Bertudung penuh atas kerelaan sendiri
DATUK SITI NURHALIZA mula memakai tudung secara sempurna pada sambutan ulang tahunnya yang ke-34 pada 11 Januari lalu.
|
Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza sudah acap kali dikritik ramai
terhadap penampilan bertudungnya yang kelihatan belum sempurna
memandangkan tidak menutup keseluruhan mahkota berharga miliknya itu.
Namun begitu, penyanyi yang dilahirkan di Temerloh, Pahang itu telah
membuat kejutan apabila mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada
tahun ini.
Ternyata transformasi yang dilakukan oleh Siti itu disambut positif
oleh para peminat, cuma terdapat segelintir pihak yang seolah-olah cuba
mempertikaikan keputusan yang dibuatnya itu.
Antaranya, dia dikatakan mahu bertudung penuh setelah tragedi yang
menimpa suami tercinta, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang
terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember tahun lalu.
Berkesempatan menemui Siti semasa sesi percutian bersama pengguna
SimplySiti ke sebuah taman tema di Johor kelmarin, penyanyi itu
menegaskan keputusan yang dibuatnya itu adalah atas kerelaan sendiri.
"Memang ada yang beranggapan bahawa keputusan saya ini berpunca
daripada tragedi yang melanda suami, tetapi saya ingin nyatakan bahawa
ia langsung tidak berkaitan.
"Hasrat bertudung memang sudah lama saya pendam sejak mengerjakan
ibadah haji pada tahun 2008. Cuma saya lakukan secara
berperingkat-peringkat dan akhirnya keputusan bertudung penuh dibuat
ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 pada 11 Januari lalu,"
jelasnya.
Siti bersama cenderamata potret dirinya yang diberikan pihak pusat taman tema sebagai tanda kenangan.
Menurut Siti, dengan penampilan baharunya itu dia merasakan ia
bukanlah satu masalah yang besar untuk beraksi di pentas dan turut
gembira kerana peminat telah memberikan sokongan yang pada terhadap
dirinya.
"Apabila semakin menginjak usia, saya rasa sudah tiba masanya untuk
membuat perubahan ini. Selain itu, saya anggap semua yang berlaku ini
merupakan doa daripada para peminat yang sentiasa menyokong saya,"
ujarnya.
Ketika ditanya mengenai ikon wanita bertudung yang menjadi pilihan
dirinya, Siti menyatakan, dia cukup minat dan tertarik dengan gaya
muslimah yang ditampilkan oleh Hana Tajima.
Menurut Siti, dia menjadikan Hana sebagai salah satu contoh untuk
imej bertudungnya sekarang ini memandangkan gadis itu dilihat pandai
berfesyen, meskipun memakai tudung.
"Setiap wanita yang bertudung tidak semestinya sukar untuk bergaya
dan itu yang ditonjolkan oleh Hana Tajima. Saya akui telah menjadikan
dia sebagai panduan terutamanya mencari idea tentang cara pemakaian
tudung," ujarnya.
Berkenaan dengan penerimaan Datuk K terhadap perubahan penampilan
yang dilakukannya itu, Siti menyatakan suaminya merupakan individu yang
paling gembira.
"Suami saya begitu memahami kemahuan saya dan dia yang banyak
memberikan sokongan kepada saya. Apa yang menariknya, sesekali dia juga
pernah memberikan idea kepada saya untuk memilih tudung yang sesuai,"
jelasnya.
SITI melayan para peminatnya yang berpeluang bercuti bersamanya di sebuah taman tema di Johor, baru-baru ini.
Datuk K semakin pulih
Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan terkini kesihatan suaminya
yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu, Siti
memberitahu Datuk K kini sudah beransur pulih.
Bagaimanapun, ketika ini suaminya itu masih lagi mendapat rawatan
susulan seperti menjalani fisioterapi untuk menyembuhkan kecederaan bahu
dan tangan yang dialaminya itu.
"Saya sangat bersyukur dengan keadaan kesihatan suami saya sekarang
yang dilihat semakin pulih, malah kalau ada kelapangan dia juga akan
pergi ke pejabat.
"Selain itu, saya sangat mengagumi ketabahan yang dilaluinya untuk
pulih. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamed menziarahi suami saya, beliau ada
memberitahu bahawa menjalani fisioterapi memerlukan tahap kesabaran
yang sangat tinggi," ujarnya.
Ujarnya, Datuk K yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di
Queenstown, New Zealand pada akhir tahun lalu ketika menunggang motor
berkuasa tinggi dijangka pulih sepenuhnya pada April ini.
|
SITI gembira kerana tahap kesihatan suaminya, Datuk K semakin memberangsangkan.
|
Album baharu
Setelah kali terakhir melahirkan album Melayu iaitu Tahajud Cinta
pada tahun 2009, Siti memberitahu, dia bakal muncul dengan album baharu
pada tahun ini.
Menurutnya, ketika ini dia masih lagi dalam proses pemilihan
lagu-lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut dan akan mula
memasuki studio rakaman pada bulan Mei ini.
"Untuk album baharu ini saya akan kembali semula dengan konsep pop
memandangkan dua buah album saya sebelum itu berkonsepkan irama
tradisional dan kerohanian.
"Setakat ini beberapa orang komposer seperti Aubrey Suwito dan Adi
6ixth Sense sudah menyerahkan lagu ciptaan mereka. Namun begitu, saya
masih lagi mempertimbangkan sama ada mahu menghasilkan mini album atau
album penuh," jelasnya tentang perkembangan terkininya sekarang.
Ujar Siti, untuk album terbaharunya itu juga bakal memuatkan dua buah
lagu baharu hasil ciptaannya sendiri sebagai hadiah kepada para
peminatnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasratnya yang mahu kembali
membuat persembahan di Royal Albert Hall, London pada tahun hadapan,
Siti sekadar menyatakan, ia masih dalam peringkat perancangan awal dan
berharap ia dapat direalisasikan.