya dapat rasakan watak ini bakal dibenci ramai.

"Biasanya saya diberikan watak klise terutamanya golongan profesional (seperti doktor, peguam dan arkitek) cuma plot saja berubah. Namun kali ini tawaran datang dalam versi berbeza daripada sebelum," kata Fizo yang akan muncul dalam tiga buah filem tahun ini iaitu Isyarat Cinta, Sembunyi dan Hello. 

Surat Dari Langit Biru akan mula bersiaran pada 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan